Sunday, 28 August 2011

Arrgghhh!!! Berpisah Juga Kita. Pemergianmu Ku Tangisi

Ternyata, begitu cepat pertukaran hari siang dan malam itu. Begitu cepat berlalu satu bulan dan tahun. Itulah sifat dunia dan waktu. Dunia ini cepat hilang, dan semakin dekat pada kehancurannya. Dunia ini tidak akan abadi dan tidak akan tetap. Inilah sunnatullah dalam seluruh ciptaanNya. Semuanya sudah ada ketetapan batas waktunya.
Kini Ramadhan bersiap untuk pergi. Padahal rasanya, baru kelmarin kita saling memberi ucapan selamat atas kedatangannya. Padahal rasanya, baru saja kita bersuka cita menyambut kehadirannya. Tapi hari ini, kita harus berpisah dan kita akan ditinggalkan Ramadhan dengan penuh haru dan air mata. Entah, apakah kita akan dipertemukan lagi oleh Allah SWT dengan Ramadhan? Atau, kita akan terpisah dan tidak akan berjumpa lagi dengan Ramadhan kerana terhalang oleh "yang menghancurkan semua kenikmatan?"
Salam untukmu wahai Ramadhan, wahai bulan solat malam, wahai bulan Al-Quran, wahai bulan taubat dan keampunan.


Sepanjang bulan Ramadhan, semua amalan kita mengambil ajaran Allah dan sunnah RasulNya. Ibadah puasa pada siang hari, qiyamullail pada malam hari, iftar (berbuka puasa), bersahur, tadarus al Quran, zikrullah, doa selawat, istighfar, dan juga iktikaf semuanya diambil daripada syariat Allah. Setiap Muslim mukmin yang menjalani ibadah-ibadah tersebut sentiasa menjaga dan mengawalnya agar tidak batal atau menjadi sia-sia, masing-masing mengawal dan menjaganya agar tidak terkeluar daripada ajaran Allah dan sunnah RasulNya. Maka sewajarnya keimanan dan keyakinan kepada ajaran Allah dan RasulNya (syariat Islam) dan penghayatannya itu dibawa terus dalam kehidupan Muslim, tidak hanya terkurung dalam bulan Ramadhan sahaja, kerana syariat Islam bukan khusus untuk masa tertentu dan tempat tertentu semata-mata, bahkan aqidah, syariat dan cara hidup Islam itu untuk semua tempat dan zaman. Firman Allah s.w.t dalam surah al Anbiaa’ ayat ke-107:
Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
Sekarang merupakan hari-hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Selepas itu tiada lagi malam bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan tawaran yang begitu lumayan yang dijanjikan ALLAH kepada kita semua iaitu akan diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.
Sebagai seorang muslim dan mukmin yang mengetahui dan menghayati tentang ganjaran berlipat kali ganda yang disediakan ALLAH sudah pastinya akan berasa sayu dan sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadhan al-Mubarak.Bagaimana mungkin seseorang itu mahu menolak pemberian harta; kereta, rumah, emas, pakaian berjenama daripada sultan atau raja yang diberikan setiap hari selama sebulan kepadanya? Begitu juga dengan Ramadhan, bagaimana mungkin seseorang mukmin tidak sayu atau terasa terlepas dan berpisah dengan ganjaran-ganjaran yang sebenarnya lebih besar daripada tawaran harta yang disebutkan tadi daripada Sang Pencipta seluruh makhluk dan alam ini.
Ramadhan kali ini sudah tentu memberikan pelbagai makna dan kesan kepada diri kita semua.Ada yang bertambah-tambah imannya, atau sama sahaja imannya dengan bulan-bulan sebelum Ramadhan atau yang lebih merugikan bertambah kurang imannya pada bulan yang mulia ini. Marilah kita merenung sejenak satu hadis yang masyhur diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari:
“Sia-sialah dan rugilah sesiapa yang melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa ke atasnya”
Hadis ini meyebutkan secara jelas bahawa rugilah bagi mana-mana individu muslim yang diberikan kesempatan oleh ALLAH untuk hidup pada bulan Ramadhan tahun ini tetapi tidak melakukan amal soleh yang menyebabkan dirinya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Mungkin di dunia ini kita tidak dapat merasai betapa besarnya rahmat ALLAH yang menawarkan keampunan ke atas dosa-dosa kita yang telah lalu. Tetapi bayangkanlah sekiranya kita di dunia ini tidak mendapat apa-apa habuan dunia,kita seorang yang papa kedana,hidup sebatang kara dan mati tanpa orang ketahui pun tetapi kita pulang kepada ALLAH di akhirat kelak dengan diampunkan dosa-dosa kita, maka itu sesuatu nikmat yang cukup besar yang tidak terbanding nilainya yang lebih baik dari segala isi dunia.
Maka kita yang menyedari akan hakikat ini, marilah kita terus berdoa dan memohon kepada ALLAH agar diampunkan dosa kita pada akhir Ramadhan ini seeloknya dengan doa yang diajarkan nabi iaitu:
"ALLAHUMMA INNKA AFUWWUN TUHIBBUL AFWA FA’FU ‘ANNi”
yang bermaksud : Ya ALLAH, sesungguhnya engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan maka maafkanlah aku".
Alhamdulillah,ALLAH Azza Wajalla yang bersifat Maha Mengasihani dan Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui akan hakikat mukmin sejati yang akan berasa sedih dengan pemergian Ramadhan,dikurniakan olehNya satu hari yang dinamakan Eidul Fitr bagi mengubati rasa sedih dan pilu di hati para mukminin. Maka,pada hari raya inilah orang yang beriman akan raikan sebagai hari kemenangan kerana telah berjaya membina benteng kukuh bagi menahan diri dari semua perkara yang boleh membatalkan puasa dan mencacatkan termasuklah perkara halal yang  dibenarkan pada bulan lain untuk dilakukan tetapi pada bulan Ramadhan dilarang iaitu makan,minum dan bersetubuh dengan isteri.
Bahkan hari raya sebenarnya bukanlah hari untuk kita bersedih sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian lagu-lagu raya, cerita-cerita raya di tv bahkan irama takbir raya negara kita yang menyedihkan sebaliknya pada hari raya ini kita dibenarkan untuk bergembira dan meraikan hari raya dengan kadar-kadar yang dibenarkan oleh syarak.Hal ini di mana nabi SAW pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
"Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya"  -  -Riwayat Al-Bukhari 


Semoga kita semua merasa kehilangan di tinggalkan ramadhan dan tidak tergolong pada golongan yg meninggalkan ramadhan

No comments:

Post a Comment