Monday, 29 August 2011

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di bawah ini beberapa amalan sunnah yang diamalkan oleh nabi s.a.w. semasa hari raya Aidil Fitri dan di bulan Syawal,antaranya:
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di ramadhan) kami dan kamu”.
Mafhum hadith :
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5)Memakai pakaian terbaik yang ada:
Walaupun demikian,perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal
6)Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi)
Ia berdasarkan hadis dari Jabir r.a. yang menyebut bahawa nabi s.a.w. biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya(Riwayat Bukhori)
7)Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi
8)Berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal
Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya:
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun”   - riwayat Imam Muslim

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan ’chat’, berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.
Semoga kita semua meninggalkan Ramadhan kali ini dengan membawa ruhnya ke dalam bulan-bulan yang lain dan terus beristiqamah dengan amalan-amalan yang telah dilakukan pada bulan Ramadhan.Akhirnya,saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITR 1430H kepada semua pelawat yang melayari blog ini.TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM.Semoga ALLAH menerima amalan kita semua.
Sumber:
2.Buku ‘Menyambut Ramadhan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasululullah s.a.w.’ oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

5 comments:

  1. Datang dengan sembah salam,
    Menjenguk teman di malam lebaran;
    Ketupat rendang atas talam,
    Kami yang jauh dilupa jangan.

    Demi semangat setiakawan,
    Datang disambut tangan dihulurkan;
    Adat insan dalam pergaulan,
    Salah dan silap harap maafkan.

    ReplyDelete
  2. selamat hari raya idul fitri :) mohon maaf lahir batin

    ReplyDelete
  3. datang bersilaturahmi, mohon mav lahir batin

    ReplyDelete