Berbagai cara dan bentuk
usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan
jiwa itu dengan melancung, makan angin, bersukan, merekaseni melukis dan
sebagainya.
Ada pula sebilangan
orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia,
berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan
beribadat seperti membaca Al-Qur‘an, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.
Tanpa ketenangan jiwa
manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa
seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar
boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.
Dalam mencari ketenangan
jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak supaya ia jangan terbabas.
Ketenangan jika dengan melalui permainan, bersuka ria, dengan lagu-lagu, musik,
tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya hanyalah bersifat sementara,
bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan
menentukannya.
Sudah menjadi fitrah
manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan
kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya.
Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi
manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan tidak
(dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang
melalaikan”. (Surah Al-An‘am: 32)
FirmanNya lagi yang maksudnya
:
“Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan
untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”. (Surah Al-Ruum: 21)
Dengan adanya ketenangan
jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah dan melakukan ibadat
kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa
menyembah Allah Subahanahu wa Ta‘ala. Hal ini ditegaskan oleh Allah Subahanahu
wa Ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Dan (ingatlah) Aku
tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan
beribadat kepadaKu” (Surah Al-Zariat:
56)
Sebagai orang Islam kita
hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan.
Al-Qur‘an ada megingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara
yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan
menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan ada di antara
manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita
dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan
(dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang
pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai
ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”. (Surah Luqman: 6)
Sifat suka kepada
hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan
Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“(Orang-orang kafir
itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai
hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya
dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”. (Surah Al-A‘raf: 51)
Orang bukan Islam itu
lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia
adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh Al-Qur‘an yang
tafsirnya :
”Dan tentulah mereka
akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia
ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”. (Surah Al-An‘am: 29)
Sifat hiburan yang
mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak
membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang menentang
kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut
menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala
unsur-unsur mungkar dan maksiat itu. Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu
orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai
jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu
kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan
semata.
Inilah persepsi yang
difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang. Sedangkan maksud hiburan itu
sendiri lebih luas dari itu. Hiburan bermaksud mencari ketenangan jiwa, dari
itu hanya hiburan sejati yang mampu mencapai maksud tersebut.
HIBURAN YANG
DIANJURKAN ISLAM
Hiburan sejati ialah
hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi
ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman
Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Orang-orang yang
beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah!
Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. (Surah Al-Ra‘ad: 28)
Oleh itu orang yang
beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan
melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan
seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan
alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu
wa Ta‘ala.
Apabila melaksanakan
perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada
kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan
kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur
dengan ibadah tersebut.
Orang mukmin juga rasa
terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa
bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi
nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur,
lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang
tafsirnya :
“(Katakanlah wahai
orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah):
Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan
siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap
percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. (Surah Al-Baqarah: 138)
Orang yang beriman juga
akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit,
laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu
sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat
sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha
memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tafsirnya :
“Sesungguhnya
pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh
Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang
dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”. (Surah Yunus: 6)
Selain itu mereka ini
dapat menghayati maksud sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah
itu indah. Dia suka keindahan”. (Hadis
riwayat Muslim )
Islam tidak menolak
hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi
hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci
Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad,
puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan
menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang
tafsirnya:
“Allah telah
menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi
kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang
berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana
mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan
mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang
tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”. (Surah Al-Zumar: 23)
FirmanNya lagi yang tafsirnya :
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila
disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan
kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”. (Surah Al-Anfaal: 2)
Dan firmanNya lagi yang
tafsirnya :
“Iaitu orang-orang
yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang
yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang
mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari
rezeki yang Kami berikan kepadanya”. (Surah
Al-Hajj: 35)
Semua ibadat jika
dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat
sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia
juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan
bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang
berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu
Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Hal ini telah dijelaskan
oleh Rasulullah SAW bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan
bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :
"Di antara
kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku
adalah sembahyang”. (Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)
Dari apa yang telah dibicarakan di atas, jelas kepada
kita bahawa Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur asalkan tidak
menjejaskan kewajipan dan jauh dari segala perkara maksiat dan mungkar. Hiburan
yang dilarang oleh agama Islam itu ialah segala bentuk hiburan yang melalaikan
atau merugikan, apa lagi hiburan yang menjejaskan kewajipan seorang Islam.
Nyanyian, karaoke, tari menari, lebih-lebih lagi tari menari yang yang
bercampur lelaki dan perempuan, konsert-konsert nyanyian sekalipun atas nama
“amal” tidak akan menghalang hakikatnya sebagai kegiatan yang bertentangan
dengan syarak atau konsert nyanyian yang ada sekarang lebih banyak menjurus
kepada tidak diredhai oleh Allah. Tujuan amal adalah kata-kata berselindung,
seperti berselindung racun di sebalik makanan yang enak, akhirnya akan membunuh
orang yang memakannya. Hal sedemikian telah digambarkan oleh Al-Qur‘an yang
tafsirnya:
“Maka (fikirkanlah)
adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia
memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang
menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya,
atau sebaliknya?) Kerana sesungguhnya
Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah
petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya”. (Surah Faatir: 8)
Apabila di dalamnya
bercampur perkara-perkara mungkar atau maksiat maka sesuatu yang haram itu
tidak akan menjadi halal hanya sekadar diselubungi dengan tujuan yang baik atau
kerana cita-cita itu murni. Dalam kaedah fiqh juga menjelaskan yang
maksudnya:
“Di dalam umat ini akan
terjadi peristiwa di telan bumi, berubah rupa bentuk dan dilempar dengan batu,
Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin bertanya: “Wahai Rasulullah,
bilakah terjadi peristiwa itu?” Baginda bersabda menjawab: “Apabila telah
muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat muzik yang ditiup dan berbagai
jenis minuman arak”. (Hadis riwayat Al-Tirmizi)
Ibnu Hajar dalam
kitabnya Al-Zawajir telah menjelaskan bahawa orang-orang yang duduk
bersama-sama orang minum arak, orang fasik dan duduk dengan ahli hiburan yang
haram (seperti majlis tari menari walaupun dengan isteri sendiri), sedangkan
dia berkuasa untuk menegah perkara-perkara tersebut atau berkuasa meninggalkan
majlis itu adalah suatu dosa besar.
Menurut Imam Al-Qurtubi
pula, sentiasa mendengar nyanyian juga boleh menyebabkan sifat bodoh dan
tertolak persaksiannya (syahadah), dan yang lebih ditakuti lagi ialah
menyebabkan nifaq, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan
sifat nifaq (munafiq) dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayuran”. (Hadis
riwayat Al-Baihaqi)
Dari itu ingatlah bahawa
kehidupan dunia itu hanyalah sementara dan sebagai jalan untuk menuju
kebahagiaan di akhirat. Kita perlu sentiasa waspada dan ingat bahawa Allah
Subhanahu wa Ta‘ala menyediakan azab bagi orang-orang yang mengutamakan
kehidupan dunia semata-mata tanpa menghiraukan larangan-larangan Allah dan
RasulNya bahkan lalai dan leka oleh perkara-perkara mungkar dan maksiat. Ini
dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya:
“Ketahuilah bahawa (yang
dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa
semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga
(bawaan hidup yang bertujuan) bermmegah di antara kamu (dengankelebihan,
kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan hartabenda dan
anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang
(menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan
tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke
suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning;
akhirnya ia menjadi hancur berkecai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di
akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan
kehidupan dunia), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah
(disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa)
kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya”. (Surah Al-Hadid: 20)
Allah Subhanahu wa
Ta‘ala juga mengkhabarkan, apabila umat Islam tidak berpandukan syarak dalam
menjalankan segala urusan dunia dan akhiratnya, kadang-kadang timbul sangkaan
baik mereka terhadap sesuatu amalnya, pada hal adalah sebaliknya. Jika ada
suatu amalan itu mengandungi perkara-perkara yang tidak selaras dengan syarak,
maka rosak binasalah segala amal usahanya yang mereka sangka baik itu, dan
tidak akan mendapat sebarang harga pada hari kiamat kelak, bahkan mereka akan
menerima kehinaan dan azab seksa yang seburuk-buruknya. Hal ini telah
diceritakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Katakanlah (wahai
Muhammad): “Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi
serugi-rugi amal perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal
usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka
sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah
orang-orang yang kufur, ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan
denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya kami tidak akan
memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat nanti.
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka
pula kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu
sebagai ejekan”. (Surah Al-Kahfi: 103-105)
zaman sekarang memang byk hiburan dunia... insyaalah kita semua dapat menjauhi hiburan yang melalaikan itu....
ReplyDelete