Wednesday 20 November 2013

Amalan Khurafat Masyarakat Melayu

DEFINASI KHURAFAT



Perkataan khurafat ini berasal dari bahasa arab : kharafa-yakhrifu-kharfan-khurafatan.



Dari pandangan bahasa Inggerisnya merujuk kepada "superstition".

Dalam bahasa Latinnya yang membawa maksud sesuatu yang dipetik, atau cerita bohong, dongeng dan tahayul, atau sesuatu hal yang tidak masuk akal, atau sesuatu yang dusta tetapi menarik.

Rujukan teknikal kepada istilah ini adalah tertumpu kepada pengertian berikut :-  

Pegangan atau iktikad yang tidak bersandarkan kepada asas realiti dan tidak juga bersandarkan asas agama, seumpama ungkapan atau perbuatan atau juga bilangan tertentu yang disangkakan boleh mendatangkan kebahagian ataupun kecelakaan.

Semua kepercayaan, keyakinan atau kegiatan yang tidak bersumber dari ajaran agama, tetapi diyakini bahawa hal tersebut memiliki dasar dari agama.

Dongeng, kisah, legenda, cerita, asumi, kepercayaan atau keyakinan yang tidak benar. Ia adalah iktikad yang batil, di mana lawannya ialah iktikad yang benar ( al-haq ).

Setiap pengajaran yang jelas bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Semua perkara yang dicipta oleh manusia melalui pemikiran karutnya tanpa asas syariah atau akal sihat; kemudian diyakini pula sebagai boleh mendatangkan manfaat ataupun menolak bala.

Berdasarkan pelbagai definasi teknikal yang tercatat di atas, ciri dan skop istilah khurafat boleh disimpulkan sebagai merangkumi aspek-aspek berikut :-
  • Adanya unsur kepercayaan dan iktikad yang diyakini.
  • Ia secara jelasnya bukan datang daripada sumber ajaran agama Islam, serta bertentangan pula dengan logik akal dan realiti, dan kerana itu ia merupakan sesuatu yang batil yang langsung tidak mengandungi unsur kebenaran.
  • Ia diyakini sebagai boleh mendatangkan kebahagian/manfaat atau kecelakaan/bala.


BERTAPAKNYA AMALAN KHURAFAT DI RANTAU INI

Lembaran sejarah telah memcatatkan bahawa manusia yang menghuni rantau ini memulakan keagamaan mereka dengan menganut fahaman dinamisme-animisme.


DINAMISME

Fahaman dinamisme ialah suatu kepercayaan yang menyakini adanya tenaga atau kuasa ghaib yang tidak berperibadi pada tumbuh-tumbuhan, benda-benda, haiwan ataupun manusia sendiri.

Ia berupa prestasi luar biasa yang dimiliki. Maka itu, lelaki yang sangat berani, kayu yang paling kuat, pokok yang lebih banyak buahnya dipercayai mempunyai kuasa yang lebih banyak daripada lainnya.


ANIMISME

Adapun fahaman animisme pula merupakan kepercayaan akan adanya jiwa dan roh yang dapat mempengaruhi kehidupan alam manusia.

Biasanya animisme akan menimbulkan sesuatu praktis seperti pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu kuasa ghaib yang berperibadi, dengan mengharapkan perlindungan atau pertolongan bagi mendapatkan sesuatu.

Pertolongan makhluk halus adalah sebenarnya daripada makhluk jin.


PENGARUH HINDUISME-BUDDHISME

Seterusnya rantau ini dipengaruhi ajaran Hinduisme-Buddhisme.

Hinduisme-Buddhisme itu sebenarnya sudah mempunyai unsur-unsur dinamisme-animisme yang tersendiri dan keadaan ini menyebabkan dinamisme-animisme tidak tergugat dan terus berkembang


KEDATANGAN ISLAM

Sekalipun agama Islam merupakan agama yang cukup ketat dan cukup tegas unsur tauhidnya, namun cara dan pendekatan pendakwahan dalam proses penyebarannya di rantau kita ini adalah berlansung dalam bentuk yang penuh toleransi dengan sikap tidak mengubah, tetapi menyesuaikan :

Dari itu, upacara persembahan dan pemujaan yang diwarisi daripada fahaman animisme dan Hindu-Buddha tidak terus dihapuskan tetapi diubahsuai. Maka adat-adat persembahan dan jamuan kepada roh-roh diubah kepada kenduri tahlil yang dimakan bersama. Adat membakar kemenyan dan bacaan mentera kepada roh-roh selepas mati diubah kepada upacara tahlil dan doa dengan nada yang panjang dan sedih.

