Monday 28 October 2013

Adab-adab merawat pesakit


Berikut merupakan adab-adab perawat sewaktu merawat pesakit.


1. Memohon izin dan redha daripada pesakit atau walinya. 


2. Memberi nasihat, ihsan dan berlembut kepada pesakit sebagai menyahut arahan Allah swt :


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran. ( an-Nahl : 90)

Terangkanlah kepada pesakit bahawa sakit yang dialami adalah kerana cubaan dan ujian Allah yang dialami oleh setiap manusia. Ia juga penghapus dosa dan kesilapan lampau, setelah sembuh Allah akan mengangkat kedudukan pesakit disisiNya. Nasihat seperti ini akan menguatkan azam dan semangat si pesakit dengan musibah yang menimpa.

3. Berdoa untuk pesakit yang dirawat.

Apabila seorang muslim merawat seorang muslim yang lain, hendaklah ia mendoakannya. Harus baginya menjampi dengan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang ma’thur daripada Rasulullah saw. 

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa nabi saw merawat Saad bin Abi Waqas, baginda meletakkan tangannya di dahi Saad kemudan menyapunya ke atas muka dan perut Saad dan baginda berdoa : Ya Allah, sembuhkanlah Saad dan sempurnakanlah hijrahnya.

4. Bertanyakan keadaan pesakit

Ia berkewajipan meneliti dan mengikuti perkembangan pesakit. Tidak salah menyoal pesakit tentang keadaan dirinya kerana Aisyah ra ketika merawat ayahnya dan Bilal, sering bertanyakan keadaan mereka, begitu juga yang dilakukan oleh Ibn Abbas ra ketika merawat Aisyah ra.

5. Mengingatkan pesakit untuk memperbaharui taubatnya kerana orang yang sakit amat berhajat kepada taubat lebih daripada orang lain.

Rasulullah saw bersabda :

Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba selagi ruh belum sampai ke halkum.(Diriwayatkan oleh al-Tirmizi )

6. Mengingatkan pesakit supaya meninggalkan wasiat kerana Rasulullah saw bersabda :
Tiadalah hak seorang muslim yang baginya sesuatu yang ingin ia berwasiat dengannya disimpan dua malam melainkan hendaknya wasiatnya itu ditulis di sisinya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari )

7. Menyenangkan hati pesakit

Memuji pesakit dan amal baiknya sekiranya didapati sipesakit berada dalam ketakutan, supaya hilang ketakutannya dan mengembalikan sangka baiknya kepada Allah swt.

8. Memastikan pesakit tidak mengeluarkan kata-kata haram seperti bercita-cita untuk mati atau mengadu dan merintih kepada makhluk atau perkataan yang bertentangan dengan sabar yang dituntut kepada orang sakit. Rasulullah saw bersabda:

Janganlah seseorang kamu bercita-cita untuk mati kerana derita yang menimpa. Sekiranya ia mesti melakukannya maka hendaklah ia berkata: Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu terbaik bagiku dan matikanlah aku sekiranya mati itu terbaik bagimu.

9. Jangan memaksa pesakit makan kerana sakit yang menimpanya menyebabkan hilang selera makan. Paksaan itu mungkin menyebabkan ia marah atau bosan, ini tidak membantunya untuk sembuh.

Rasulullah saw bersabda :

Jangan paksa pesakitmu makan, sesungguhnya Allah Tabaraka wataala memberi mereka makan dan minum.  ( Riwayat al-Bazar, al-Tabrani dan al-Tahkim)

10. Memberi makan pesakit makanan yang menyelerakan

Bahawa nabi saw merawat seorang lelaki yang sakit. Baginda berkata kepadanya: Apa yang menyelerakanmu? Ia berkata: Aku hendak makan roti daripada gandum. Lalu nabi saw bersabda: Sesiapa yang ada bersamanya roti daripada gandum hantarlah kepada saudaramu. Kemudian baginda bersabda: Apabila seorang saudara kamu yang sakit berkeinginan sesuatu (makanan) maka berilah ia makan.  (Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

Ibn Majah juga meriwayatkan dalam sunannya bahawa nabi saw bertanya kepada seorang lelaki yang dirawatnya.Adakah engkau berselera untuk makan kek?. Ia berkata. Ya lalu baginda mencari kek tersebut untuk lelaki itu.

11. Sunat memohon daripada pesakit supaya berdoa untuknya.

Rasulullah saw bersabda:

Apabila engkau menemui orang sakit, maka minta dia berdoa untukmu kerana doanya seperti doa malaikat.  ( Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

Tidak syak lagi permintaan doa daripada orang sakit akan menambah rasa tenang sipesakit kerana pandangan baik daripada orang di sekelilingnya. Seseorang yang sakit biasanya rapat kepada Allah swt. Dosanya juga akan terampun kerana sakitnya, justeru itu doa orang sakit amat makbul. Mereka yang merawatnya tidak sepatutnya berkasar dikhuatiri mereka hilang sabar dan mendoakan keburukkan, dilkhuatiri doanya dimakbulkan oleh Allah.

12. Mengingatkan si pesakit akan janjinya dengan Allah setelah sihat.

Nabi saw berkata kepada seorang sahabat bernama Khawwat yang baru sembuh daripada sakitnya.Jasmanimu telah sihat wahai Khawwat. Ia menjawab, Semoga begitu juga jasmanimu wahai Rasulullah. Baginda bersabda lagi : Tunaikan apa yang engkau janjikan pada Allah. Khawwat berkata : Aku tidak berjanji apa-apa pada Allah. Baginda bersabda lagi : Bahkan, kerana tidak seorang hamba pun ketika ia sakit melainkan ia telah berjanji kepada Allah dengan kebaikan, kerana itu tunaikanlah janji kamu kepada Allah.

13. Rawatan yang diberi tidak terlalu lama.

Ibn Hajar al-Asqalani menyebut, hendaklah seseorang yang merawat orang yang sakit tidak duduk terlalu lama bersama-samanya kerana kemungkinan ia menganggu pesakit atau menyusahkan keluarganya melainkan sekiranya didapati darurat ia berbuat demikian. Contohnya si pesakit meminta agar ia duduk lama di sisinya atau membantunya makan ubat dan keperluan yang lain.

Adalah diharapkan menerusi pengamalan adab-adab di atas berjaya mengubati penyakit lahiriah juga dalaman si pesakit. Merubahnya dari kejauhan kepada keinsafan yang mendekati ketaatan hamba pada penciptanya.


Wallahu’alam





( Fiqh ibadat jururawat Islam; JAKIM ; ms 88-93 )

1 comment: