Monday, 20 February 2012

Malang berbau?

Kemalangan maut telah menjadi igauan bagi rakyat Malaysia ketika ini. Sering kali terpapar di dada akhbar mahupun di dalam berita televisyen, hampir saban hari mengenai kemalangan maut yang berlaku. Siapa tahu, mungkin yang terkorban di dalam kemalangan itu bakal pemimpin negara, ataupun bakal ahli sains yang akan menjadi pemenang anugerah nobel pertama dari Malaysia. Itu lah hakikatnya, kita bukan sahaja rugi berjuta-juta ringgit dalam bentuk material (tangible) tetapi mungkin juga kita kerugian lebih dari itu (intangible loss). Apa yang kita lakukan untuk mengatasi masalah tersebut?

Ops-sikap yang diadakan 2 kali setahun hanyalah sekadar mengumpul data bagi mengetahui statistik kemalangan sahaja. Ia bukan lah permanent counter measure bagi menyelesaikan punca masalah tersebut. Kempen-kempen yang dijalankan pihak berkuasa juga boleh diibaratkan seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan seringkali juga kelihatan seperti ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Ketika berlakunya kemalangan maut yang dahsyat maka semua akan berkokok ke sana ke mari, ubah cara pelaksanaan atau penguatkuasaan undang-undang, ketatkan segala macam syarat. Tapi itu semuanya tak ubah seperti fire fighting (padamkan api semasa kebakaran, tapi tidak cuba menyelesaikan punca masalah). Tidak ada langkah konkrit yang kelihatan diambil oleh pihak berkuasa bagi menyelesaikan root cause (punca sebenar masalah) kemalangan maut tersebut. Buktinya, kadar kemalangan tidak pernah berkurangan secara berterusan (mungkin kurang tahun ini, tahun depan naik kembali, tiada korelasi). Sampai bila harus kita merelakan kehilangan orang tersayang baik atas kesalahan mereka sendiri, mahupun atas kesalahan orang lain? Sampai bila harus kita merelakan kerugian besar sumber-sumber negara (resources)?

Marilah kita sama-sama fikirkan supaya jalan raya di Malaysia ini menjadi lebih selamat dan tidak selamanya menjadi punca utama kematian rakyat Malaysia selepas penyakit-penyakit kronik seperti barah dan lain-lain. Saya ada melakukan kajian bagi projek sarjana saya di sebuah Universiti awam beberapa tahun yang lalu, dan izinkan saya berkongsi finding and observation saya. Semoga sedikit sebanyak boleh membantu menjadi pemangkin atau trigger (peledak) kepada mereka yang di dalam bidang ini (keselamatan jalan raya) bagi meneruskan usaha mereka menyelamatkan lebih banyak nyawa rakyat Malaysia daripada hilang begitu sahaja di jalan raya.

Malang berbau?

Saya berpendapat antara punca banyaknya kadar kemalangan di negara kita ini adalah kerana peribahasa melayu lama yang telah disalahguna oleh orang Malaysia, iaitu “Malang Tidak Berbau”. Maka kita tidak boleh berbuat apa-apa untuk mencegahnya. Saya berpendapat sebaliknya. Malang adalah berbau dan kita boleh mencegahnya. Sebelum saya pergi lebih jauh lagi, saya akan berikan contoh yang mudah supaya kita semua boleh faham arah tuju perbincangan kita ini. Apakah kebarangkalian (matematik) kita akan mengalami kemalangan jalan raya jika kita sedang tidur di rumah? Kebarangkalian nya ialah, hampir kosong (0), atau mungkin kosong (tetapi tiada yang mustahil dengan kehendak Tuhan). Baik, sekarang apakah pula kebarangkalian kita akan mengalami kemalangan jalan raya sekiranya kita menunggang motosikal dengan laju melawan arus lebuh raya berhampiran selekoh? Kebarangkalian nya ialah hampir satu ( dekat dengan satu, mungkin 0.95). Baiklah, saya kecilkan sedikit skop, kebarangkalian manakah yang lebih tinggi untuk mengalami kemalangan? Adakah memandu dalam keadaan mengantuk atau memandu dalam keadaan cergas? Sudah tentu memandu dalam keadaan mengantuk lebih tinggi.

Kemudian, kebarangkalian manakah yang lebih tinggi untuk mengalami kemalangan? 1. Memandu dengan kereta yang botak tayarnya, tidak diselenggara brek, dan sudah setahun tidak pernah servis, kereta juga tidak mempunyai sistem ABS. 2. Memandu dengan kereta yang masih lengkap bunga tayarnya, sering diselenggara brek, sering diservis minyak hitamnya dan mempunyai sistem ABS. Sudah tentu jawapannya, perkara 1.  lebih tinggi kebarangkaliannya untuk mengalami kemalangan. Nah, saya rasa kita sudah sedikit nampak hala tuju perbincangan ini. Saya tambahkan lagi sedikit contoh, kebarangkalian yang manakah lebih tinggi untuk mengalami kemalangan maut? 1. Memandu motorsikal dengan laju, melanggar lampu merah dan mengikut rapat kenderaan di hadapan. 2. Memandu motorsikal dengan perlahan di lorong khas motorsikal, tidak memotong sesuka hati dan tidak mengekori rapat kenderaan di hadapan. Sudah tentulah jawapannya ialah perkara 1. mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk bertemu dengan kemalangan maut.

Lihat, kita boleh mengira kebarangkalian untuk bertemu kemalangan. Jika kita boleh dapat nilai hampir 1, atau hampir 0, sudah tentu dengan kajian yang lebih mendalam dan jitu kita boleh mengira kebarangkalian yang di antaranya. Maka, saya ingin tekankan lagi, bahawa Malang itu berbau dan boleh dikira. Sekiranya boleh dikira dan dihitung, maka ia sudah tentu boleh dielakkan. Cukup dengan perasaan takut untuk bertemu kemalangan, bawa kemana sahaja perasaan takut itu bersama diri anda, kebarangkalian untuk bertemu kemalangan akan menjadi rendah.

Near miss atau hampir kena

Saya ada mengatakan bahawa kita perlu menghapuskan root cause atau punca sebenar masalah,barulah kita dapat mengurangkan kadar kemalangan maut secara berterusan. Untuk mencari root cause, kaedah fishbone diagram (carta tulang ikan), brainstorming (sumbang saran) atau 5 Why Analysis (Analisa 5 mengapa) boleh dilakukan. Semua pihak boleh bergabung tenaga bagi mencari punca sebenar mengapa kadar kemalangan maut ini terlalu tinggi dan tidak berkurangan setiap tahun.

Saya ingin berkongsi satu punca berlakunya kemalangan maut. Sebelum itu, cuba anda tanya kepada mereka yang pernah terlibat dengan kemalangan serius, apa yang mereka fikir sejurus sebelum berlakunya kemalangan serius tersebut. Berapa kalikah mereka pernah hampir-hampir terlibat dengan kemalangan serius? Apakah cara pemanduan mereka ketika terlibat dalam kemalangan tersebut. Seringkali kita terbaca di dalam media, kereta itu cuba memotong dengan laju tapi gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu berlanggar berdepanan (head to head collision), ataupun pemandu bas yang terlilbat dalam kemalangan maut tersebut pernah disaman sebanyak 10kali sebelum ini, ataupun “saya hampir terbabas tadi sebab mengantuk, nasib saya tersedar fuhh”. Itu yang kita dengar atau baca, banyak lagi yang kita tidak dengar dan baca kerana kemalangan maut tidak berlaku walaupun mereka melakukan perkara yang sama di atas. Fenomena ini dipanggil near miss (hampir kena).Near miss bermaksud, “peristiwa yang tidak dirancang yang tidak mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan atau kerosakan – TETAPI, berpotensi untuk mengakibatkannya. Hanya nasib yang sedikit baik,menyebabkan kemalangan itu tidak berlaku.”

H.W Heinrich telah melakukan kajian terhadap 550 ribu kemalangan dan mendapati bagi setiap (1) kemalangan fatal atau serius, telah berlaku 29 kemalangan kecil dan 300 near miss (hampir kena). Dia juga mendapati (dalam kajiannya) 88% kemalangan berlaku disebabkan oleh unsafe act (perbuatan/perlakuan tidak selamat) dan 10% disebabkan oleh unsafe condition (keadaan tidak selamat). Dengan kata mudah, berlakunya kemalangan fatal, setelah kita mengalami 300 near miss dan mengalami 29 kemalangan kecil. Maka bolehlah dikatakan, sekiranya kita kurang mengalami near miss, maka kebarangkalian kita untuk bertemu dengan kemalangan maut boleh dikurangkan. Nah, maka fahamlah kita sekarang. Kurangkan seboleh mungkin near miss. Di sini saya senaraikan contoh-contoh near miss dan perkara yang boleh mengundang near miss;

1. Melanggar lampu merah (sangat hampir kepada kemalangan)

2. Memotong sesuka hati (cilok maut)

3. Mengekori kenderaan terlalu rapat (ingat semula peraturan 2 saat). Ikut hukum fizik, sekiranya kita mengekori kenderaan hadapan dengan peraturan 2 saat, maka sampai kiamat pun kita tak akan terlanggar kenderaan di hadapan dan sempat untuk brek jika kenderaan di hadapan berhenti secara tiba-tiba.

4. Berada di jalan raya itu sendiri adalah near miss. Sekiranya tidak ada keperluan, jangan berada langsung di jalan raya. Nescaya kuranglah lagi kebarangkalian kemalangan.

5. Jika terpaksa, seperti menukar tayar bocor, berhentikan kenderaan ke tepi jalan semaksimum yang mungkin. Semakin dekat posisi kenderaan ke jalan, semakin tinggi near miss.

6. Memandu secara merbahaya tidak perlu di huraikan lagi. Ini perkara yang mengundang near miss yang paling tinggi. Elakkan! Sekiranya mahu mencuba, atau inginkan pengaliran adrenalin yang amat laju, daftarkan diri sebagai askar di medan pertempuran barisan hadapan. Nescaya adrenalin anda tidak akan berhenti mengalir.

7. Tidak berfikir tentang kemalangan juga bakal mengundang near miss, seterusnya mengundang kemalangan. Hampir kesemua kemalangan berlaku semasa kita sedang tidak berfikir, “oh kemalangan dijangka berlaku kalau aku buat begini…”

Menurut kajian saya, di Malaysia ini, satu kemalangan maut akan berlaku sekiranya 60 (atau ke bawah) near miss berlaku. Fikirkanlah, sudah berapa kali anda berhadapan dengan near miss?

Kesimpulan

1. Malang adalah berbau dan boleh dikira dan dielakkan. Sekiranya ada pakar-pakar yang sudi meneruskan kajian saya, satu alat berperisian “software” boleh dipasang di kenderaan bagi menentukan berapa kebarangkalian kemalangan akan berlaku berdasarkan input-input yang dimasukkan atau dikira berdasarkan rekod dan situasi semasa. Contoh, rekod penyelenggaraan, kadar kesihatan, kadar mengantuk, keadaan cuaca, anggaran jumlah kenderaan. Alat ini akan menjadi alert kepada pemandu.

2. Diperingkat individu, kurangkan seboleh mungkin near miss event (peristiwa hampir kena). Kemalangan boleh dikurangkan.

3. Pihak berkuasa seperti polis, haruslah membuat penguatkuasaan berdasarkan nasihat. Tahan pesalah trafik dan hantar mereka ke kelas pendidikan di sebalik memberikan saman yang tinggi.

4. Pihak berkuasa juga haruslah mencari root cause (punca sebenar) tingginya kadar kemalangan bukan dengan mencatatkan statistik baru, tetapi dengan mengkaji statistik terdahulu. Temuduga terhadap mereka yang terlibat dengan kemalangan atau saksi kemalangan boleh membantu.

Usaha dan kemudian bertawakkallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertawakkal (3:159)

N.Ashraf A.Wahab

No comments:

Post a Comment