Hampir 3,000 masyarakat Kelantan termasuk pelancong menghadiri
program ‘Bicara Selebriti’ anjuran kerajaan negeri di Kelantan Trade
Centre.
Kehadiran mereka bukan sahaja untuk mendengar kupasan dari ahli panel
berhubung ‘hidayah’ di kalangan artis, bagaimanapun untuk melihat
‘Ustazah Ana’ watak Oki Sentiana Dewi dalam filem Ketika Cinta
Bertasbih.
Tiga anggota panel telah diundang pada program kali ke-4 itu iaitu
peserta Akademi Al-Quran pertama, Sharifah Khasif Fadzilah, Selebriti
Dakwah, Hafiz Firdaus Abdullah dan Oki Sentiana Dewi.
Kehadiran peminat Oki khususnya di kalangan wanita membuatkan keadaan
agak kurang terkawal dipenghujung majlis apabila mereka ingin melihat
Oki lebih dekat.
Oki dalam ucapannya mengingatkan anak remaja agar jangan takut untuk
berubah ke arah kebaikan kerana Allah sentiasa akan memberi kenikmatan
yang amat berharga.
“Pengalaman diri saya yang sebelum ini tidak bertudung, akhirnya
Allah permudahkan kerana ianya janji Allah untuk kita,” ujarnya. Menurutnya, bukan sahaja rezekinya semakin bertambah, namun ibunya
yang sakit sebelum itu, akhirnya diberi kesembuhan oleh Allah walaupun
terpaksa melalui pelbagai dugaan.
Sementara itu, Kapten Hafiz pula berkata untuk menjadi seorang
pendakwah bukan perlu lepasan Al-Azhar atau seumpamanya kerana tidak
semua orang akan sampai ke peringkat itu. Bagaimanapun, tambahnya menegur kesilapan orang lain dengan cara yang lunak juga adalah berdakwah.
“Sebagai umat Islam kita kena berada dalam kerangka dakwah, walaupun
peranannya kecil, namun peranan itu wajib diteruskan,” ujarnya.
Majlis penuh ceria dengan kejayaan pengacara TV Hijrah, Amin Idris selaku moderator yang berjaya menghidupkan suasana.
Di akhir program, Oki berkesempatan membaca puisinya yang berjodol
‘Negeri Kelantan Seindah Namamu’ yang mempersembahkan keindahan dan
ketenangan sepanjang dua hari beliau berada di negeri ini.
Hadir sama pada program itu ialah pengarah program, Ustaz Baihaqi Atiqullah dan Anggota Dewan Negara, Mumtaz Md Nawi.
No comments:
Post a Comment