Sunday, 16 June 2013

Buang Saka Dengan Meditasi Islam

Pada zaman yang serba pantas lagi mencabar ini pelbagai ragam perlu kita hadapi. Seringkali apa yang kita harapkan tidak terjadi bahkan ianya menjadi satu bebanan dalam hidup. Tekanan demi tekanan sering menjadikan kita berada dalam dilema. Adakalanya kita berusaha bersungguh-sungguh tetapi masih juga tidak mendapat apa yang diharapkan. Oleh kerana sering gagal maka kita mulalah mencari jalan keluar samada secara nyata atau secara spiritual. bagi saya yang sering menjadi persoalannnya ialah mengapa manusia sering gagal walaupun jika dilihat pada usaha ianya sudah berpatutan. Saya melihat perkara ini dari dua sudut yang berbeza. 


Pertama, memang pada zahirnya kita semua mengetahui keadaan ekonomi dunia yang semakin menekankan bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia. Justeru itu persaingan yang sengit mungkin memberi sumbangan terhadap kegagalan kita. Tetapi masih perlu diingat adakalanya usaha kita adalah yang terbaik bukan sahaja pada pandangan kita bahkan pada pandangan sekeliling kita, namun mengapakah kegagalan sering datang menghantui. Maka di sinilah kemungkinan sebab yang kedua iaitu mungkin ada halangan dari segi spiritualnya.

Seseorang yang sering terhalang pekerjaannya mungkin mengalami halangan spiritual yang tanpa sedar menjadi tembok batu yang menggagalkan banyak usaha. Dengan kata lain, ianya bermaksud perjalanan kehidupan atau rezeki kita terhalang disebabkan terdapat `sesuatu’ yang menghalang kita dari berjaya. `Sesuatu’ itu mungkin datang daripada niat jahat orang lain atau masalah keturunan iaitu saka. Jika dilihat dari segi peratusan kegagalan hidup di sebabkan masalah spiritual ini, saka mendahului sihir. Sihir mungkin terjadi kerana hasad dengki dalam pekerjaan atau perniagaan dan ianya ada kemungkinan berlaku jika kita mempunyai pesaing. Tetapi saka adalah satu masalah yang sering kali terlepas pandang. Saka adalah satu harta pusaka yang begitu membebankan. Banyak sekali maslah saka yang saya temui ketika mengajar meditasi islam. Ada diantara mereka yang berhabisan ribuan ringgit untuk membuang saka yang membelenggu diri mereka namun ianya datang dan pergi. Saya percaya bahawa kekuatan roh sahaja yang dapat membantu mengeluarkan saka. Namun ianya bukanlah dengan kaedah mengkaji roh atau menggunakan roh orang yang telah tiada. Roh itu urusan Tuhan tetapi kita boleh mencapai kekuatannya tanpa perlu mengkajinya.


Saka masih wujud dalam masyarakat kita kerana kita baru sahaja merdeka. Zaman datuk kita dalam lingkungan sebelum merdeka masih lagi duduk dalam keadaan hutan ataupun terpencil. Mereka memerlukan satu senjata untuk menjaga keluarga ataupun membantu keluarga ketika bermasalah seperti sakit dan sebagainya. Belajar tinggi ketika itu bermaksud mempunyai ilmu di dada. Mereka sering juga mencari guru-guru yang handal untuk menimba pelbagai ilmu dan apabila ilmu penuh di dada maka ibaratnya seperti mendapat ijazah ketika ini. Ilmu-ilmu ini juga digunakan untuk menjaga diri dari kejahatan manusia, binatang mahupun makhluk yang lain. Sekiranya ilmu yang diamalkan merupakan ilmu hitam maka ia perlu diwarisi oleh seseorang sebelum si pemilik meninggal dunia, jika tidak ia akan menyukarkan kematian seseorang itu. Namun sebenarnya tanpa mereka sedar bahawa kebanyakan ilmu walaupun pada asasnya digelar putih sebenarnya banyak menggunakan khadam sebagai sumber kekuatan ilmu. Khadam ini dipanggil khadam ilmu dan kebanyakan khadam ilmu berasal dari bangsa jin. Terdapat juga mereka yang gemar bersahabat dengan jin dan juga menjadikan jin sebagai khadam. Dalam masyarakat kita apabila kita mewarisi sesuatu yang baik kita memanggilnya keturunan dan jika ianya negatif kita menggelarnya saka. 

