Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “
Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan
lima perkara tersebut.
- Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya.
- Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa.
- Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam.
- Keempat, menghampirkan diri kepada Allah (beribadat) disepertiga malam dan yang
- kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.
Sesungguhnya manusia diciptakan
oleh Allah dengan sebaik-baik penciptaan. Bermulanya dengan setitik air yang
hina sehinggalah bergelar seorang insan bernama manusia. Diberikan pula
berbagai-bagai nikmat yang tak ternilai banyaknya tanpa mengira siapa kita. Namun,
kita sering lalai dan lupa untuk mensyukuri di atas anugerah yang dikurniakan,
bahkan kita masih lagi berlumba-lumba mengejar kemewahan yang bersifat
sementara itu.
Nikmat yang paling
berharga dikurniakan kepada manusia ialah nikmat hati, yang merupakan raja
segala gerak-geri dan tingkah-laku yang dipertontonkan oleh manusia. Hati yang
diciptakan Allah semulia-mulia kejadian, di situlah akal manusia, di situlah
buruk, baik, sihat, lemah manusia, di situlah segala-galanya.
Benarlah apa yang diucapkan
oleh Rasulullah SAW: “Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul
daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu.
Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu.
Ketahuilah, bahawa ia adalah hati ”.
Hatilah punca segala-galanya. Jika tidak berpunca dari hati yang
kotor, manusia tidak akan melakukan maksiat terhadap penciptanya. Namun, kita
sentiasa tidak menghiraukan gelagat hati kita. Kita sering biarkan hati kita
dikotori titik-titik hitam dan dihinggapi berbagai-bagai penyakit yang
menjijikan. Lantas, hasilnya segala gerak-geri yang dipertontonkan melencong
dari jalan yang dikehendaki Allah SWT.“
Al-Quran yang diturunkan kepada kita melalui insan agung SAW
merupakan mukjizat yang tidak ada tolak bandingnya, bahkan ia juga sebagai ubat
bagi mengubati hati yang berpenyakit. Dengan kita melazimi membacanya dan
mentadabbur apa yang terkandung di dalamnya, akan memperolehi ketenangan hati
yang akan menyebabkan hati sentiasa tidak lalai mengingati Allah SWT. Firman
Allah SWT yang bermaksud: “ketahuilah, dengan mengingati Allah itu, hati akan
tenang”.
Begitu juga dengan mengosongkan perut dari terlalu kenyang akan
mengubati segala penyakit yang tersemat dihati kerana dengannya hati akan
beroleh kerehatan dan meringankan untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT serta
menjauhkan dari segala penyakit yang memudaratkan. Rasulullah SAW pernah
bersabda: “Barangsiapa yang sedikit makannya, sihatlah perutnya dan bersihlah
hatinya. Barangsiapa yang banyak makannya, maka sakitlah perutnya dan keraslah
hatinya”.
Sabda Rasulullah SAW lagi: “janganlah kamu matikan hati kamu
dengan membanyakan makan dan minum, sesungguhnya hati itu seumpama
tumbuh-tumbuhan, jika banyak disirami air maka ia akan mati”.
Seterusnya, diantara ubat bagi mengubati hati ialah dengan
sentiasa bagun malam beribadat kepada Allah SWT kerana dengannya akan
menjauhkan diri kita dari tipu daya syaitan dan menjauhkan dari melakukan dosa
serta mendapat keredhaan dari Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa mengingati
ummatnya: “hendaklah kamu bangun malam (beribadat) walaupun hanya mengerjakan
satu rakaat sembahyang”.
Oleh itu, bagi memastikan hati kita dalam keadaan sentiasa bersih
dari segala penyakit, hendaklah kita melazimi dengan membanyakan beribadat
kepada Allah disepertiga malam kerana waktu itulah Allah SWT turun ke langit
dunia bagi melihat siapa diantara hambanya yang berjaga malam, beribadat
kepadanya.
Begitu juga, hati akan terubat dari segala penyakit dengan
sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh. Ini akan
menyebabkan sedikit sebanyak akan terikut dengan tingkah laku, perbuatan dan
percakapan mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT. Sesungguhnya Rasulullah
SAW pernah bersabda: “Berkata Luqman Al-Hakim kepada anaknya, wahai anakku,
sentiasalah kamu berada dalam majlis alim ulama (orang-orang yang soleh) dan
dengarlah kata-kata hikmah dari mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan
menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan
bumi dengan siraman hujan yang lebat”.
Berkata
seorang hukama’ : “Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sebuah kebun di atas dunia
ini, barangsiapa yang masuk ke dalamnya maka bahagialah hidupnya. Kemudian
ditanya padanya: “apakah kebun itu?, lantas dijawab bahawa kebun itu adalah
majlis-majlis ilmu (mengingati Allah).
Begitulah di antara penawar-penawar yang digariskan oleh ulama
bagi mengubati hati-hati kita dari segala penyakit yang menyebabkan gerak geri
yang dipertontonkan oleh kita melencong ke arah kemurkaan Allah SWT. Mudah-mudahan
kita digolongkan dikalangan hamba-hambanya yang sentiasa dalam keadaan hati
bersih dari segala penyakit-penyakit yang menyebabkan kita lalai mengingati
Allah SWT.
Wallahu a’lam.
ermm patutlah lao tngah stress mkan byk2 jd lmas n xsmangat..kna puasa rupanya..
ReplyDeletetanx utk info