Friday, 24 February 2012

Fahaman Syiah Di Malaysia

1. LATAR BELAKANG

Kebangkitan fahaman Syiah secara meluas di Malaysia bermula dari kemenangan revolusi Islam yang diketuai oleh Ayatullah Al-Khomeini di Iran pada tahun 1979 dan menjadikan Iran sebagai Republik Islam. Atas nama kerajaan Islam itulah rakyat Malaysia telah memberi sokongan tanpa menyedari orang-orang Iran yang berfahaman Syiah telah menyebarkan fahaman mereka dengan meluasnya di Malaysia.

2. PENYEBARAN
2.1 Penyebaran fahaman Syiah di Malaysia dilakukan melalui beberapa cara :

a) Lawatan pembesar-pembesar Iran ke Malaysia yang di susuli dengan kempen dan penerangan fahaman mereka serta lawatan pelawat-pelawat Malaysia ke Republik itu.

b) Melalui pelajar-pelajar Malaysia yang ditawarkan belajar ke Republik itu dengan diberi biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya atau melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia yang membuat lawatan ke pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia.
c) Memberi hadiah berupa buku fahaman Syiah kepada perpustakaan-perpustakaan umum seperti perpustakaan universiti, masjid dan toko-toko buku yang terkenal.

2.2 Di Malaysia terdapat 3 kumpulan Syiah yang berkembang beberapa tahun lalu :

a) Syiah Tayyibi Bohra (Dawood Bohra)

Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia dikenali sebagai golongan yang memiliki kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di daerah Klang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjid sendiri dengan jumlah pengikut dianggarkan 200 hingga 400 orang.

b) Syiah Ismailiah

Kumpulan ini dikenali dengan nama kedai Perbhai yang bergerak di Lembah Klang. Bilangan pengikutnya lebih kecil dari kelompok Bohra.

c) Syiah Ja’fariyah @ Imamiah Ithna Asyariah

Kumpulan ini dipercayai mula bertapak di Malaysia pada tahun 1979. pengaruh ajaran dan fahaman ini menular melalui bahan bacaan dan individu seperti pensyarah IPT. Beberapa buku utama Syiah telah dijadikan rujukan dan telah diterjemah dalam Bahasa Melayu. Pengikut kumpulan ini dianggarkan 300 hingga 500 orang.
3. PERKEMBANGAN SYIAH DI SELANGOR

Berdasarkan kajian dan siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis, Syiah di Negeri Selangor dikategorikan seperti berikut :

3.1 Pusat Pengajian Tinggi

Beberapa buah Pusat Pengajian Tinggi telah dikenal pasti menjadi sasaran Syiah bergerak iaitu Universiti Malay, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa dan Institut Teknologi Mara.

3.2 Orang Awam

Hasil penyiasatan JAIS bersama Polis dan JAKIM didapati beberapa orang penyebar fahaman ini telah bergerak cergas dalam kelompok kecil untuk berkempen dari rumah ke rumah. Di antara individu yang telah dikenalpasti ialah Syed Jaafar bin Abdul Hamid Al-Sagof, beliau didapati menyebarkan fahaman ini di Taman Permata dan Taman Melor di Hulu Klang.

3.3 Menubuhkan Persatuan

Terdapat usaha-usaha kumpulan ini menubuhkan persatuan untuk mengembangkan fahaman Syiah kepada orang ramai yang dikenali dengan nama “Darul Husaini” tetapi pendaftaran ditolak pada 19September 1992 atas nasihat MAIS dan JAKIM.

4. PENYELEWENGAN SYIAH

Berikut adalah antara cirri-ciri ajaran Syiah yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah:

4.1 Imam Adalah Maksum

Syiah meyakini bahawa imam-imam adalah maksum iaitu terpelihara daripada dosa kecil dan besar dari peringkat kanak-kanak hinggalah meninggal dunia, kedudukan mereka sama seperti nabi-nabi. Pada iktiqad mereka Imam memelihara syariat dalam kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal 72.

4.2 Kemunculan Imam Mahadi Bersama Orang Yang Telah Mati

Golongan Syiah dikehendaki mempercayai bahawa Allah akan menghidupkan semula orang-orang yang telah mati ke dunia ini bersama-sama Imam Mahadi untuk menghukum orang-orang yang telah melakukan kezaliman seperti Saidina Abu Bakar, Omar, Uthman, Aishah, Hafsah, Muawiah dan lain-lain lagi.

