Wednesday 4 December 2013

Adab Sebagai Pesakit

Adab Sebagai Pesakit

Sebagai pesakit, anda sedang berada di bawah pengawasan ketat Allah (s.w.t). Setiap gerak laku baik anda akan dinilai dan digandakan pahalanya berlipat kali ganda berbanding ketika anda sihat. Oleh itu jagalah adab sebagai pesakit dan sedarlah dengan pemerhatian Allah yang lebih teliti. (perumpamaan untuk manusia supaya mudah difahami. Sifat Allah sebenarnya tidak boleh dibandingkan). Berikut adalah tip-tip untuk menjaga adab yang baik kepada Allah s.w.t sebagai pesakit:

1. Bersangka baik kepada Allah.

Semua perkara dan peristiwa yang Allah datangkan kepada kita adalah baik belaka dan demi untuk kebaikan kita sendiri walaupun pada pandangan zahirnya nampak seperti malapetaka dan beban yang amat besar.

Kita nampak ujian dari Allah sebagai bala kerana kita gagal melihat ujian itu dari perspektif yang menyeluruh terutama dari pandangan batin (perkara tersirat). Sebagai contoh, lutut kita sakit kerana ini adalah cara Allah memberitahu kita bahawa sesuatu yang tidak kena (masalah) telah berlaku pada lutut kita. 

Apabila sakit, kita tidak lagi menggunakan lutut, sebaliknya mencari jalan untuk merawat lutut yang sakit tersebut. Apabila masalah telah berakhir, rasa sakit akan hilang dan kita boleh menggunakan lutut kita kembali dengan selamat. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku sekiranya Allah tidak sakitkan lutut kita. Kita mungkin terus menggunakan lutut bermasalah tersebut untuk melakukan sukan lasak seperti bermain bola, dan akhirnya mungkin lutut boleh tercabut disebabkan oleh masalah yang dihadapinya tanpa kita sedar kerana lutut bermasalah tidak berasa sakit.

2. Bersangka baik kepada perawat, tabib dan doktor selagi mereka tidak melanggar syariat Islam

Maksud bersangka baik dengan perawat ialah, di hati kita tidak terdapat prasangka buruk seperti perawat ingin mengambil kesempatan kewangan ke atas kita. Kita juga tidak boleh ragu di hati seperti "Eh baca surah fatihah sahaja boleh sembuh ke penyakit aku."

Bersangka tidak baik kepada perawat hanya dibenarkan apabila percakapan dan tindak tanduk perawat dengan jelas melanggar asas-asas ajaran Islam seperti merawat pesakit perempuan secara berdua-duaan di dalam bilik, menyeru nama-nama jin dan jembalang untuk membantu mengubat dan menggunakan ubat-ubatan dari bahan-bahan terlarang.

Sekiranya berlaku kes-kes seperti di atas, saudara bukan sahaja perlu bersangka tidak baik kepada perawat, malah saudara dituntut untuk berhenti menerima rawatan darinya. Beritahu juga kepada orang lain dan kalau boleh pergi buat laporan kepada Jabatan Agama Islam Negeri.

Bila kita sakit, Allah menyuruh kita keluar mencari kesembuhan dengan mendapatkan pertolongan dari golongan yang mahir berubat. Ini bermakna, Allah mahukan supaya kita berjumpa dengan hamba-hamba Allah yang tertentu dan membelanjakan wang ke arah kesembuhan.

Apabila Allah menggerakkan kita untuk berjumpa perawat-perawat tertentu, semestinyalah terdapat sesuatu tujuan yang Allah mahu sampaikan kepada kita. Samada tujuan tersebut baik atau buruk ia adalah sesuatu yang Allah mahu uji kita dengannya. Maka laluilah ujian tersebut dengan berbaik sangka kepada perawat.

