Thursday 4 August 2011

KEPUTUSAN ALLAH PALING TEPAT

Dalam membuat sesuatu keputusan kebanyakan manusia hari ini tidak menyandarkan setiap keputusan yang diputuskan itu pada Allah. Justeru itulah kelihatan dewasa ini ramai manusia yang sakit jiwa, hidupnya menderita, tertekan, sangka buruk kepada Allah. Seringkali juga menyalahkan orang lain jikalau apa yang diingininya gagal.
Ada segolongan manusia hari ini membuat keputusan ingin jodohkan anaknya dengan si fulan si fulan, tiba-tiba perancangan atau keputusan yang mereka putuskan itu dengan kehendak Allah gagal. Jadi mereka yang tidak yakin dengan keputusan Allah itu adalah sebaik-baik keputusan, di saat itulah akan berlakunya pertengkaran.
Boleh jadi kaum keluarga pihak lelaki akan marahkan kaum keluarga pihak perempuan sekiranya pihak perempuan yang menolak pinangan mereka. Hasil dari perasaan tidak puas hati itu, akan putuslah persaudaraan sekiranya selama ini mereka ada pertalian darah, akan putuslah ukhwah dan silaturahim, sesama jiran sekampung sekiranya mereka berjiran dan akan putus hubungan persahabatan sekiranya mereka selama ini merupakan sahabat karib yang paling akrab dan begitulah seterusnya.
Perselisihan faham demikian tidak akan selesai sekiranya manusia hari ini masih lagi merasakan setiap keputusan dari akal fikiran mereka itu adalah lebih baik daripada keputusan orang lain ataupun mereka merasakan keputusan dari Allah itu tidak adil dan menyeksakan.
Begitu juga dalam peperiksaan, kebanyakan para pelajar ataupun mahasiswa-mahasiswi akan kecewa kiranya mereka gagal dalam peperiksaan yang mereka hadapi. Dalam hal ini si ibu atau si bapa (penjaga) akan menyalahkan anak jika si anak gagal dalam peperiksaan, terluncurlah dari mulut kedua ibu bapa dengan kata-kata yang kesat dan menyakitkan.
Antara kata-katanya,  “Anak tak guna, bodoh, bengap,” dan sebagainya. tambahnya lagi “Rugi duit aku, sekolahkan engkau tinggi-tinggi tapi tak seperti anak orang lain, tak boleh diharap.” Kata-kata seperti ini menyebabkan jiwa si anak tertekan lantas mengambil keputusan yang singkat seperti membunuh diri, melibatkan diri dengan kumpulan-kumpulan jahat, liar, lari dari rumah, jadi pengacau di kotaraya, jadi kutu di kaki-kaki lima dan sebagainya.
Kedua ibu bapa malu pada orang ramai kiranya anak mereka gagal dalam peperiksaan. Malunya mereka tidak dapat diucapkan dengan lidah. Begitulah perasaan yang menguasai setiap jiwa yang tidak yakin dengan keputusan dari Allah itu adalah sebaik-baik keputusan.
Bagi ibu bapa yang yakin bahawa anaknya gagal dalam peperiksaan, mungkin mengandungi hikmah yang banyak akan berkata, “Alhamdulillah, tak apa nak… sudah begitu kehendak Allah, Allah Maha Mengetahui, tahun depan boleh cuba lagi.” Mendengarkan ungkapan kata-kata seperti itu jiwa anak yang kacau, sedih dan pilu itu kembali bertenaga dan hidup serta bersyukur pada Allah kerana kedua ibu bapanya faham akan isi hatinya. Barulah aman dan bahagia rumahtangga yang demikian.
Hubungan suami isteri boleh juga retak disebabkan satu kes kecil seperti kes hendak balik kampung.
Si isteri yang tidak berpegang teguh dengan keputusan dari Allah adalah paling tepat, ia akan kecewa kiranya si suami berjanji hendak balik kampung sekian-sekian haribulan, sekian-sekian hari, tiba-tiba bila tepat hari sebagaimana yang telah dijanjikan, suaminya ada urusan lain yang lebih penting, maka dibatalkannya keputusan untuk balik kampung.
Bagi si isteri yang tidak faham dan tidak yakin dengan keputusan ini ia akan mengamuk, akan membuat kerenah akhirnya tidak mustahil sebab kes hendak bailk kampung saja, hubungan suami isteri tegang dan akan berlakulah kes perceraian.
Ada juga menusia hari ini ia tidak redha dengan keputusan dari Allah tentang kehidupan sehari-harian. Hasratnya belajar tinggi-tinggi, bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran untuk memperolehi sijil yang baik. Tiba-tiba itu semua diperolehinya tetapi bila temuduga minta kerja tidak juga dapat-dapat. Bercita-cita ingin jadi Pegawai Daerah tetapi malangnya dapat jadi kerani biasa, bercita-cita nak jadi doktor tetapi jadi pemandu kereta ambulan, bercita-cita nak jadi pramugari tetapi tidak terpilih, hanya berjaya jadi pelayan-pelayan restoran sahaja, bercita-cita nak jadi pemimpin negara tetapi keputusan dari Allah jadi rakyat jelata, maka kalau jiwa tidak bersedia sabar, redha dan syukur dengan ketentuan Allah, hal ini boleh menyebabkan orang berkenaan sakit jiwa serta menderita lahir dan batin.
Lebih parah lagi sekiranya sampai ke peringkat merasakan, “Allah tak patut, aku nak ini Ia beri yang lain, aku nak jadi pegawai, Allah beri aku jadi kerani pula.”
Rasa tidak puas hati seringkali mencuit isi hati, “Allah tak adil betul, sepatutnya layak aku jadi pramugari kenapa si fulan itu pula yang dipilih. Sedagkan sifulan tu…. bukannya cantik sangat, dah la tu…. tak ada degri dan kelayakan langsung,” dan macam-macam lagilah bisikan syaitan pada hati kecil kita. Akibatnya kita menjadi musuh Allah tanpa sedar.
Hendak jadi orang kaya, tiba-tiba Allah beri miskin. Salahkan Allah lagi, “Kenapalah Allah tak beri aku jadi orang kaya, kalau aku kaya kan lebih baik dari si fulan tu. Kalau aku kaya aku akan bantu semua fakir miskin yang memerlukan bantuan, tak seperti si fulan tu…. dah lah bakhil, sombong pulak tu…..”
Begitulah jahatnya hati kecil kita yang terselit bisikan syaitan. Sudah banyak nikmat lain yang Allah beri, tidak juga bersyukur. Masih lagi menagih nikmat yang bukan hak kita. Sebelum dapat macam-macam yang baik boleh kita lafazkan, bila sudah dapat belum tahu, mungkin kita lebih gelojoh, bakhil dan sombong daripada orang yang kita maksudkan sebelum ini. Sebab itulah Allah tidak beri pada kita sebab Dia sayangkan kita dan hendak selamatkan iman kita.
Sepatutnya bersyukurlah Allah tidak beri apa yang kita tidak mampu, mungkin kalau Allah beri kita yang rugi. Menyesal tidak sudah. Bersyukurlah sekiranya apa yang dihajati oleh nafsu kita tidak diberi oleh Allah. Kerana banyak mengandungi hikmah sebaliknya, Allah yang Maha Mengetahui sedangkan kita buta segala-galanya. Kita tidak nampak apa yang belum berlaku sedangkan Allah Maha Melihat. Sebab itu yakinlah bahawa keputusan dari Allah itu adalah yang paling tepat dan sebaik-baik keputusan.
Jadilah hamba yang redha dan sabar dengan setiap keputusan dari Allah swt.

4 comments:

  1. salam..

    Allah beri apa yang kita perlu, dan tak semua yang kita mahu kita akan dapat sebab hanya Dia tahu yang terbaik wat hamba-hambaNya..

    selamat berpuasa :)

    ReplyDelete
  2. btl2..hidup kite da tersurat oleh ketentuan Nya..

    ReplyDelete
  3. Ass.Alaikum...Nice postnya sobat...Ini juga menjadikan atau menjamurnya korupsi..terlalu cinta materi....Subahanallah...Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Mengayakan, cuma manusia selalu atau suka instant.... Allah Swt memberi apa yang dibutuhkan tapi bukan yang diharapkan.... sekedar berbagi dan selamat berpuasa...sukses :)

    ReplyDelete
  4. Hm, hidup mmg segalanya berpaksikan ALLAH..
    Kita hnya merancang, tp ALLAH jua yang menentukan...
    thnks for this entry, its open my mind..
    syukran.

    ReplyDelete