Sunday, 3 June 2012

Menikmati dan menghayati dunia dengan prinsip Ilahi


Fenomena perubahan iklim antara kerosakan akibat daripada perbuatan manusia
SYARIAH Islam meliputi semua aspek kehidupan manusia termasuk urusan ibadat dan muamalat yang berkait terus dengan kehidupan insan, tidak hanya tertakluk kepada aspek perundangan serta kehakiman semata-mata.
Menurut ulama terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi, Islam bukanlah semata-mata pensyariatan dan perundangan. Sebaliknya Islam juga adalah akidah yang menafsirkan erti kehidupan, ibadat, akhlak dan nilai mengangkat martabat manusia serta adab kesopanan yang menghiasi kehidupan. 

Dalam erti kata sebenar, syariah Islam yang disempurnakan melalui perutusan Nabi Muhammad SAW menjamin perlindungan dan hak kepada semua makhluk untuk hidup sejahtera di muka bumi seperti digambarkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutuskan engkau Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam." – (Surah Al-Anbiya', ayat 107)
Oleh demikian, usaha memakmurkan bumi dan penjagaan alam semesta adalah sejajar dengan tuntutan syariat Islam.
Manusia adalah makhluk yang dikurniakan kelebihan akal oleh Allah dan dengan akal ini manusia dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Ia membolehkan manusia membuat pilihan dalam banyak perkara berkaitan kehidupan mereka.
Sebagai khalifah, manusia adalah penerima amanat terbesar yang tidak sanggup diterima makhluk lain. Perkara ini dirakamkan dalam firman Allah
yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikul amanat itu oleh manusia." – (Surah al-Ahzab, ayat 72)
Disamping kurniaan akal, Allah juga menurunkan Rasul dan kitab untuk dijadikan panduan dan petunjuk kepada manusia dalam melaksanakan amanat sebagai khalifah di bumi yang kaya dengan pelbagai sumber. 
Malah, setiap kejadian dan makhluk mempunyai kepentingan dan kaitan dengan kehidupan manusia. Sejajar martabat manusia sebagai khalifah, mereka seharusnya berperanan membawa kesejahteraan kepada sekalian alam, bukan melakukan kerosakan.
Manusia seharusnya sedar setiap langkah dan perbuatan akan memberi kesan kepada alam sekeliling. Kerosakan dan kemusnahan alam yang berlaku memberi kesan secara langsung kepada perjalanan hidup manusia.
Apabila sungai yang menjadi sumber bekalan air utama kepada kehidupan manusia, tumbuhan dan haiwan tercemar, ia akan menjejaskan mutu kehidupan seperti melakukan ibadat solat yang memerlukan kita menyucikan diri dengan air bersih.
Begitu juga apabila udara tercemar akibat perbuatan tangan kita sendiri, maka kita tiada pilihan melainkan menghirup kembali udara tercemar itu untuk tujuan pernafasan. Keadaan ini akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan kita.
Kejadian jerebu yang melanda negara kebelakangan ini, bukan saja menjejaskan kesihatan manusia juga tumbuh-tumbuhan dan kehidupan di lautan disebabkan kekurangan cahaya matahari. Setiap kejadian pencemaran akan menjejaskan keseimbangan ekosistem yang akhirnya membawa kerugian kepada manusia sendiri.
Islam amat menitikberatkan penjagaan dan pemuliharaan alam sebagai satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Islam melarang kita daripada melakukan kerosakan di muka bumi dalam apa juga bentuk sehinggakan dalam peperangan sekali pun umat Islam dilarang melakukan kerosakan kepada tumbuh-tumbuhan, orang tua, golongan perempuan dan kanak-kanak.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." – (Surah al-Qasas, ayat 77)
Ayat itu menegaskan bahawa matlamat kehidupan duniawi tidak boleh terkeluar daripada hakikat kebahagiaan ukhrawi itulah menjadi matlamat akhir. Kesenangan duniawi mesti dipandu dengan prinsip Ilahi supaya menjurus ke arah kebaikan dan dapat menghindarkan manusia daripada melakukan kerosakan.
Abad ke-21 menyaksikan pelbagai kerosakan yang berlaku di muka bumi akibat daripada perbuatan tangan manusia atas alasan melaksanakan pembangunan material. Allah memberi peringatan mengenai kerosakan ini dalam firman-Nya yang bermaksud: "Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka supaya mereka kembali (ke jalan yang benar)." (Surah ar-Rum, ayat 41)
Kesan fenomena perubahan iklim adalah antara kerosakan yang berlaku akibat daripada perbuatan tangan manusia dengan kesan amat membimbangkan. Dunia pada hari ini berhadapan ancaman berlakunya pemanasan global disebabkan peningkatan suhu bumi, diikuti perubahan kepada taburan hujan serta kenaikan paras laut akibat daripada fenomena itu.
Perubahan itu seterusnya memberi kesan lebih besar kepada keseluruhan ekosistem. Kejadian banjir besar luar musim membawa kemusnahan pada skala besar diikuti kejadian kemarau panjang juga membawa kepada kemusnahan hutan yang tidak dapat dikawal manusia.
Kemusnahan alam yang berlaku akan mengganggu keseluruhan proses kehidupan yang saling berkaitan, bergantungan dan berinteraksi secara teratur dalam satu ekosistem.
Kejadian bencana alam yang berlaku sudah cukup memberi pengajaran dan amaran kepada manusia yang menyangka dirinya hebat dan megah dengan segala pembangunan dilaksanakan bahawa manusia tidak mampu untuk bertindak menangkis kemusnahan berlaku dalam sekelip mata. 
Kejadian itu sepatutnya memberi kesedaran dan pengajaran kepada manusia bahawa setiap usaha pembangunan yang hendak dilaksanakan perlu mengambil kira tiga perkara iaitu hubungan dengan Penciptanya, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam semesta.
Ketiga-tiga perkara ini adalah dasar kepada tindak tanduk manusia sebagai khalifah yang dapat melindungi manusia dan alam. Kegagalan menghormati ketiga-tiga perhubungan ini akan menyebabkan kehancuran proses kehidupan itu sendiri.



5 comments:

  1. Assalamualaikum Yob,

    Malangnya kebanyakan dari kita tak sedar dan jahil akan peraturan alam yg telah ditentukanNya. Dia usik satu aspek, penebangan utan misalnya, dia tak tau dia telah mengganggu aspek kitaran air dan kesinambungan flora dan fauna; belum masuk menyebabkan kepada penigkatan suhu dll. Kerana satu kitaran diganggu, keseluruhan kitaran goyang (equilibrium) dan menberi kesan domino.

    Elok kita semua kembali pd fitrahNya. Tima kasih utk entri ni. Dulu akak koje dgn NGO alam sekitar selama 10 tahun, isu ni amat repat pd pemikiran akak.

    ReplyDelete
  2. btul tu, mnusia dikurniakan akal.. dan juga nafsu.. sebab itulh kita jga dkurniakan ptunjuk utk mmbimbing nfsu drpada serakah mngerjakan sumber2 alam ni.. insyaallah, giatkn usaha n psti ada yg akan sedar..

    ReplyDelete
  3. kunjungan gan .,.
    saat kau kehilangan arah ingatlah masih ada yang menolong mu
    dan tetap berdoa mengharap untuk menemukan jalanmu.,.
    di tunggu kunjungan balik.na gan.,.

    ReplyDelete