Dengan pendekatan dakwah bergini ramai sekali golongan manusia memeluk agama Islam tanpa perlu berlakunya pertumpahan darah. Namun amalan-amalan keIslaman menjadi bercampur-aduk dengan kepercayaan amalan-amalan yang diwarisi dari nenek moyang kita.
Amalan menyeru, memohon dan memuja makhluk ghaib ( dinamisme-animisme ) masih dihayati dan dipraktik, sekalipun sudah memeluk Islam. Perlu ditegaskan bahawa satu sikap yang amat terlarang menurut hukum Islam ialah sikap meminta-minta pelbagai jenis hajat daripada makhluk jin.

Dalam kontex ini Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan bahawa sesungguhnya adalah ( amat salah perbuatan ) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."( Al-Jin 72:6 )

Sekalipun yang diseru itu datangnya daripada golongan jin Islam yang sahih, ini dilihat sebagai bermasalah dari segi pandangan Islam yang murni. Dan tentulah akan lebih-lebih dilarang apabila jin yang berkaitan datangnya daripada golongan jin yang kafir.

Pengekalan tradisi campur-aduk seumpama inilah yang menjadikan ajaran Islam yang dihayati dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara kita, menjadi tercemar dan tidak murni.


BENTUK-BENTUK KHURAFAT

Khurafat muncul dalam bentuk-bentuk yang berbagai-bagai samada dalam bentuk berikut :
  • Perbuatan tertentu
  • Ungkapan tertentu
  • Cerita atau kisah tertentu
  • Bilangan tertentu
  • Konsep, prinsip atau mazhab tertentu
Pembahasan mengenai bentuk khurafat adalah terlalu luas. Dengan itu kami tumpukan skop pembahasan pada penggunaan tangkal, azimat, wafaq, mentera-mentera asing dan salah-guna ilmu kebatinan, terutama dalam seni mempertahankan diri. Ini amatlah penting dibincangkan memandangkan amalan-amalan tersebut masih berleluasa dikalangan umat Islam hari ini.


Azimat, Tangkal dan Wafaq

Azimat, merupakan sebarang benda-benda yang dipercayai dapat menahan daripada ancaman atau dapat mencegah terjadinya musibah ke atas diri, keluarga dan harta benda.

Azimat juga diyakini mempunyai kekuatan ghaib dan dipercayai ada khadamnya dari makhluk-makhluk ghaib.

Tangkal, merupakan salah satu bentuk azimat untuk dipakai seperti gelang tangan yang diperbuat dari benang, kalung yang diperbuat dari dahan-dahan kayu atau untuk diletakkan di tempat-tempat tertentu dengan maksud melindung dari gangguan syaitan seperti kemenyan yang dibalut dengan kain dan diletak di penjuru rumah.

Wafaq, adalah azimat dalam bentuk tulisan-tulisan berupa huruf, angka, rajah atau gambar yang ditulis atas kertas atau kepingan tembaga. Ia ditulis dalam bahasa yang tidak difahami dan kadangkala bercampur-aduk dengan ayat-ayat Al-Quran.


PERSOALAN :

Adakah boleh menggunakan azimat yang dituliskan padanya ayat-ayat Al-Quran, atau nama-nama Allah?

Walaupun pada ulama berbeza pendapat mengenai isu ini, namun dalil-dalil yang melarang pemakaian semua bentuk azimat adalah :

Kerana umum hadis yang melarang azimat dan tidak disebutkan pula pengecualiannya. Kerana boleh menjurus kepada penghinaan Al-Quran, di mana kadangkala pemakaiannya memasuki tempat-tempat bernajis ataupun sedang dalam keadaan berjunub, haid dan lain-lain lagi.

Menganggap remeh ayat-ayat Al-Quran dan bertentangan dengan apa yang dimuatkan di dalamnya. Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dari kegelapan, bukan sebagai azimat.


MENTERA

Di antara perbuatan-perbuatan khurafat yang bertentangan dengan tauhid ialah mengucapkan kata-kata mentera yang tidak diketahui maknanya. Namun diyakini bahawa mentera itu berpengaruh menolak kejahatan atau boleh mendapatkan pertolongan khadam jin ataupun malaikat.

Nama-nama dan kata-kata asing yang tidak pasti ertinya dikhuatiri mengandungi nama-nama jin dan jika diulang-ulang, tentunya akan disambut seruan itu oleh jin-jin tersebut.


ILMU KEBATINAN

Perkara khurafat-khurafat juga boleh dilihat apabila manusia menyalahguna ilmu kebatinan terutama dalam ilmu mempertahankan diri ( silat ), ilmu perbomohan, ilmu andaman traditional atau ilmu kebidanan traditional. Di sini kami akan muatkan sahaja perbincangan tentang salah gunanya ilmu kebatinan dalam seni persilatan yntuk memberikan gambaran khurafat yang boleh terkandung di dalamnya.


