Sumber: Tranungkite
Terbaca di beberapa blog
dan forum baru-baru ini, memandangkan hampirnya kita memasuki tahun baru
Hijrah, berkemundang sekali lagi seruan bahawa bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal
Tahun merupakan satu bid'ah yang jelas haram di sisi Islam. Benarkan apa yang dihebohkan
ini? Kalau benar mengapa saban tahun setiap jabatan agama negeri tidak pernah
menghalang sambutan ini? Adakah tok mufti dan semua ustaz yang berada di setiap
jabatan agama ni bersekongkol dalam kesesatan? Sama-sama kita kaji..
Biasanya apabila kita
tidak mengetahui asas bagi satu masalah, maka kita akan mudah membuat keputusan
yang salah. Asas dan sebab bagi satu masalah merupakan kunci bagi kita untuk
mendapatkan jawapan bagi masalah tersebut. Di sini kita perlu mengkaji dua masalah.
Mengapa dibaca doa akhir dan awal tahun. Seterusnya mengapa pula satu golongan
lagi cuba untuk mengharamkan perbuatan ini.
Asas pendapat pertama kita lihat dari sudut amalan
para ulamak berkurun lamanya bukan sahaja di nusantara malahan di banyak lagi
tempat di dunia, yang mengamalkan berdoa di akhir dan awal tahun. Apakah asas
mereka? Jawapannya yang ringkas, bukankah kita semua mengetahui bahawa
beredarnya bulan dan tahun ini merupakan tanda kekuasaan Allah? Maka tidak
layakkah kita sebagai hamba yang lemah memuji Allah apabila kita memerhatikan
kebesaranNya? Seterusnya, bukankah molek kalau kita akhiri akhir tahun kita
dengan memohon ampun atas kesalahan kita sepanjang tahun lalu, dan seterusnya
memulakan awal tahun baru, dengan berdoa kepada Allah agar tahun yang mendatang
dipenuhi rahmah dan maghfirahNya? Doa itu senjata mukmin. Maka gunakanlah
senjata ada sebaik mungkin.
Asas pendapat kedua. Bid'ah dholalah (atau kata
mereka bid'ah secara mutlak) adalah mengadakan sesuatu yg baru yang tiada asasnya
langsung dalam agama. Itu kata kita. Ada di kalangan mereka yang menyalah erti
bahawa bid'ah adalah sesuatu urusan agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah
s.a.w. Namun sangkaan ini amat tersasar dari kebenaran berdasarkan terlalu
banyak dalil menunjukkan keharusan perkara dalam agama yang tidak dilakukan
oleh Rasulullah seperti menghimpunkan Al-Quran dan azan solat jumaat sebanyak
dua kali yang dilakukan oleh Saiyidina Usman. Maka diistilahkan pula oleh Imam
Syafie dan para mujtahidin yang lain perkara ini sebagai bid'ah hasanah. Malah
diklasifikasikan pula oleh Imam Nawawi bid'ah kepada 5 hukum taklifi yang ada.
Mereka kata klasifikasi ini klasifikasi dari sudut bahasa, namun jika kita kaji
bid'ah dari segi bahasa bukanlah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dan yg lain,
tetapi bid'ah dalam agama.
Apapun
yang diistilahkan kita sepakat mengatakan bahawa perkara yang dibaharukan yang
tiada asasnya langsung dalam agama hukumnya haram dan bid'ah yang dholalah.
Nah, sekarang mereka membuat pula satu kaedah. Jika satu ibadat itu dilakukan
pada satu waktu tertentu atau hari tertentu atau bilangan tertentu tanpa ada
hadis yang warid dari Rasulullah s.a.w. maka ianya dikira sebagai bid'ah (baca
bid'ah dholalah) dan haram. 2 asas inilah yang dipegang menjadikan bacaan doa
akhir dan awal tahun sebagai haram.
Perbincangan bagi hujjah pendapat yang pertama. Dikatakan bahawa memuji
Allah apabila memerhatikan kebesaranNya. Benar. Namun cara kita menunjukkan
pujian dan bersyukur itu perlukan petunjuk dari Allah dan Rasul-Nya s.a.w.
Bukannya mengikut fikiran kita semata-mata. Adakah berdoa tersebut cukup untuk
menghapuskan segala dosa yang berlaku di sepanjang tahun. Kalau begitu mudahla,
Buat dosa banyak-banyak. Akhir tahun doa jelah. Lagipun kalau doa ni pun da
bid'ah dan berdosa, sebenarnya bukan hapuskan dosa tapi tambahkan dosa lagi.
Jawapan kepada perbincangan ini. Cara kita menunjukkan pujian dan
bersyukur adalah diharuskan selagi mana tidak melanggar syara'. Sebanyak mana
pun kita bersyukur takkan cukup dengan nikmat yang Allah beri. Lagipun kita
bukan bersyukur mengikut fikiran kita semata-mata, tetapi berdasarkan kepada
petunjuk Allah dan Rasul-Nya jugak kan. Bukankah berdoa ini satu cara yang
ditunjukkan dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bukannya kita sambut
dgn konsert atau pertunjukkan bunga api.
Berkenaan
doa boleh menghapuskan dosa atau tidak tersebut, urusan tersebut diserahkan
kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang memerintah kita supaya berdoa dan Dialah
yang memakbulkan doa dan mengampunkan dosa. Ini merupakan usaha kita yg
diperintah oleh-Nya. Hujjah buat dosa banyak2 kemudian berdoa adalah hujah yang
dangkal, kerana tiada siapa yang mengetahui selama mana hayatnya. Juga ia
seolah-olah mempermain-mainkan mereka yang berdoa setiap hari agar diampunkan
oleh Allah. Mengapa tidak tunggu tua sahaja baru berdoa. waktu muda buat
dosalah banyak2. Hujah yang amat cetek dan tidak perlu dihiraukan, tetapi perlu
dijawab kerana banyak antara mereka yang cetek ilmu, tapi mengaku berilmu.
Semua kita sepakat bahawa melakukan perkara yang dilarang oleh syarak secara
pasti dan mesti adalah haram. Jadi mengapa perlu dipersoalkan perkara begini.
Tetapi kita sebagai manusia yang tidak maksum pasti tidak akan lari dari
kesalahan. Jadi kita perlu dari masa ke semasa meminta pengampunan dari Allah
s.w.t. Niat melakukan dosa dengan harapan berdoa di waktu lain agar diampunkan
adalah niat yang jelas salah dan terlarang.
Perbincangan hujjah pendapat yang kedua pula.
Perbincangan hujjah pendapat yang kedua. Apakah asas-asas yang
diiktiraf dalam menentukan hukum dan adakah doa ini tiada asasnya langsung
dalam agama? Para ulamak telah berselisih dalam perkara ini, namun mereka
sepakat menentukan bahawa Al-Quran, Assunnah, Ijma' dan Qias secara umumnya
adalah asas dalam menentukan hukum. (kecuali beberapa ulamak zahiri dan syiah
yang menolak terus qias). Mereka pula hanya menganggap Al-Quran dan Assunnah
dan ijtihad para mujtahidin berdasarkan dua sumber ini merupakan asas.
Walaubagaimanapun kedua-dua masalah ini tidakla jauh bezanya jika difahami
dengan betul. Jadi persoalan sekarang adakah di sana asas bagi doa ini dibaca?
Secara
ringkasnya asas bagi berdoa secara umumnya adalah ayat-ayat Alquran dan Assunnah
yang terlalu banyak menerangkan perintah berdoa tak kira masa dan tempat.
Perintah2 ini tidak boleh kita khususkan kepada doa yang warid dalam alquran
dan sunnah semata-mata, kerana ia dikira sebagai mengkhususkan sesuatu yg umum
tanpa pengkhususnya. Selain itu warid dari Hadis2 dan asar para solihin
keharusan berdoa selain dari yg warid mengikut keperluan kita asalkan tidak
bercanggah dengan syarak.
Asas
seterusnya dalam berdoa ini adalah berdasarkan maslahah (yang juga sumber
perundangan hukum islam). Maslahah yang rajihah (yang boleh diguna pakai) dalam
perkara ini ditentukan oleh para ulamak terdahulu bukan menurut pemikiran kita
semata. Maslahah ini lebih jelas di zaman kita yang mana ramai di kalangan
masyarakat kita sudah jauh dari ajaran Islam dan tidak reti berdoa lagi. Malah
di tahun baru ini pun mereka tanpa segan silu membuat kemaksiatan. Bukankah
molek jika kita menyeru mereka berdoa di waktu begini?
Jadi
apabila ada asas-asas yang disebutkan maka kita tidak boleh menyebut amalan
berdoa ini sebagai satu perkara bid'ah yang sesat. Malah boleh kita masukkannya
di dalam bid'ah hasanah yang disebutkan oleh Imam Syafie.
Mereka
juga menyatakan bahawa sesutu ibadat seperti zikir dan doa itu perlu menyamai
Rasulullah dari sudut bilangan, masa, hari dan tempat. Sesuatu yang bercanggah
dengan salah satu darinya adalah haram. Kita pula menjawab, di manakah dalil
kepada penyataan ini? Ulamak terdahulu tidak pernah membuat kaedah sebegini.
kaedah yang ada adalah, ibadat tidak menyalahi dari apa yang Rasulullah
tunjukkan. Jangan Rasulullah bersolat subuh 2 rakaat kita bersolat 3 rakaat,
kerana nak pahala lebih. Itu yang salah. Adapun berdoa dan berzikir di waktu
yang tidak warid Rasulullah berzikir pada waktu tersebut adalah tidak
diharamkan. Kerana Rasulullah sendiri sentiasa berzikir dan berdoa. Selain itu
perintah berzikir berdoa tidak pernah mengkhususkan masa dan tempat. Tiada
salahnya jika kita hanya mengaji Al-Quran selepas maghrib setiap hari dan
memerintahkan pula anak-anak kita berbuat sedemikian, walaupun tidak warid
dalam hadis Rasulullah ada mengkhusukan begitu. Itu kita sepakat bukan. Jadi
mengapa kita mengkhususkan pula sebelum maghrib akhir zulhijjah untuk berdoa
dikira sebagai sesuatu perbuatan yang haram?
Hujjah
mereka seterusnya adalah kebaikan sesuatu perkara adalah berdasarkan al-Quran
dan As-sunnah. Maka kita katakan bahawa kebaikan berdoa ini juga adalah
berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang menyuruh kita berdoa tanpa mengira
waktu dan tidak pernah pula melarang kita berdoa di waktu2 tertentu. Maka kita
simpulkan bahawa berdoa awal dan akhir tahun ini merupakan perkara yang baik
menurut syara'. Bid'ah mustahabbah kata Imam Nawawi.
Kesimpulan: Doa di awal dan
akhir tahun merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus dilakukan oleh setiap
lapisan masyarakat, namun ia bukanlah perkara yang wajib. Anda hendak berdoa,
berdoalah di setiap waktu dan ketika. Setiap waktu dan ketika itu termasuk juga
padanya doa di awal dan akhir tahun. Berdoalah semoga dosa kita di tahun yg
lalu diampunkan dan amalan kita diterima. Jua berdoalah moga di tahun baru ini
kita dibantu melawan syaitan, nafsu yang menyeru kejahatan serta dibantu
melakukan amal ibadat sebanyak mungkin.
Wallahu A'lam
Wasallallahu 'Ala Saiyidina
Muhammad Wa'ala Alihi Wasohbihi Ajma'in, Walhamdulillahi Rabbil 'Alamin
Berdoa itu diharuskan. Jadi tidak nampak masalah sebenarnya. Kadang-kala perlu juga penjelasan seperti ini.
ReplyDeleteBagus penjelasannya..good job!
ReplyDelete