Salahuddin Sebagai Tokoh Katalis
Kebangkitan Islam
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa.
Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni
peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia
menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari
nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang
hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga
menjadi contoh dalam memerangi kekufuran hingga ke hari ini.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan
Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada
orang lain tetapi tidak menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi orang
hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi
pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan
jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung itu.
Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, ia
diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah
kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad,
penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan
memaksa diri untuk pergi ke Mesir Bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat
pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah,
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh
jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin Al-Ayubi
Ketika Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin
bahawa Allah telah mempertanggung-jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat
yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin
telah menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi
pemerintah Mesir. dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya.
Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan
dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin
mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan
menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak
hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh
kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh
tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat
untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.
Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerahkan aku
bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia
memenangkan perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya
untuk jalan jihad.
Semangat Jihad Salahuddin Al-Ayubi
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah.
Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar
untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk
perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya
untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk
tujuan berjihad.
Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan
memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam
khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja
yang menggalakkannya berjihad akan
mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat
apabila ia telah memulakan jihad melawan tentera salib ia akan menumpahkan
seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang
kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari
satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya
supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke
seluruh pelusuk tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya
bangkit membela Islam.
Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa
oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya
makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerana ia tidak
mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)
Peperangan Salib di Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera
Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin.
Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah.
Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta
adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan
ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey
dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera
Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahwa
dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian
yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.
Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas
batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan
kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000
tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan,
timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin Al-Ayubi kepada Islam
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada
Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan
peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya
didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah
Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang
Raja duduk di dekatnya.
Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata,
"Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia
bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah
haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad SAW atasnya". Lalu ia
menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa
keluar oleh pengawal dari khemah.
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar
kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan
mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja
membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas,
jadi terjadilah apa yang telah terjadi".
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada
Islam dan Nabi Muhammad SAW. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan
Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan
tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan
angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk
menyelematkan kamu". Ketika ia mendengar berita ini ia telah berjanji akan
membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
Salahuddin Menawan Baitul Muqaddis
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada
Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa
Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan
bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya.
Pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj,
Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah SAW naik ke langit.
Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas
kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan
orang-orang biasa datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai
lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria
datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir
semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada
tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit.
Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di
Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan.
Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang
tahu betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin Yang Penyayang
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini
sangat jauh berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian
pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin
telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin
telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah
kalah. Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan,
mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.
Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis ditangannya dan
seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang
tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah
menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku
telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku
pula". Lalu ia memerintahkan
pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu
membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka begitu ramailah orang berpusu-pusu
keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah
Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk
tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099.
Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda
di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu
'tersumbat' dengan mayat-mayat orang-orang Islam, yang tidak bersenjata
disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara
rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang
Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana
sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik
orang-orang Kristian apabila mereka
dilayan dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja
yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah
seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin
di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang
Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh
Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa
hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan
tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan
dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.
Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti
Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus
raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders
telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa
pembesarnya dan saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan
kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh
tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua
belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk
memuat perjanjian di Ramla pada tahun
588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestin seluruhnya
kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah
peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya
Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar
Hittin pada bulan Julai, 1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam
tangan orang-orang Islam. Selepas
Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192 M, keseluruhannya menjadi milik
mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa
malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin
masih di tangan orang-orang Kristian.
Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata.
Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of
Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja
dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada
pemerintahan Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik
dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu,
tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian
yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan
kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin
telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah
undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan.
Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang
tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.
Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah
tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini,
Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari
Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang
Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi
Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula
peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin
sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura (musyawarah)yang membuat
keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan
Salahuddin sendiri.
Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat
tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja.
Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat
lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya
mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya
semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan
dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada
Salahuddin.
Kematian Salahuddin Al-Ayubi
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah
selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun.
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai
hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh
sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang yang wara'
telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an
dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak
tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin.
Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an.
Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au
Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang
mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka
matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata,
"Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun
kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan
harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah,
barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan
harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk upah pengkebumiannya. Keluarganya
terpaksa meminjam wang untuk menanggung upah pengkebumian ini. Bahkan kain
kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.
Salahuddin yang Wara'
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan
berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak
pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika
sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan
sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, ia sentiasa
mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak
dapat sembahyang malam, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin
melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga
terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pengsan.
Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah
membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat
murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan
kepada yang memerlukan hinggakan ketika
wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia
tidak meninggalkan harta.
Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah
meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi
Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya
dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil
berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera ia
membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin
sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada
tahun kewafatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi
ditakdirkan.
Ia sangat gemar mendengar bacaan Al-Qur'an. Dalam medan peperangan
ia acap kali duduk mendegar bacaan
Qur'an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu' semalam. Ia
mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi
dagunya.
Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan
memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan.
Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang
kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di
antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan
kepadanya.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia
biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam
kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu
seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu
Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota
suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan,
"Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabis kan masa
malam itu dengan bersembahyang dan munajat.
Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawabnya,
"Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampir subuh
akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh
tangannya. "Aku tidak tidur semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh
aku berkata kepadanya, "Kau lena munajat kepada Allah memohon
pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa yang perlu ku lakukan?"
Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi
ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di
masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas
azan di tempat Rasulullah SAW pernah
sembahyang sebelum mi'raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang
dibuat di tempat itu adalah mustajab.
Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala
bekalanku. Kini aku mohon pertolongan- Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu.
Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh
menolongku dalam keadaan yang genting ini"
Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan
mengkabulkan doamu". Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku
berada di sebelahnya ketika dahinya
mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang.
Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya
dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh
yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka
membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi"
Tingkah-laku Salahuddin Al-Ayubi
Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang
taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan
tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia
telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan
Selasa.
Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan
kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan
yang diterimanya dan mengucapkan untuk
dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu
diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak
pernah membenarkan orang meninggalkannya
selagi ia belum menyempurnakan
hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia
sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti
dan kemudian memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat
aduan berkenaan Taqiuddin, anak
saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta
penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada
Salahuddin sendiri. Yang memerlukan
penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah
menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.
Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar
dan sangat benci kepada ketidakadilan. Ia sentiasa mengabaikan
kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka
melakukan kesilapan yang memanaskan
hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka.
Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah
apa sebabnya air itu tidak diberikan
kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu
berkata, "Aku hampir mati kehausan". Ia kemudian meminum air
yang dibawakan kepadanya tanpa
menunjukkan kemarahan.
Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit
yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air
sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya.
Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya
berkata kepada khadamnya, "Katakan sajalah kalau kau tak suka
kepadaku". Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus
memaafkannya.
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang
menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang
baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah
berjaya menawan bandar 'Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan,
menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia
memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata
untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu
merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.
Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga
habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama
sahaja. "Aku tahu", kata Bahauddin, "Ia mengatakan
dirinya". Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya
tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya
itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya
dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan
menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan
kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit.
Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan
apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang
perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis
dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari
khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya
Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh
mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera
memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak
lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira
mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada
anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya
ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga
dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat
orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada
mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.
Kesungguhan dan Semangat Sallahuddin
Al-Ayubi
Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa
Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk
bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa
angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan
sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku apabila
kamu menunggang kuda".
Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah
akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. "Apabila ia
sakit", kata Bahauddin, Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia
tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan
menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang
sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya
sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja
menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk
kawalan keselamatan pada waktu malam".
Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang
boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan
perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali
sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempuh celah-celah tentera
musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap
tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin
ada mencatatkan satu kisah yang
menunjukkan betapa beraninya Salahuddin.
Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada
masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perkara ini ia
segera mengarahkan supaya hadis-hadis
dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang
datang untuk menentangnya. Dalam beberapa ketika, tentera Salib berjumah
sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang
jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh
dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari
70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang.
Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin.
Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak
besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut. Tentera
musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah
Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya
dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan.
Musuh telah kalah teruk dan berundur
meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin.
Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beri tahu
padamu apa yang ada dalam hatiku.
Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku
akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan
arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan
pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak
akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai.
Salahuddin Al-Ayubi Sebagai Ulama
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga
mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia
mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat
gemar mengumpulkan pengetahuan dan
maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari
satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur'an ia juga banyak
menghafal syair-syair Arab.
Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan
yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis
serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir
Qur'an.
Rujukan :
Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H.Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat
Salahuddin (Bin Nawadir-I-Sultania). Mesir (diterbitkan 1317h):31,32-33, 7,155
Poole S. L. 1914. Saladin. New York: 72, 99
Dipetik :
Judul Asal : Saviors of Islamic Spirit.
seorang role model yg hebat...
ReplyDelete