Sunday, 19 June 2011

Umat Islam menjadi rebutan


Sewaktu Rasulullah SAW masih hidup, umat Islam dalam keadaan yang baik, kerana waktu itu persatuan dan kesatuan umat Islam masih utuh. Kala itu hubungan antara Rasulullah sebagai pemimpin dengan sahabat sebagai yang dipimpin menunjukkan keserasian, sejajar dengan tuntutan agama yang dibawa oleh Rasulullah.
Dengan akidah yang kuat dan tujuan yang sama iaitu menegakkan kalimah-kalimah Allah di muka bumi ini, maka kesatuan dan persatuan mereka makin hari makin kuat hingga tercapailah kegemilangan Islam. Namun pada saat itu Rasulullah saw telah memberi peringatan kepada sahabatnya tentang keadaan umat Islam di akhir zaman. Umat Islam akan dijadikan rebutan oleh orang-orang selain Islam.
Sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud: "Akan datang suatu masa, umat lain akan memperebutkan kamu, ibarat orang-orang yang lapar merebutkan makanan dalam hidangan."
Sahabat menanyakan: "Apakah kerana  pada waktu itu jumlah kami hanya sedikit, wahai Rasulullah?" Dijawab oleh baginda: "Bukan, bahkan sesungguhnya jumlah kamu pada waktu itu banyak, tetapi kualiti kamu ibarat buih yang terapung-apung diatas air, dan dalam jiwamu tertanam kelemahan jiwa." Sahabat bertanya lagi: "Apa yang dimaksudkan dengan kelemahan jiwa wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Iaitu cinta dunia dan takut mati."
(Riwayat Abu Daud) 

Sesungguhnya tepat isyarat Nabi Muhammad saw itu, pada akhir zaman umat Islam akan mengalami perubahan. Kualiti umat akan menurun secara drastik, persatuan dan kesatuannya akan pudar. Umat lain akan datang dan berebut dan memanfaatkan mereka. Ibarat makanan yang menjadi santapan orang-orang yang lapar, dan ibarat buih yang terapung di atas air yang membawanya. Dalam sabda baginda disebutkan, bahawa penyebab utama umat Islam kualitinya menurun adalah "hubbud dunia dan karahiyatul maut" iaitu cinta dunia dan takut mati.

No comments:

Post a Comment