Fakta ini dijelaskan dalam kertas Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al- Muzaffar, hal 83
4.3 Berpura-Pura

Mengikut aqidah Syiah, al-Taqqiyah ialah menunjukkan sesuatu yang boleh membahayakan diri atau harta bendanya dengan melahirkan yang bukan hakikat sebenar dari kandungan hatinya. Al-Taqiyyah ini diamalkan dalam setiap perkara kecuali dalam masaalah arak dan menyapu khuf. Perkara ini dijelaskan dalam buku Al-Usul Min Al-Kafi juz 2 oleh Abu Jaafar Muhammad bin Yaakub bin Ishak al-Khulaini al-Razi. Hal

4.4 Menyanjung Saidina Ali Secara Keterlaluan

Syiah menyanjung Saidina Ali secara berlebih-lebihan hingga disamatarafkan dengan Rasulullah. Bahkan dalam beberapa hal Saidina Ali dianggap lebih tinggi lagi. Perkara ini dinyatakan dalam kitab Al-Usul Min Al-Kafi oleh Al Khulaini. Jld.1.Hal. 197

4.5 Menghalalkan Nikah Mut’ah

Golongan Syiah menghalalkan Nikah Mut’ah. Perkara ini dinyatakan dalam kitab Man La Yahduruhu Al- Faqih oleh Abu Jaafar Muhammad bin Ali bin Hussain Bahawiah Al-Qanuni. Juzu’ 1 hal 358

4.6 Menambah Syahadah

Golongan Syiah menambah nama Saidina Ali dalam syahadah selepas nama Nabi Muhammad S.A.W. Perkara ini dinyatakan didalam kitab Al-Usul Min Al-Kafi oleh Khulaini, Juzu’1, hal 441

4.7 Menolak Hadis Yang Diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah Sekalipun Hadis Mutawatir.

Golongan Syiah juga menolak semua hadis yang diriwayatkan oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah walaupun hadis itu sampai kepada darjat mutawatir. Mereka hanya berpegang kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Bait sahaja. Pegangan ini disebut dalam buku Aslu Al Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad Al Husain Ali Kasyif Al-Ghita’, hal 149

4.8 Menolak Ijmak Ulama’

Golongan Syiah tidak menerima pakai Ijmak Ulama’ buktinya mereka menolak perlantikan Khalifah Abu Bakar, Umar dan Uthman. Malah mereka berpegang kepada pendapat-pendapat Imam mereka, kerana ijmak pada mereka adalah kesalahan, sedangkan pendapat Imam adalah maksum. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna Asyariyyah oleh Shah Abdul Aziz al-Imam Waliyullah Ahmad Abdul Rahim al-Dahlawi, hal 51

4.9 Menolak Qias

Golongan Syiah juga menolak Qias kerana beramal dengan qias akan merosakkan agama. Perkara ini dinyatakan dalam kitab Aslu al- Syiah Wa Usuluha oleh Muhammad bin Husain Ali Kasyif al-Ghita’, hal 149:

4.10 Mengubah ayat al-Quran

Dipercayai Syiah telah menambah beberapa ayat dalam al-Quran yang bukan dari ayat Al-Quran sebenar. Sila rujuk: m_syiq@yahoo.com untuk maklumat lanjut.

4.11 Menyeksa Tubuh Badan Sempena 10 Muharam

Golongan Syiah mengadakan upacara memukul dada dan mnyeksa tubuh badan sempena 10 Muharam bagi menangisi kematian Saidina Husain. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Syiah Wa al-Tashih al-Sira’, Baina al-Syiah wa al-Tasyayu’, oleh Doktor Musa al-Musawi. Hal 98:

4.12 Menghina Isteri-Isteri Nabi.

Golongan Syiah juga menghina isteri-isteri nabi. Perkara ini dinyatakan dalam kitab Tuhfah al-‘Awam Maqbul oleh Syed Manzur Husain, hal 330

4.13 Mengharuskan Jama’ Sembahyang Dalam Semua Keadaan

Golongan Syiah mengharuskan jamak sembahyang fardhu iaitu Zohor dan Asar dalam waktu Asar, Maghrib dan Isyak dalam waktu Isyak dalam semua keadaan tanpa sebarang sebab. Perkara ini dinyatakan di dalam buku Minhaj Kebenaran Dan Pendedahan (Fiqh Lima Mazhab diantara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahar al-Hilliyyah terjemahan Prof Madya Dr.Lutpi Ibrahim (thn. 1993) hal. 36:

Ja’fari: harus menjamakkan diantara sembahyang Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak sama ada di dalam musafir ataupun hadir tanpa sebab

4.14 Sembahyang Duha Adalah Bid’ah.

Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab Di antara Nas dan Ijtihad) oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahar al-Hulliyy, terjemahan Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim. Hal 31 :

Ja’fari : sembahyang Duha adalah bid’ah. Para imam mazhab empat ianya sunat. Lantaran itu mereka menyalahi sunnah Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh al-Humaidi dalam al-Jami’ Baina al-Sahihain daripada Marwan al-‘Ajali, dia berkata: aku berkata kepada Ibn Umar “anda mengerjakan sembahyang Duha? Dia menjawab: “tidak”. Akupun bertanya lagi, Abu Bakr? Dia menjawab: “tidak”. Humaidi pula meriwayatkan dari Aisyah di dalam Musnad Aisyah, dia berkata sesungguhnya Nabi S.A.W tidak pernah mengerjakan sembahyang Duha. Abdullah b. Umar juga berkata, “Sembahyang Duha adalah bid’ah dari segala bid’ah.




Rujukan :


No comments:

Post a Comment