IMAM al-Ghazali (m. 505/1111) merupakan tokoh Islam yang amat
dikagumi ramai termasuk juga di kalangan orang Barat. Banyak kajian di
Barat menerima ketokohan Imam al-Ghazali dalam bidang pemikiran politik
(Goldziher 1916; Sherwani 1935; Lambton 1954; Binder 1955; Watt 1965/66;
Laoust 1970; Crone 1987; Hillenbrand 1988, 2004). Secara umumnya Imam
al-Ghazali merupakan ulama Islam yang benar-benar mewakili semangat
keseluruhan ajaran Islam sebagaimana didapati dalam bukunya Ihya’ ‘Ulum al-Din.
Beliau pula menguasai pelbagai ilmu merangkumi ilmu-ilmu Islam dan ilmu
asing termasuk bidang falsafah. Artikel ini membincangkan pemikiran
politik Imam al-Ghazali menerusi karyanya Kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad
(1998; trj. 2007). Seterusnya pemikiran politik al-Ghazali ini
dikaitkan dengan perkembangan politik di Malaysia dalam bahagian kedua.
Sudah semestinya pemikiran tokoh besar Islam ini relevan dengan dimensi
politik tanah air terutama menjelang pilihanraya ke-13.