Perwarisan ilmu atau `kelebihan’ yang kebanyakannya cenderung ke arah perubatan sebenarnya perlu ditapis dengan teliti tidak kira samada ia digelar keturunan atau saka. Khadam ilmu atau jin yang diwarisi secara sedar atau tidak akan mempengaruhi tindak tanduk kita. Mereka telah hidup beratus tahun dan tahu benar kelemahan manusia. Terdapat seorang kenalan saya yang mewarisi ilmu keturunannya yang menyebabkan beliau berkebolehan untuk mengubat banyak penyakit. Yang sering menjadi tanda soal ialah beliau hanya akan solat dan berwirid ketika hendak menurun. Selesai melakukan solat sunat dan berwirid beliau tidak sedarkan diri dan tubuhnya kini dikawal oleh seorang yang menggelarkan dirinya syeikh. Mereka yang berubat dengan syeikh ini amat yakin kerana syeikh ini juga bijak berhujah tentang agama. Yang bermain dikotak fikiran saya ialah mengapa kenalan saya ini hanya akan solat hanya apabila ingin menurun dan solat itu kerana siapa sebenarnya. Begitulah halusnya kesilapan yang berlaku yang boleh menjejaskan aqidah seseorang.


Pewarisan saka juga banyak mempengaruhi kehidupan seseorang itu baik dari segi keputusan, sikap mahupun perjalanan hidup. Bagi mereka yang menganggap saka itu baik bagi mereka tentunya amat sukar bagi mereka untuk membuangnya tetapi jika saka tersebut jelas membebankan, mereka akan berusaha sekuat mungkin untuk membuangnya. Saka juga merupakan salah satu penyakit orang melayu. Untuk mengenali orang yang mempunyai saka tidaklah begitu sukar. Mata mereka tidak menampakkan sinar yang terang. Ada juga diantara mereka berwajah tidak ceria walaupun mereka tidak mempunyai masalah. Mereka juga sering buntu dalam membuat keputusan dan sering juga beremosi. Ini terjadi kerana dimensi manusia dan dimensi maklhluk halus amat berbeza begitu juga dengan frekuensi mereka.


Terdapat beberapa peserta kelas Meditasi Islam yang saya kembangkan berdarah bangsawasn. Menurut mereka, jodoh mereka sering terhalang, walaupun pada awal sangkaan mereka menyangka kerana jodoh mereka belum sampai tetapi setelah mengetahui tanda-tanda serta masalah saka, mereka menyelidiki permasalahan keturunan mereka. Mereka sebenarnya tidak boleh berkahwin dengan orang bukan berdarah bangsawan dan sekiranya kekasih mereka adalah orang maka hubungan tersebut akan putus ditengah jalan dengan pelbagai sebab yang kadangkala tidak munasabah. Selain itu mereka juga bersikap panas baran dan sering membuat keputusan yang salah. Jika dilihat dari raut wajah mereka adalah golongan yang lemah lembut. Sikap panas baran ini sebenarnya adalah pengaruh dari saka yang mereka miliki secara paksaan dan tanpa sedar. Khadam ilmu atau jin dijadikan oleh Allah swt daripada api, maka dengan sebab itu mereka mudah diresapi oleh nafsu amarah dan apabila nafsu ini menular dalam fikiran, setiap keputusan yang dibuat akan berasaskan emosi dan bukan rationaliti. Saka tersebut juga akan menghalang hubungan yang tidak disenangi mereka mengikut pandangan. Saka dari keturunan akan datang kepada mereka yang memiliki sikap atau watak seperti tuannya yang terdahulu. Saka juga boleh diwarisi oleh mereka yang amat disayangi oleh tuannya. Selepas tuannya meninggal dunia maka mereka yang mempunyai kriteria tersebut akan dihinggapi oleh saka. 

Namun begitu tidak semua diantara kita yang mampu dikuasai oleh saka. Saka tidak mampu mendatangi mereka yang mempunyai jiwa yang kental dan mantap. apabila jiwa kita kental, mantap dan sentiasa merasa keberadaannya Tuhan maka pancaran cahaya jiwa akan menolak keluar segala anasir yang boleh memudaratkan samada fizikal mahupun aqidah. Jika kita duduk dalam ketenangan jiwa maka minda yang selama ini bercelaru akan menjadi positif seterusnya tubuh akan sihat. Rawatan yang paling baik untuk mereka yang dipengaruhi oleh anasir saka ialah berjalan ke arah ketenangan jiwa (bukan ketenangan minda) kerana sewaktu kita berada dalam frekuensi ketenangan segala frekuensi di atasnya akan terbias menjauhi kita. Dalam sistem Meditasi Islam berada dalam minda tauhid itu amat perlu. Saya akui bukan mudah untuk mereka yang telah lama dipengaruhi saka untuk mencapai ketenangan kerana sikap mereka ini selalunya tergesa-gesa serta fikiran mereka aktif. Kadangkala hal-hal yang remeh turut membuatkan mereka berfikir seperti memikirkan hal yang besar dan penting. Apabila banyak berfikir tentunya emosi mereka tidak stabil. Namun perlu diingat tiada penyakit yang tiada ubatnya kecuali maut. Teknik-teknik tertentu dan efektif dalam pengolahan kekuatan jiwa yang dikupas melalui sistem Meditasi Islam insya Allah dapat membantu mengeluarkan anasir yang tidak dikehendaki ini. Alhamdulillah respons yang diterima dari pengamal Meditasi Islam yang dahulunya mempunyai masalah dengan saka amat positif. Namun perlu diingat bahawa penghalang yang sering duduk di tengah-tengah adalah komitmen mereka sendiri. Untuk menyelesaikan apa jua masalah perlu ada komitmen diri. 


Tanpa komitmen serta disiplin diri, maka seseorang yang dipengaruhi saka akan kekal begitu dan apa yang ditakuti ialah ianya akan diwarisi oleh anak-anak yang bakal duduk dalam zaman yang lebih mencabar. Janganlah kita juga menjadi penyumbang kepada kegagalan kehidupan anak-anak yang inginkan kehidupan yang lebih bermakna. Justeru itu langkah awal yang perlu diambil ialah berhati-hati dalam mempelajari ilmu kerana jika sedikit kesilapan kita hari ini akan membebankan waris keturunan kita. Jika masalah spiritual seperti saka ini dapat dihindari maka perjalanan kerjaya seseorang itu hanya perlu bersaing dengan kebolehan yang ada pada dirinya. Mudahnya seseorang itu mewarisi saka ialah kerana kurangnya kekuatan jiwa seseorang itu. Seseorang yang mempunyai jiwa yang kental dan mantap akan mudah mengendalikan perjalanan kehidupan serta kerezekiannya. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu hingga kaum itu sendiri mengubahnya. Makanya kita diberi peluang untuk mengubah corak serta taraf hidup kita tetapi kita perlu tahu cara dan kaedah yang betul-betul membawa kepada perubahan positif. Untuk mengubah nasib itu perlu jiwa yang kental dan mantap dan bukan hanya minda yang positif.


Minda yang dikatakan positif belum tentu mempunyai jiwa yang mantap. tetapi jiwa yang mantap sudah tentu 100% mempunyai minda yang positif. Jadi perubahan itu perlu bermula dengan jiwa, tanpa jiwa minda tidak mampu melakukan proses pemikiran. Jiwa yang tenang akan selalu mengingat kepada Penciptanya dan jiwa akan lebih mantap hasil kerana keyakinan yang jitu kepada Allah swt. Jiwa yang tenang dapat dicapai melalui kaedah meditasi super sedar dan dalam Islam keadaan meditasi super sedar ini dapat dicapai dalam solat yang benar-benar khusyuk. Dalam kekhusyukan itu segala permasalahan akan hilang kerana jiwa kita berada dalam keadaan yang begitu tenang. Apabila jiwa kita tenang dan mantap maka segala tindakan kita lebih baik dan berjaya serta kita yakin bahawa segala usaha perlu kita lakukan tetapi keputusan adalah hak milik Allah swt. Selain itu kita juga harus melihat siapakah di sekeliling kita, bersesuaian dengan hadis nabi saw, barangsiapa berkawan dengan penjual minyak wangi maka wangilah dia. Justeru jika kita dikelilingi oleh mereka yang bermasalah maka kita akan terikut bermasalah. Ini kerana apabila bermasalah, gelombang fikiran berada dalam gelombang beta. Jika anda dikelilingi mereka yang berada pada gelombang beta yang tinggi, maka gelombang tersebut akan mempengaruhi pemikiran serta gelombang otak anda secara tidak langsung.