ILMU MEMPERTAHANKAN DIRI ( SILAT )

Memang ada keperluan bagi seorang Islam mempersiapkan diri dan melengkapkan senjata untuk mempertahankan diri, agama dan negara

Namun bahayanya timbul apabila dalam ilmu mempertahankan diri terdapat syarat-syarat yang mempunyai unsur-unsur penyembahan, pemujaan, penghambaan diri dan permohonan bantuan dari kuasa atau atau tenaga ghaib.

Diantara syarat-syarat tersebut termasuk :-


  • menyediakan pengeras seperti pulut kuning, limau purut, kain putih, bayaran pengeras dan sebagainya.

  • melakukan acara gerak silat membuka atau menutup gelanggang setiap kali memulakan dan menamatkan latihan.

  • semah gelanggang dengan menyembelih ayam atau menyiram darah binatang ( sebagai sajian untuk makhluk-makhluk tertentu ).

  • mandi dengan air mandian tertentu sbagai lambang membuang sial.

  • tidak boleh banyak menyoal tindakan guru, mesti ada sifat taasub dan berserah kepada guru.

  • perlu bertapa sebelum diberikan sesuatu ilmu.

  • tidak boleh meninggalkan solat, padahal sudah jelas wajibnya dalam Islam.
Amalan-amalan di atas jelas mengandungi unsur-unsur khurafat! Diharapkan para pengamal silat atau seni mempertahankan diri bersifat waspada dan peka akan perkara-prekara tersebut sebelum melibatkan diri dalam bidang tersebut.

Unsur-unsur khurafat yang serupa boleh juga didapati dalam amalan ilmu kebatinan lain seperti ilmu perbomohan, ilmu perbidanan dan lain-lain; contohnya semah pantai, sembelihan binatang, buang ancak, memanggil roh datuk nenek dan sebagainya. Maka manusia mestilah menghindarkan diri daripada mereka yang mempraktikkan amalan-amalan ini sekiranya nyata bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam yang sebenar.


KESAN & KEROSAKAN AMALAN KHURAFAT

Terdapat banyak kesan & kerosakan dari amalan khurafat, namun di sini kami tumpukan kepada 2 perkara yakni dosa Syirik dan bahaya pewarisan Saka.


Bahaya terjerumus ke dalam dosa SYIRIK

Apabila manusia mengamalkan perkara khurafat, mereka akan meyakini bahawa dari kalangan makhluk ada yang boleh memberi manfaat dan mudarat.

Memohon perlindungan, memuja, mentaati selain dari Allah SWT, jelas syirik dan dosa syirik adalah dosa yang terbesar yang tidak diampuni Allah SWT.

"Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah SWT, maka sesungguhnya ia telah berbuat dosa besar." ( An-Nisa : 16 )


Bahaya Pewarisan SAKA

Seperti yang telah dibincangkan, amalan khurafat dan ilmu-ilmu kebatinan selalunya ada kaitan dengan jin, samada dibela, dibuat sahabat, diseru, dipuja, ditaati atau disihirkan kepada seseorang.

Makhluk halus atau jin ini akan berdamping dengan tuannya dan akan terus berdamping bersama kaum keluarganya setelah tuan yang asalnya telah meninggal dunia.

Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan SAKA, yang diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi.

Penurunan boleh dilakukan secara terang, di mana dinyatakan kepada waris yang paling 'layak' menerima amalan atau ilmu kebatinan tersebut.

Penurunan boleh juga berlaku secara tidak langsung apabila waris menerima barang-barang tertentu seperti keris, lembing, tangkal, batu geliga dan seterusnya. Saka itu akan mempengaruhi pewaris untuk meneruskan amalan seperti melanggiri keris dengan air limau atau mengusapkannya dengan kemenyan dan sebagainya.

Saka yang diwarisi boleh menyakiti pewarisnya dengan berbagai masalah seperti memporak-perandakan rumahtangga, menyesatkan iman, menyebabkan tuannya bertindak tidak waras, menyrang tuannya ketika uzur atau setelah terlalu tua, dan sebagainya.


PENUTUP

Praktis khurafat masih terus bertapak kukuh dan berlansung dalam kadar yang agak subur di tengah-tengah masyarakat kini. Usaha-usaha pembenterasan mesti terus digerakkan agar masyarakat dapat diselamatkan daripada terjebak dalam unsur negatif ini.

Proses pembenterasan hanya boleh berkesan dengan ilmu mengenainya. Mulakanlah dengan mengeluarkan segala unsur-unsur khurafat itu dari diri kita sendiri dan mengembalikan tauhid kita kepada Allah SWT dengan sepenuhnya. 

Mudah-mudahan kita akan dapat juga nantinya menyelamatkan ahli masyarakat kita dari menjadi mangsa virus khurafat yang cukup bahaya ini, Insya-Allah.


1 comment: