Blog Sebuah Kehidupan
Mesti kalimah ini tergantung di dinding rumah anda kan?
Alangkah bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah.
Zaman Baginda itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah.
Inilah generasi yang telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana
membantu Baginda menundukkan dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom
dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun
kehebatan individu di kalangan Sahabat Rasulullah terdapat pada diri
mereka akhlak mulia mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.
Mereka mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan
Islam dengan menyebar dan memperluaskan ajaran Baginda Rasulullah SAW
sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa maksud
kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk
umat manusia sejagat.
Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?
Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad, di antara
mereka ada yang diberikan nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan
menggunakan nama Para Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar,
Uthman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair
dan sebagainya. Tetapi apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap
masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi Para Sahabat dalam
mendepani segenap isu agama.
Alangkah malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula
menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak
memberi makna langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang
disebutkan di atas tidak lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa?
Sama-samalah kita mencari kekurangannya.
Malah Islam hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya
hidup tidak melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara
berpakaian, penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga,
cara berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu
macam karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim
yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.
Inilah yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14
abad lalu, seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda
sentiasa menerima wahyu daripada Allah Taala, sudah tentu Dia
mengetahui segala-galanya kerana ia di bawah kawalan dan
pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud, daripada Ali
bin Abi Talib RA berkata:
“Telah
bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana
tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak
tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid
mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka
adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit.
Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu
akan kembali”. (Hadis riwayat Al Baihaqi)
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak
begitu jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah
SAW. Kalau belum sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang
Baginda sebutkan dalam hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu
persatu untuk melihat sejauh mana kebenaran kenyataan baginda itu.
- Islam hanya tinggal namanya sahaja.
- Al Quran hanya tinggal tulisannya.
- Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
- Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
- Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
Islam Hanya Tinggal Namanya Sahaja
Kelak akan banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan
sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya
namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu.
Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.
Solat mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali,
setahun sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya
pula enggan membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’
namun masih lagi melepak di kedai judi dan menghabiskan masa.
Ramai yang bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya.
Pandai berpidato agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan
memperjuangkan Islam, sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram
dan haram menjadi halal, bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan
dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan nas.
Sebenarnya orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang
munafik sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa
itu nifak? Beliau menjawab:
“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”. (Masnad ar-Rabi’)
Al Quran Hanya Tinggal Tulisannya
Dalam banyak hadis Rasulullah SAW, Baginda menganjurkan kita umatnya
agar membudayakan pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada
pelbagai penyakit yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai
penyembur kepada hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit cintakan
dunia secara berlebihan.
Tujuan Al Quran diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal
akidah, iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi
kandungannya, diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi
rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang
paling utama ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah
yang ada di dalamnya.
Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan
untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan
Al Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai
walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang
melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas
di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi bahawa Al Quran hanya
tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.
Masjid Tersergam Indah Tetapi Kosong Daripada Hidayah Allah
Inilah kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid
umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi
pengisian di dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya
menjadi tempat menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada
pengunjungnya.
Terdapat masjid yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan
penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, namun
kadang-kadang apa yang menduka-citakan kelas pengajian pun tidak ada,
ada yang diisi dengan kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak
memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid
dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling
cantik dan bersih.
Lahirnya Ulama Jahat
Tidak dinafikan juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani
untuk menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim seperti
yang disabdakan oleh Baginda, justeru itulah yang diingatkan oleh
Baginda dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.
“Dan
kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab
mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada
dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti
anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya
termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan
lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya
mereka berfikir”.(surah Al ‘Araf ayat 176)
Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan
ramai mufassirin bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang
lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama
lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai
kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.
Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada
seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan
kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar
(Doa Bal'am bin Ba'ura mustajab). Setelah peristiwa firaun dilemaskan
dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel yang terselamat terus
mengembara sehinggakan hampir sampai dengan negeri tempat tinggal
Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya
diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah
bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan
untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya
(berdoa) untuk mengalahkan Nabi Musa AS.
Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah
isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti
biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya
mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa
dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang
dipinta oleh Raja”.
Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan
sekatan kepada Nabi Musa AS, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan
Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Teh (sekarang dinamakan semenanjung Sinai) selama 40 tahun.
Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah
SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat
di ladang Teh ini?”.
Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”
Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu
mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap
Bal’am”.
Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya.
Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam
keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.
“Minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am
bin Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan
pengajaran kepada kita).
Kepentingan dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti
menguasai hidup mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa yang
diharamkan Allah, menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya
tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga sanggup menggadai
prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili maka dialah
yang merasa bahang pedasnya.
Fitnah Tersebar Akibat Kedangkalan Ulama-Ulama Jahat
Fitnah terhadap Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir
oleh individu Muslim yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang
melibatkan artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi
menjadi juadah mata pada hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana
ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut
segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada
diri umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup.
No comments:
Post a Comment