Setelah kejatuhan Daulah Islamiyyah dan kehilangan Khilafah Islamiyyah, musuh-musuh Islam menakluki negeri-negeri umat Islam dengan berbagai-bagai cara penaklukan yang memusnahkan. Penaklukan meliputi aspek kebudayaan, kepercayaan mulhid, ibahi (permissive) dan ekonomi. Realiti ini telah meletakkan ‘Amal Islami dalam keadaan yang buruk sekali. Umat Islam dikerumuni oleh bangsa-bangsa lain seperti semut-semut mengerumuni hidangan makanan. Keadaan umat Islam telah hampir menyamai keadaan masyarakat sebelum da’wah pertama dahulu. Islam telah kembali dagang (asing) sebagaimana ia telah bermula dalam keadaan dagang. Tepatlah sepertimana sabda Rasulullah SAW:
“Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam di waktu ia dagang.” - Hadith Riwayat Muslim.
Kewajipan Membentuk Ummah
Beramal untuk Islam dalam rangka menwujudkan individu, keluarga, jama’ah dan ummah Islamiyyah merupakan suatu kewajipan yang syar’i. Kewajipan ini tidak akan gugur selagimana tidak tertegak suatu kuasa yang memikul tanggungjawab menjaga semua urusan umat Islam. Begitu juga, selagimana kekuasaan itu tidak wujud, maka segala kecuaian samada oleh mereka yang beramal atau oleh mereka yang berdiam diri adalah merupakan dosa. Dosa ini tidak akan terhapus sehinggalah orang-orang yang cuai itu mengambil inisiatif secepat mungkin untuk memikul tanggungjawab dan taklif amal-amal Islami.
Ditinjau dari sudut hukum, bekerja dan beramal untuk Islam adalah wajib. Realiti pembekuan hukum-hukum Allah di muka bumi dan penguasaan sistem serta undang-undang jahiliyyah ke atas masyarakat manusia telah mewajibkan umat Islam bekerja dan beramal untuk menegakkan Ummah Islamiyyah dan mengembalikan kehidupan secara Islam. Umat Islam juga berkewajipan mengembalikan manusia kepada pengabdian diri hanya kepada Allah SWT daLam semua hal.
Oleh kerana mewujudkan Ummah Islamiyyah dan berhukum dengan hukum-hukum Allah SWT itu wajib, segala amal atau kerja yang menjurus kepada perlaksanaan kewajipan-kewahipan itu juga wajib, berdasarkan qaedah syara’:
“Tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengan jalannya, maka jalan itu juga menjadi wajib.”
Model Pembentukan Ummah
Orang mukmin mempunyai model yang tidak boleh dipertikaikan lagi dalam kerja-kerja pembentukan masyarakat dan pembinaan ummah. Model ini telah dizahirkan oleh Allah SWT pada generasi awal pimpinan Rasulullah SAW atau lebih dikenali sebagai Generasi al-Quran.
Kita perlu melalui jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memulakan dakwah dengan menyemai ‘Aqidah Tauhid dalam jiwa pengikut-pengikutnya. Rasulullah SAW mendidik mereka di Dar al-Arqam dengan santapan dan hidangan al-Quran. Dari Madrasah Rasulullah SAW ini, lahirlah Rijal ‘Aqidah yang sanggup berjihad dan berkorban demi membina Ummah Islamiyyah.
Rasulullah SAW telah membangunkan Ummah Islamiyyah pertama di atas asas-asas ‘Aqidah Solehah, ‘Ibadah Sohehah dan akhlak yang teguh.
‘Aqidah Melahirkan Wehdah Dan Segala Kekuatan Yang Lain
Setelah terbina kekuatan ‘Aqidah Tauhid maka terbentuklah kekuatan Ukhuwwah dan Wehdah (kesatuan). Rasulullah SAW telah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar dengan ikatan Ukhuwwah Islamiyyah. Setelah itu Rasulullah SAW mencari punca-punca kekuatan yang lazim dan perlu bagi melancarkan jihad selanjutnya. Dengan itu terbentuklah asas yang kukuh atau tapak yang kuat untuk berdirinya Daulah Islamiyyah di Madinah al-Munawwarah.
Inilah model yang sepatutnya menjadi contoh utama orang-orang mukmin dalam usaha membentuk Ummah Islamiyyah. Firman Allah SWT:
“Adalah bagi diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan Allah serta Hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.” - Surah Al Ahzab: ayat 21
Perlunya Kepada Jalan Yang Sama
Tiada jalan lain lagi melainkan jalan ‘Aqidah atau Iman untuk membina kembali Ummah Islamiyyah. Jika di permulaan Islam dahulu Iman telah menjadi tenaga pembangunannya, Iman juga mesti menjadi tenaga pembangun di zaman kebelakangan ini.
Kita kini sedang menghadapi suasana-suasana yang sama seperti yang dihadapi oleh angkatan pertama umat Islam di permulaan lahirnya Islam. Jika ditinjau suasana alam ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan, didapati masyarakat manusia dalam keadaan tidak tenteram dan menghadapi krisis nilai ke paras maksimum. Manusia sesat dalam pemujaan dan pengabdian. Sesat dalam aqidah dan pemikiran. Mereka juga ragu-ragu terhadap kebenaran dan yakin pula terhadap kebatilan. Nilai mereka sesat. Mereka senang kepada kejahatan dan kuncu-kuncunya serta benci kepada kebaikan dan pendokong-pendokongnya. Praktik hidup mereka sesat. Penzalim menjadi pemerintah. Penjahat hidup senang dan mewah. Orang-orang yang soleh tersisih dari masyarakat. Perkara yang ma’ruf dipandang munkar dan yang munkar dipandang ma’ruf. Ketagihan arak telah menjadi kebiasaan. Kejahatan bermaharajalela. Amalan riba telah sampai ke peringkat merampas harta orang lain. Keinginan kepada harta benda telah sampai ke peringkat tamak haloba. Kezaliman dan keras hati telah menjangkau kepada perbuatan menanam anak hidup-hidup.
Asas-asas moral anugerah Allah SWT kepada manusia ketika itu tidak dibimbing dengan betul. Akibatnya kecelakaan menimpa mereka. Orang berani bertukar menjadi pembinasa dan pengganas. Orang pemurah bertukar menjadi pemboros dan pengikis harta. Orang cerdik bertukar menjadi penipu. ‘Aqal fikiran digunakan untuk merancang jenayah dan program-program untuk memuaskan hawa nafsu. Kekuasaan yang ada pada seseorang umpama sebilah pedang di tangan pemabuk. Dia akan melukakan diri, anak, isteri dan saudara-maranya tanpa disedari.
Ciri-ciri seumpama di atas bukan sahaja wujud di zaman jahiliyyah kuno, bahkan wujud juga di zaman moden ini. Oleh kerana ciri-ciri itu wujud di zaman ini, maka zaman ini juga disifatkan sebagai jahiliyyah atau Jahiliyyah Moden.
Rasulullah SAW telah merawat segala penyakit kemasyarakatan tadi dengan iman. Justeru itu ubat atau penawar iman juga perlu digunakan untuk merawat segala penyakit kemasyarakatan di zaman ini. Sekaligus, iman menjadi titik tolak ke arah pembentukan Ummah Islamiyyah.
Proses Keimanan
Ummah Islamiyyah tidak akan lahir selagimana satu golongan manusia tidak dibentuk terlebih dahulu melalui proses keimanan yang mengikrarkan ‘Ubudiyyah hanya kepada Allah SWT semata-mata. ‘Ubudiyyah yang meliputi I’tiqad dan benar-benar berperanan dalam susunan dan amalan hidup mereka. Proses keimanan itu akan membersihkan hati serta jiwa daripada pengabdian kepada selain daripada Allah SWT. Proses itu juga mengawal setiap amalan daripada bermatlamatkan sesuatu yang lain daripada Allah SWT. Melalui proses ini sahajalah Ummah Islamiyyah terbentuk atau dibentuk. Ummah Islamiyyah dianggotai oleh mereka yang menjalani sistem pembentukan yang bertolak daripada Kalimah Tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggota, iaitu kalimah Syahadah hendaklah ditegakkan terlebih dahulu dan menjadi asas bagi sistem hidup Islam yang lengkap dan praktikal. Kehidupan Islam bagi Ummah Islamiyyah dalam semua bidang dibina di atasnya dan dikawal olehnya. Kehidupan Islam tidak akan wujud tanpa asas ini, atau ditegakkan di atas asas yang lain, atau ditegakkan bersama asas lain.
Kumpulan yang sudah bersih hati dan jiwa dalam ‘Ubudiyyah inilah sahaja yang dapat membentuk dan membangunkan Ummah Islamiyyah yang diredhai oleh Allah SWT.
Begitulah caranya kumpulan Islam pertama dibina dan berjaya membentuk Ummah Islamiyyah. Mereka adalah Ummah contoh yang dikenali sebagai Generasi Al-Quran Yang Unik. Begitulah juga caranya proses pembentukan masyarakat atau Ummah Islamiyyah yang kemudian.
Pentingnya Pengukuhan Asas
Sesungguhnya asas yang kukuh amat perlu untuk melahirkan Ummah dan Daulah Islamiyyah. Ia laksana asas bagi binaan yang besar. Binaan yang terbesar ialah binaan Islam.
Memanglah sesuatu asas bagi binaan tidak akan kelihatan dengan jelas dan nyata di atas tanah yang rata serta-merta, meskipun telah banyak usaha dan titik peluh dicurahkan untuk menanam dan membenamkannya. Orang-orang yang tidak arif atau orang-orang yang mengharapkan natijah segera akan menganggap bahawa segala usaha dan waktu yang dihabiskan untuk menanam asas adalah sia-sia lantaran mereka tidak nampak kewujudan binaan yang tersergam di atas tanah yang rata itu. Sesungguhnya, tahap atau peringkat meletakkan asas adalah paling sukar dan penting dalam proses pembinaan bangunan.
Setiap waktu dan usaha yang dicurahkan untuk membina asas sesebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia. Proses pembinaannya tidak boleh dihentikan dengan alasan belum nampak apa-apa hasil di permukaan tanah. Sudah tentulah bangunan Islam yang besar memerlukan waktu yang banyak dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asasnya.
Tahap-Tahap
Pembentukan masyarakat dan Ummah Islamiyyah memerlukan masa yang panjang, usaha yang berterusan, pencurahan tenaga yang besar dan kesediaan melalui tahap-tahap tertentu seperti yang diperlihatkan dalam Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda RA.
Pembentukan masyarakat dan Ummah Islamiyyah memerlukan masa yang panjang, usaha yang berterusan, pencurahan tenaga yang besar dan kesediaan melalui tahap-tahap tertentu seperti yang diperlihatkan dalam Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda RA.
Tahap-tahap yang berdasarkan Sirah Rasulullah SAW adalah seperti berikut:
1. Tahap pembangunan ‘Aqidah yang melahirkan kefahaman yang betul tentang hakikat alam, manusia dan kehidupan. Inilah tahap asasi, pertama dan utama dalam pembentukan syaksiyyah Islamiyyah. Ia kaedah asas yang akan memperbetulkan tindakan-tindakan berikutnya.
1. Tahap pembangunan ‘Aqidah yang melahirkan kefahaman yang betul tentang hakikat alam, manusia dan kehidupan. Inilah tahap asasi, pertama dan utama dalam pembentukan syaksiyyah Islamiyyah. Ia kaedah asas yang akan memperbetulkan tindakan-tindakan berikutnya.
2. Tahap perlaksanaan Iman dalam realiti hidup Muslim sepertimana yang pernah dijelaskan oleh Rasulullah SAW:
“Iman bukanlah dengan angan-angan dan hiasan-hiasan, tetapi ia adalah apa yang bertakhta di dalam hati dan dibukti pula dengan amalan.”
Inilah tahap penghayatan Iman dalam tingkah laku dan aktiviti hidup supaya benar-benar lahir kehidupan Islam.
3. Mereka yang kukuh ‘aqidah, betul fahaman dan baik amalan menyedari bahawa di sana terdapat tanggungjawab yang wajib dilaksanakan iaitu ‘Amal Haraki untuk membentuk, menerus dan mempertahankan Ummah dan Daulah Islamiyyah. Kerja-kerja besar ini tidak mampu dipikul dengan tenaga seorang, bahkan memerlukan penglibatan dalam Tanzim Haraki secara bersungguh-sungguh. Setiap mukmin bangun memperbaiki ahli-ahli, kawan-kawan dan mereka yang dapat dihubunginya. Kebaikan seseorang tidak akan menggugurkannya daripada tugas mengislahkan orang lain. Dia wajib bangun memikul tanggungjawab Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar meskipun keseorangan.
3. Mereka yang kukuh ‘aqidah, betul fahaman dan baik amalan menyedari bahawa di sana terdapat tanggungjawab yang wajib dilaksanakan iaitu ‘Amal Haraki untuk membentuk, menerus dan mempertahankan Ummah dan Daulah Islamiyyah. Kerja-kerja besar ini tidak mampu dipikul dengan tenaga seorang, bahkan memerlukan penglibatan dalam Tanzim Haraki secara bersungguh-sungguh. Setiap mukmin bangun memperbaiki ahli-ahli, kawan-kawan dan mereka yang dapat dihubunginya. Kebaikan seseorang tidak akan menggugurkannya daripada tugas mengislahkan orang lain. Dia wajib bangun memikul tanggungjawab Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar meskipun keseorangan.
No comments:
Post a Comment