Thursday 5 April 2012

BENARKAH MUSTAFA KAMAL ATARTUK MELAKUKAN PENYELEWENGAN TERHADAP ISLAM?

Mungkin ramai umat Islam di Malaysia yang tidak mengenal siapa sebenarnya Mustafa Kamal Atatuk dan tidak mengetahui perkara yang dilakukan oleh beliau terhadap Islam. Ramai yang menganggap beliau adalah bapa Turki Moden, seorang pejuang dan pembela umat Islam, bapa pembangunan Turki dan sebagainya. Di samping itu mungkin ramai juga yang mengatakan beliau adalah anak didik barat, pengkhianat kepada Islam dan umat Islam. Banyak penyelewengan terhadap Islam dilakukan oleh beliau. Baru-baru ini bekas seorang Pemimpin Malaysia ada menyebut bahawa Mustafa Kamal sebagai penyelamat umat Islam Turki dan menyelamatkan Turki untuk Islam .Dalam ucapan itu beliau berkata "Ramai orang Islam mengutuk Mustafa Kamal kerana dia bukan seorang Islam yang baik"…(sedangkan yang sebenarnya) "Jika bukan kerana Mustafa Kamal, tidak akan wujud orang Islam di Turki kerana Turki sudah pasti telah menjadi sebahagian daripada Greece".

Adakah pendapat bekas yang disebutkan di atas dan pendapat orang lain yang seumpamanya itu betul dan benar atau sebaliknya? Jika dikaji sejarah Mustafa Kamal Atatuk yang sebenar sebagaimana yang ditulis oleh ahli-ahli sejarah Turki dari kalangan tokoh Islam, didapati pendapat itu tidak benar. Sejarah menyebut bahawa beliau adalah anak didik Inggeris berperanan besar menjatuh Khalifah Othmaniah Turki iaitu dengan menggulingkan khalifah Muhammad Wahiduddin dengan mendapat bantuan Inggeris. Beliau tidak melaksanakan syariat Islam dalam sistem pemerintahan dan banyak lagi penyelewengan-penyelewengan lain yang dilakukan.
Mustafa Kamal Atartuk semenjak sebelum berkuasa memerintah Turki dan seterusnya selepas berkuasa memerintah, beberapa perubahan drastik dilakukan oleh beliau bagi menjauhkan umat Islam dari menghayati ajaran Islam yang sebenar. Di antara perkara-perkara besar yang dilakukan selain daripada menghapuskan sistem khalifah Islamiah ialah:
a) Menandatangani Perjanjian Luzan
Pada awal abad ke-20 masihi, Mustafa Kamal Atartuk menandatangani satu perjanjian dengan Inggeris dan kuasa bersekutu barat. Dalam perjanjian tersebut, terdapat empat syarat penting yang perlu di patuhi oleh beliau iaitu:
  1. Turki perlu putuskan sebarang hubungan dengan Islam
  2. Sistem Khalifah Islamiah mesti dihapuskan
  3. Mengeluarkan atau menghapus sesiapa sahaja penyokong Khalifah dan pejuang Islam dari bumi Turki
  4. Mengguna pakai perlembagaan Turki baru (yang sekular) sebagai ganti kepada perlembagaan Turki lama (yang mengikut syariat Islam).
Jika dilihat kepada syarat-syarat perjanjian di atas jelas sekali beliau adalah anti ajaran Islam. Beliau cuba menghapuskan system Khalifah Islamiah dan tidak mahu melaksanakan syariat Islam dalam urusan pemerintahan Negara dan sekaligus mahu melaksanakan system pemerintahan secular ciptaan barat Kristian.
b) Menukar Peraturan Syariat Islam Dengan Undang-undang Barat
Setelah berkuasa, Mustafa Kamal menukar undang-undang syariat Islam dengan undang-undang Barat sedikit demi sedikit, iaitu di ambil undang-undang sivil dari Switzerland, undang-undang jinayah dari Itali, undang-undang perundangan dari Jerman dan lain-lain lagi. Apa yang dilakukan adalah satu usaha kearah mahu melaksanakan kehendak perjanjian Luzan dan bagi menghalang syariat Islam dari dilaksanakan di dalam system pemerintahan Turki.
c) Memisah Dan Mengasingkan Urusan Agama Dengan Politik Dan Negara
Mustafa Kamal merupakan seorang pemimpin Negara Islam pertama yang melakukan pemisahan antara agama dan politik. Bagi menjayakan pemisahan itu, beliau ada menyebut "Tidak ada politik dalam agama dan tidak ada agama dalam politik" Ini bererti beliau telah menerima dan malaksanakan fahaman sekular yang di ambil dari barat dalam sistem pemerintahnya. Sistem itu memang bercanggah dengan ajaran Islam. Islam satu-satunya agama yang lengkap dan sempurna, ajarannya melipuli segala urusan hidup manusia di dunia dan akhirat. Ajarannya meliputi perkara-perkara akidah, syariat dan akhlak. Ajaran Islam tidak ada pemisahan antara agama dan politik Nabi S.A.W, para sahabat, para ulama dan lain-lain lagi. Semuanya menghayati keseluruhan ajaran agama yang merangkumi ketiga-tiga perkara pokok diatas. Mereka juga kuat beribadat, berpolitik, berniaga, belajar, bersukan dan lain-lain lagi.
d) Azan Dalam Bahasa Turki
Setelah Mustafa Kamal Atartuk berkuasa di Turkin, beliau mengeluarkan perintah kapada semua rakyat Turki Islam supaya azan dilakukan dalam bahasa Turki, iaitu ditukar azan dari bahasa Arab kepada bahasa Turki. Sedangkan azan disyariatkan oleh Rasullah S.A.W dalam bahasa Arab sebagaimana yang kita ketahui. Syariat ini berjalan semenjak dahulu sampai sekarang dan seterusnya sampai ke hari kiamat. Azan tidak boleh digunakan dalam bahasa lain selain bahasa Arab. Walaupun begitu Mustafa memaksa rakyat melakukan azan dalam bahasa Turki. Namun begitu dibeberapa tempat pedalaman umat Islam yang yakin kepada Islam tetap melakukan azan dalam bahasa Arab secara senyap-senyap bagi mengelak dari di ketahui oleh pihak berkuasa.
e) Al-Quran Dicetak Dalam Bahasa Turki
Bukan sahaja azan dipaksa supaya dilakukan dalam bahasa Turki, bahkan dipaksa supaya al-Quran dicetak dalam bahasa Turki dengan mengguna tulisan rumi. Beliau tidak mahu al-Quran ditulis dan dicetak dalam bahasa Arab sebagaimana ia diturunkan. Tindakan beliau ini merupakan satu jenayah besar dilakukan oleh beliau. Ulama Islam dahulu dan sekarang sepakat mengharamkan al-Quran ditulis dalam tulisan selain bahasa Arab.
 f) Memaksa Perempuan Membuka Atau Mendedahkan Aurat.
Bagi membaratkan muslimat Turki dan menjauhkan mereka dari ajaran Islam yang sebenar, Mustafa Kamal memaksa mereka membuka hijab, mendedahkan aurat, mendedahkan kepala dan menggalakkan memakai pakaian ala wanita barat. Manakala kaum lelaki dilarang memakai tarbus dan dipaksa memakai topi keras seperti yang dipakai oleh orang barat Kristian. Dengan lama kelamaan rakyat Turki terus memakai pakaian seperti itu sehingga mereka seolah-olah oran barat.
g) Ditukar Hari Cuti Umum Kepada Hari Ahad
Kalau sebelum itu seluruh Negara Islam menjadikan cuti umum pada hari Jumaat, Mustafa Kamal merupakan pemimpin Islam pertama yang menukarkan cuti tersebut kepada hari Ahad sama seperti cuti di negeri-negeri barat Kristian. Perubahan yang dilakukan ini jelas kepada kita bahawa beliau ingin mengikut barat dan anti Islam. Itu adanya agenda beliau yang tersendiri yang sedikit sebanyak cuba menarik umat Islam Turki meniru gaya barat. Selain itu beliau juga menukar kalendar tahun Hijrah kepada kelendar tahun Masihi seperti yang diamalkan di barat. Kemudian lama-kelamaan umat Islam Turki lupa tahun Hijrah dan lupa cuti umum hari Jumaat. Akhirnya mereka lebih mesra dengan mengguna cuti hari Ahad dan mengikut kalendar tahun Masihi sehingga ke hari ini.
Demikianlah sedikit sebanyak perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh Mustafa Kamal Atartuk sewaktu berkuasa memerintah Turki. Perubahan-perubahan negatif yang disebut di atas itu kemudiannya disambung lagi oleh pengganti beliau silih berganti sehingga akhirnya jadilah Turki sebuah negara sekular dan rakyatnya juga turut menghayati sistem atau fahaman tersebut sama seperti masyarakat barat sehingga mereka jauh dari ajaran Islam yang sebenar.
Jadi dengan sikap dan tingkah laku serta tindakan beliau sedemikian rupa adakah boleh dianggap sebagai penyelamat umat Islam Turki? Atau sebagai bapa Turki moden? Bagi penulis dengan melihat kepada perubahan-perubahan yang dilakukan itu bolehlah dikatakan beliau adalah anak didik barat, seorang pemimpin perosak dan penjenayah besar kepada agama Islam serta seorang yang kuat menentang syariat yang dibawa oleh Rasullah S.A.W secara terang-terangan.

Disediakan oleh:
Dr Zakaria @ Mahmod bin Daud, KIAS

1 comment:

  1. mmg tokoh ni anti islam.. klau x silap, dh lama meninggal tapi x diterima bumi...

    ReplyDelete