Ramai juga yang mengetahui bahawa meditasi mampu menghilangkan saka dan ramai juga cuba mempelajari kaedah meditasi tetapi ramai yang gagal. Ada juga yang telah menjumpai kaedah meditasi tetapi masih gagal dalam bermeditasi. Ada juga yang menelefon saya untuk mengajar Meditasi Islam secara jarak jauh. Meditasi Islam menggunakan minda super sedar adalah teknik yang memerlukan pengajar mengajar dari jiwa dan bukan dari teori. Ramai yang bertanya berapa lama masa yang perlu diambil untuk menguasai meditasi dan masa yang di perlukan untuk melakukan meditasi. Sebenarnya untuk menguasai kaedah meditasi super sedar bukan sesuatu yang mudah. Ramai yang cuba melakukan namun tidak dapat mencapai matlamat yang diinginkan. Perlu saya tekankan sekali lagi, meditasi sememangnya baik untuk kesejahteraan jiwa namun jika kita tersilap melakukannya ia mampu memberi kesan negatif dalam jangkamasa panjang. Hasil kajian di barat membuktikan kesilapan dalam meditasi akan meningkatkan kadar ketegangan, kemurungan, kekeliruan atau kegelisahan akan berlaku. Ini sering terjadi kerana mereka melakukan meditasi menggunakan minda bawah sedar. Pada zaman yang memerlukan segalanya dengan pantas tetapi sempurna maka teori shaja tidak memadai. Dengan pengalaman yang ada saya telah merumuskan satu formula khusus yang begitu praktikal supaya setiap peserta tidak kira samada mereka yang baru mencuba meditasi atau mereka yang telah lama mahupun mereka yang mempunyai pelbagai penyakit samada spiritual mahupun medik mampu menguasai tahap gelombang theta dalam masa beberapa jam.


Ramai juga yang bertanya mampukah meditasi mengubati penyakit spiritual seperti saka dan sihir. Sebenarnya meditasi super sedar mampu memulihkan masalah spiritual kerana apabila seseorang yang telah dilatih untuk mencapai kekuatan jiwa (bukan kekuatan minda) beliau akan berada dalam kondisi yang begitu sihat secara spiritualnya. Ketenangan jiwa adalah satu empangan tenaga yang tiada batas. Apabila ketenangan jiwa dicapai, pancaran rohani seseorang akan memberikan anjakan paradigma yang besar yang bukan sahaja mampu memulihkan masalah spiritual tetapi mampu mengubah corak kehidupan peribadi kerana setiap tuturkata dan perbuatannya datang dari jiwa yang tenang, kuat dan mantap.


Boleh dikatakan hampir semua orang sibuk setiap hari maka agak sukar untuk mendisiplinkan diri untuk bermeditasi selama beberapa jam sehari. Tetapi bermeditasi itu perlu kerana pada pandangan Imam Ibnu Qayyim berkata “barangsiapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih dari penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur (meditasi) maka dia akan memperolehi pelbagai hikmah” Formula yang saya rumuskan untuk mencapai ketenangan jiwa dalam masa yang pantas melalui kaedah meditasi Islam yang dikembangkan hanya akan membuahkan kejayaan jika sekiranya setiap peserta tersebut mampu membuang penyakit duniawi.


Saya menumpukan kepada tiga jenis penyakit duniawi yang terlalu banyak membuangkan tenaga kita serta membuatkan fikiran kita menjadi korup. Perjalanan minda super sedar ialah masuk ke dalam diri manakala minda bawah sedar pula menuju ke arah yang bertentangan. Justeru, penyakit duniawi yang akan saya kupas akan menarik fikiran serta emosi ke arah yang bertentangan dengan minda super sedar.

1. hasad dengki
Penyakit yang pertama yang wajib dibuang ialah hasad dengki kerana ianya bersifat negatif. Jika kita merasa irihati dengan kejayaan seseorang itu dan cuba memperbaiki diri agar berjaya sepertinya ianya suatu yang positif. Tetapi jika kita irihati dan memikirkan jalan yang mampu merosakkan kejayaan seseorang itu agar kita dapat dilihat berjaya, ianya seratus peratus negatif. Sifat irihati yang negatif ini akan membawa bebanan fikiran. Seseorang itu akan sentiasa memikirkan tentang jalan ataupun kaedah yang membolehkan dia menjatuhkan seseorang. Kadangkala terdapat juga orang yang sering takut kepada bayang-bayangnya sendiri. Mereka ini tergolong dalam golongan irihati kerana takut kedudukan mereka terancam dan sering berfikiran negatif. Fikiran negatif yang sebegini akan menjana satu bentuk emosi negatif dan seterusnya membuatkan seseorang itu bersikap merosakan dan seringkali ianya dimulai dengan kata-kata fitnah atau pembohongan. Dalam kaedah super sedar kita harus duduk merenung ke dalam diri untuk memperbaiki diri dan bukannya merenungkan kaedah kemusnahan orang lain.

2. Dendam
dendam terbahagi dalam dua kategori iaitu yang kasar dan yang halus. Yang kasar agak mudah dilihat kerana ianya terus menampakkan cirri-ciri pembalasan tetapi yang halus sukar untuk dilihat. Salah seorang peserta saya yang telah menghadiri latihan Meditasi Islam dan berjaya mencapai matlamat meditasi pada hari kursus. Tetapi seminggu selepas itu beliau menghubungi saya kembali kerana menurutnya beliau gagal mencapai ketenangan jiwa dua tiga hari kebelakangan. Apabila kami bertemu dan melakukan meditasi bersama, apa yang dapat dilihat ialah sifat dendamnya kepada bekas rakan kongsinya. Menurut beliau, beliau telah difitnah dan ditipu oleh rakan kongsinya, maka sebab itu beliau berazam membalas kembali setiap perbuatan temannya agar semua orang tahu keburukannya. Ikatan emosi dendam inilah yang merosakkan fikiran serta membawa emosi negatif. Walaupun beliau duduk bermeditasi namun fikirannya tanpa sedar memikirkan jalan untuk membalas perbuatan temannya itu. Hal ini begitu merosakkan kerana selagi kita terikat dengan dendam selagi itu kita terbeban dengan hidden emotion. Sebenarnya telah banyak pembuktian yang saya lihat jika sekiranya seseorang itu benar-benar mencapai kekuatan jiwa, maka pelbagai keinginannya termasuk ingin melihat kebenaran terlaksana akan tercapai. Apa yang perlu ialah jangan mengikat diri kita dengan sifat dendam walau sedikitpun.

3. Sangka buruk
Satu lagi sikap yang perlu dikikis dari kehidupan seharian ialah sangka buruk. Ramai anggota masyarakat yang mempunyai masalah sangka buruk tanpa menyedarinya. Orang yang selalu bersangka buruk terhadap orang lain akan mempunyai satu sikap negatif iaitu gelisah jiwa. Orang yang selalu sangka buruk juga sering memikirkan orang lain juga menyangka buruk terhadap mereka. Hasilnya mereka akan terfikir-fikir bagaimana untuk membuktikan sangkaan mereka benar. Ini satu lagi sikap yang membuatkan kita berfikir untuk orang lain dengan lebih banyak daripada memikirkan diri sendiri. Segala tenaga positif yang ada digunakan untuk memikirkan orang lain dari sudut negatif.


Satu tanda yang mudah kelihatan pada mereka yang mempunyai penyakit duniawi ialah wajah yang selalunya tidak ceria dan muram. Jika anda ingin mencapai ketenangan jiwa maka hilangkanlah penyakit duniawi ini maka kita akan memperolehi pelbagai hikmah. Ramai yang memberi definisi pelbagai hikmah ini sebagai satu kelebihan dalam bidang pengubatan alternatif. Tidak, pelbagai hikmah bermakna itu bermaksud pelbagai kebijaksanaan atau dalam erti kata sebenar memahami sesuatu perkara itu secara hakikat. Contohnya seorang ahli perniagaan akan mendapat pelbagai hikmah untuk berniaga contohnya idea yang bernas, strategi yang canggih dan lain-lain kebaikan kompetitif. Begitu juga jika kita seorang penulis misalnya, kita akan dapat berkarya dengan lebih menarik melalui bentuk penulisan. Takrifan pelbagai hikmah yang sering disalah anggap tidak dapat membantu seseorang itu membina jati diri yang sempurna. Jika anda seorang pendidik maka jadilah pendidik yang hebat, jika anda seorang salesman maka jadilah salesman yang hebat. Kesemuanya mampu dicapai hanya dengan jiwa yang tenang, kental dan mantap.

Sumber

No comments:

Post a comment