Hari ini majlis pertunangan begitu meriah persis majlis perkahwinan.
Pada zaman anak gadis tidak keluar belajar atau bekerja, perkahwinan
diatur ibu bapa dan saudara mara yang memperkenalkan pasangan sama ada
di majlis perkahwinan, kenduri atau hari raya.
Biasanya pasangan diperkenalkan secara tidak langsung bagi memastikan mereka mengenal antara satu sama lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Apabila sesaorang kamu meminang sesaorang perempuan, maka dia dibolehkan melihat perempuan tersebut sekiranya tujuan dia melihat adalah untuk meminangnya, sekalipun tanpa diketahui oleh perempuan itu". (riwayat Ahmad, Jilid 5, hlm 424)
Berpegang kepada hadis ini, pihak yang cuba mengatur perkahwinan
pasangan akan memastikan pihak lelaki melihat pihak perempuan dan
sebaliknya. Selain itu keluarga terdekat juga akan menjalankan tugas
merisik.
Apakah tujuan merisik? Ia bukan adat semata-mata. Tujuan utama merisik adalah tidak meminang pinangan orang. Tambahan pula dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW, beliau berkata: "Dikahwini perempuan itu kerana empat macam, kerana hartanya, kerana baik kelakuannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka ambillah perempuan yang kuat agamanya nanti engkau akan beruntung".
Jika dilihat kepada dari kriteria calon isteri/suami ini, maka bagaimana mungkin mengetahui latarbelakang seseorang tanpa mengenalinya dahulu. Namun Islam tidak membenarkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan hanya untuk mengenal hati budinya dan perangainya.
Kata pepatah Melayu, 'manalah kuah kalau tidak tumpah ke nasi' bermakna latar belakang ibu bapa pasti akan diwarisi oleh anak.
Sebab itu juga hari ini pasangan yang ingin berkahwin perlu menjalani pemeriksaan darah dan dimaklumkan sama ada mereka dan pasangan mengidap penyakit seperti Hiv, Aids Hepatitis dan sebagainya.
Jika jelas pasangan mengidap apa-apa penyakit, pasangan yang sihat boleh berfikir semula sama ada mahu berkahwin atau pun tidak.
Jika mahu meneruskan perkahwinan, barangkali mereka boleh diberi kaunseling untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan rumahtangga yang sihat, lebih teratur dan bahagia.
Ini boleh mengelakkan masalah seperti tidak sekufu (setaraf) atau jika pasangan datang daripada keluarga atau keturunan yang berpenyakit yang boleh diwarisi oleh anak.
Jika pasangan mengidap penyakit berjangkit seperti Hiv atau Aids, maka berterus terang adalah cara terbaik untuk mendirikan rumahtangga supaya tidak berlaku penyesalan di masa akan datang.
Wallahu A'klam
No comments:
Post a Comment