Mungkin selepas berjumpa dengan perawat, pesakit akan mendapat kesembuhan. Tak kurang juga pesakit yang kena tipu oleh si perawat sehingga kerugian beribu-ribu ringgit angkara bedah batin. Namun apa jua pengalaman yang dilalui, ianya adalah pengalaman yang Allah mahu kita lalui. Apa yang dituntut dari kita ialah bersangka baik dengan semua makhluk Allah, terutama mereka yang menunjukkan niat baik membantu menyembuhkan penyakit kita.

Bagi saya, tidak menjadi hal sekiranya tertipu kerana kita tertipu dalam memenuhi tuntutan Allah untuk berubat. Lagipun, secara batin kita boleh baca bahawa Allah memaksa kita mengeluarkan wang sebagai satu cara untuk membersihkan harta kita. Oleh kerana kita susah sangat nak mengeluarkan wang ke arah kebaikan, maka Allah ambil dengan cara paksa melalui cara yang menyakitkan kita.

3. Bersangka baik kepada ubat-ubatan.

Ubat-ubatan yang kita makan mempunyai ruh dan "intelligence" yang tersendiri. Ia boleh membaca niat kita, apatah lagi mendengar percakapan-percakapan kita yang tidak enak terhadapnya. Ia boleh jadi merajuk dan tidak mahu menjalankan tugas seperti biasa dalam merawat jazad kita. Jadi, janganlah kita berkata perkara yang tidak baik terhadap ubat-ubatan yang kita makan.

Mungkin sebahagian dari kita mempersoalkan kenyataan di atas bahawa ubat-ubatan mempunyai ruh dan intelligence dan mampu mendengar percakapan kita. Hal ini telah dibuktikan secara saintifik melalui kajian yang dilakukan oleh doktor Masaru Emoto terhadap air yang mempunyai intelligence. Hasil kajiannya dimuatkan ke dalam sebuat buku berjudul "Messages from Water". 

Hasil kajiannya menunjukkan bahawa molekul-molekul air boleh berubah bentuk berdasarkan kepada emosi, percakapan dan identiti manusia itu sendiri. Bentuk molekul air akan menjadi sangat cantik apabila seseorang itu membaca doa untuk kebaikan. Apabila gambar orang-orang yang terkenal di dunia sebagai orang baik ditampalkan kepada botol air, molekul air juga akan menjadi cantik, tetapi sebaliknya apabila gambar orang yang terkenal sebagai penjahat dan pembunuh ditampalkan kepada botol air, molekul-molekul air akan berubah kepada bentuk yang sangat buruk.

4. Tidak berputus asa dalam mencari kesembuhan.

Allah menjadikan kita sakit bukanlah bertujuan untuk kita cepat-cepat mendapatkan kesembuhan. Tujuan utama ialah untuk kita lalui proses-proses yang dituntut untuk mendapatkan kesembuhan. Apabila proses-proses ini dilalui, maka disitulah Allah akan menurunkan rahmat-rahmatnya kepada kita. Jika kita berputus asa dan berhenti mencari kesembuhan, maka dua kali malanglah kita. Penyakit tak sembuh, rahmat tak dapat.

Mungkin dalam proses mencari kesembuhan kita terpaksa menghabiskan banyak masa berjumpa dengan berpuluh-puluh orang perawat dari seluruh pelusuk negara. Kita juga mungkin mengeluarkan perbelanjaan yang amat banyak sehingga membawa kepada kemiskinan.

Sekiranya kita yakin sepenuhnya di hati bahawa setiap perkara dan peristiwa yang berlaku kepada kita semua baik-baik belaka, maka setiap proses mencari kesembuhan dapat kita lalui dengan tenang dan gembira. Malah kita akan mendapat ilmu-ilmu dan pengalaman-pengalaman baru yang amat berguna, yang mana sukar kita dapatkannya di dalam kebiasaan kehidupan harian.

5. Menaruh harapan dan keyakinan tinggi untuk sembuh.

Sekiranya kita yakin dan menaruh harapan untuk sembuh, maka kita akan sentiasa berusaha ke arah kesembuhan tanpa rasa jemu, lelah dan berputus asa. Orang yang tidak yakin untuk sembuh dari penyakit biasanya tidak akan berusaha ke arah kesembuhan. Akibatnya, ia sukar sembuh. 

Meskipun kita berusaha mencari kesembuhan, belum tentu akan dapat kesembuhan, inikan pula duduk diam tak berbuat apa-apa. Orang yang tidak berusaha mendapatkan kesembuhan adalah pada dasarnya orang yang menolak rahmat Allah. Orang yang menolak rahmat Allah pula adalah orang yang sombong, Dan Allah tidak suka pada orang yang sombong. Ini bukanlah sikap seorang Muslim yang sejati. Namun begitu, ada pengecualiannya bagi sesetengah insan teristimewa di sisi Allah yang memahami ilmu makrifat. Sesetengah dari mereka tidak mencari kesembuhan kerana sebab-sebab tertentu yang hanya diketahui oleh mereka dan Allah. Namun kita sebagai orang kebanyakan, kita dituntut mencari kesembuhan dan yakin serta menaruh harapan untuk sembuh.

6. Berubat dengan mematuhi syariat Islam sepenuhnya.

Ada sesetengah kaedah perubatan yang amat bertentang dengan amalan Islam. Apabila kita mengetahui kaedah rawatan ini tidak memenuhi syariat Islam sepenuhnya, maka kita hendaklah meninggalkan kaedah tersebut. Contohnya, katakanlah sebagai syarat untuk sembuh dari penyakit kita dikehendaki menjunjung satu patung dan meminta agar kuasa ruh dari patung itu menyembuhkan penyakit kita. Meskipun kaedah ini mungkin boleh mendatangkan kesan positif kepada kesihatan, namun ianya adalah kesalahan paling besar kepada Allah iaitu syirik. Sanggupkah kita membeli kesembuhan dengan menjual tauhid kepada Allah?

Satu kaedah rawatan yang pada asalnya harus, boleh bertukar menjadi makruh dan akhirnya haram sekiranya ianya melanggar tatasusila dan kesopanan masyarakat setempat. Sebagai contoh, air liur boleh digunakan sebagai ubat seperti sabda nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud "Tanah di negeri kita, dan air liur sebahagian dari kita boleh menyembuhkan penyakit sebahagian dari kita dengan izin Tuhan kita". Untuk rawatan gigitan nyamuk, kita boleh keluarkan sebahagian dari air liur dan disapukan kepada tempat gigitan nyamuk.

7. Ikhlas kepada Allah dalam berbelanja mendapatkan rawatan.

Apabila kita sakit, bermakna Allah mahu kita berbelanja di jalan mencari kesembuhan. Wang kita akan berkurangan. Kemungkinan juga kita akan hilang pekerjaan sekirannya penyakit berlarutan menjadi lebih parah. Sesetengah pesakit awal-awal lagi mempunyai prasangka tidak baik kepada perawat dengan menjangkakan dia akan "terkena". 

Sebenarnya tidak ada jaminan anda tidak akan ditipu atau anda tidak akan kehilangan pekerjaan, atau anda akan sembuh dari penyakit yang dialami. Jaminan keselamatan ini tidak wujud apabila anda sakit maupun anda sihat. Selagi anda hidup, selagi itulah ujian-ujian Allah dalam berbagai-bagai bentuk akan dilaksanakan ke atas anda. Tujuannya ialah Allah ingin melihat siapakah yang terbaik di sisiNya.

Mau tidak mau, anda haruslah lalui takdir yang telah ditetapkan dengan berpandukan wahyu tuhan iaitu mematuhi hukum-hukum syarak walaupun dengan mengikut hukum Tuhan, ujian tersebut nampak seolah-olah akan memudharatkan kita. Dalam melalui ujian-ujian tersebut, hendaklah anda berserah dan pasrah bulat-bulat kepadaNya. Tolong jangan salah faham, anda berserah bulat-bulat kepada Allah setelah menjalankan tuntutan dan kewajipan seperti dikehendaki oleh syarak (hukum Islam).

Dalam kes kita mendapatkan rawatan, hendaklah kita berdoa mendapatkan kesejahteraan dan perlindungan dari Allah sebelum pergi berubat. Dapatkan cadangan dan pandangan dari orang terdekat berkenaan perawat yang bakal ditemui samada perawat mengamalkan perubatan mengikut syarak atau menggunakan pertolongan makhluk halus. Lakukan siasatan terhadap perawat sebelum and berjumpa dengannya. Salah satu cara terbaik ialah dengan membuat kajian tentang perawat melalui Internet.

Gunakan kebijaksanaan anda untuk menilai usaha yang dilakukan oleh perawat, keberkesanan rawatan, masa rawatan dan jumlah bayaran yang dikenakan. Bandingkan jumlah bayaran dengan rawatan cara moden. Sekiranya bayaran adalah lebih kurang berbanding rawatan cara moden dan kaedah rawatan sama-sama berkesan, mengapa kita perlu merungut tentang bayaran. Apatah pula bila rawatan cara Islam lebih berkesan dari rawatan cara moden.

8. Tidak memburukkan nama baik mana-mana perawat yang tidak jelas kesalahannya.

Sebahagian dari ahli masyarakat kita memandang serong kepada perawat-perawat yang menetapkan harga perkhidmatan mereka. Mereka menganggap bahawa rawatan cara Islam adalah percuma. Tanggapan ini sebenarnya salah. Islam membenarkan perawat untuk menetapkan harga rawatan sebelum pesakit menerima rawatan.

Agak menghairankan bagi saya, di dalam masyarakat kita, doktor, jururawat dan bomoh dibenarkan menetapkan harga perkhidmatan mereka, tetapi perawat cara Islam tidak boleh, sedangkan semuanya terlibat dalam satu bidang, iaitu bidang perubatan.

Sebahagian dari masyarakat kita juga suka membandingkan kelebihan sesetengah perawat dengan perawat yang lain dengan cara yang kurang tepat. Sebagai contoh, pesakit A berubat dengan perawat B selama 3 bulan, tetapi masih belum sembuh. Kemudian pesakit A beralih angin dengan menerima rawatan dari perawat C. Dalam masa 1 bulan sahaja pesakit A sembuh. Setelah itu dia menyebarkan berita bahawa penyakitnya sembuh di tangan Perawat C dan tidak di tangan perawat B. Kesan dari berita ini di mata masyarakat ialah nama perawat C akan menjadi semakin baik berbanding perawat B.

Hakikatnya ialah perawat B telah menghabiskan lebih banyak masa untuk mengubat pesakit A berbanding perawat C. Dari segi lojiknya, sebahagian besar dari penyakit yang di alami oleh A telahpun beransur kurang. Sekiranya A terus berubah dengan B, kemungkinan besar penyakitnya akan sembuh di tangan B. Bak kata pepatah, "lembu punya susu, sapi yang dapat nama."  Dalam hal ini, perawat C yang mendapat nama sedangkan kerja-kerja yang sukar telahpun dilakukan oleh perawat B.

Kesimpulannya ialah kita dilarang membandingkan kehebatan nama-nama perawat yang telah menabur bakti kepada kita. Walaupun kadang-kadang mereka tidak berjaya menyembuhkan penyakit kita, hati sebahagian mereka terlalu ikhlas dalam membantu kita setakat yang mereka mampu. Allah amat mengetahui kemurnian dan ketulusan hati mereka dan Dia amat murka kepada pesakit-pesakit yang memburuk-burukkan hamba-hambaNya yang mulia. Lagipun, yakinlah, bila kita sakit, Allah yang menyembuhkan - tidak ada yang lain, dan tidak juga mana-mana perawat.

Wallahu a'lam

Sumber

No comments:

Post a Comment