Wednesday 3 September 2014

Memahami Perundangan Islam

Berleluasalah zina, akibat curang, tiada ilmu, dedah aurat, undang-undang tak berbaloi dan segala macamnya. Berleluasa juga jenayah dengan segala macam jenisnya. 


Perlukah sistem perundangan Islam dilaksanakan semula, yang 'hukum hudud' ada di dalamnya. Di Malaysia orang bukan Islam pun nak tahu tentang hudud, maka malulah orang Islam yang masih belum tahu. Mungkin itu hasil dari keberkesanan dakwah PAS, sejak PAS ditubuhkan.

Apa Itu Hukum Hudud? 

Definisi mengenai hudud ialah: 
Hukum-hukum tertentu yang ditentukan oleh Allah SWT, sama ada melalui al-Quran atau Sunnah Nabi Muhammad SAW, sebagai Hak Allah dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan-kesalahan tertentu, yang digolongkan di dalam jenayah Hudud. Iaitu tujuh jenis seperti yang diterangkan oleh al-Quran iaitu: 
  • Zina.
  • Tuduhan Zina (Qazaf) tanpa empat saksi.
  • Minum Arak.
  • Mencuri.
  • Hirabah (Perusuh / ganggu keamanan).
  • Murtad.
  • Baghy (Bughah – Pemberontakan).

Al-Mawardy pula mendefinisikan Hudud sebagai Sekatan-sekatan atau deraan-deraan yang ditentukan oleh Tuhan sebagai balasan (hukuman) kerana melakukan perkara-perkara yang ditegah dan meninggalkan pekara-perkara yang diperintah, kerana tabiat semulajadi manusia yang dikuasai oleh nafsu yang melalaikan dari seksaan akhirat dengan semata-mata mengejar kelazatan dunia yang cepat. (al-Mawardy, al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 221).

Melaksanakan hukum hudud ini adalah wajib dan dikira sebagai hak Allah. Maksud Hak Allah ialah seksaan itu tidak boleh digugurkan (dimaafkan) sama ada oleh individu atau masyarakat. ( Abdul Qadir Audah, al-Tasyri c al-Jinaiy al-Islamiy, hlm. 78 ).

Ini adalah antara dalil-dalil yang disebut daripada Al-Quran dan juga hadith:


Pengharaman Zina.

Firman Allah :

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةٗ وَسَآءَ سَبِيلٗا ٣٢ 

Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Quran, al-Isra : 32)


Hukuman Zina, firman Allah :

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِهِمَا رَأۡفَةٞ فِي دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ وَلۡيَشۡهَدۡ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٞ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٢ 

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.. (al-Quran, an-Nur : 2)

Hadis Nabi mengenai zina, mafhumnya:

Ambillah dari aku! Sesungguhnya Allah memberi jalan kepada mereka (perempuan yang berzina ), jikalau teruna dengan dara hendaklah disebat seratus kali sebatan, dan dibuang negeri setahun, dan jika yang telah berkahwin dengan yang telah berkahwin hendaklah disebat dengan seratus kali sebatan dan direjam dengan batu sampai mati. (Muslim, Sahih : hlm. 188)

Zina diharamkan dan hukuman hadnya ialah buang negeri (taghrib) dan disebat seratus kali bagi yang belum kahwin, dan disebat seratus kali dan direjam sampai mati bagi yang sudah berkahwin (muhsan), ada yang berpendapat hanya rejam sahaja bagi yang telah berkahwin.


Pengharaman Tuduhan Zina (Qazaf) tanpa empat orang saksi dan hukuman Had mengenainya, Firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 4 :

وَٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَأۡتُواْ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجۡلِدُوهُمۡ ثَمَٰنِينَ جَلۡدَةٗ وَلَا تَقۡبَلُواْ لَهُمۡ شَهَٰدَةً أَبَدٗاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٤ 

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik melakukan zina, dan mereka tidak membawa empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya, dan mereka adalah orang-orang yang fasiq. ( surah an-Nur, ayat 4)

Iaitu tuduhan zina (Qazaf) tanpa membawa empat orang saksi adalah haram, dan hukuman had ke atas orang yang menuduh itu ialah lapan puluh kali sebatan beserta hukuman tambahan iaitu tidak diterima kesaksian orang itu selama-lamanya.


Pengharaman minum arak.

Firman Allah yang bermaksud :

Hai orang-orang yang beriman! sesungguhnya meminum khamar (arak), berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan Syaitan. Kerana itu jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan (kejayaan). (al-Quran, al-Maidah : 90)

Hukuman hudud meminum arak ialah disebat, tetapi jumlahnya terdapat dua riwayat ; dalam satu hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah telah memukul (sebat) seorang lelaki yang meminum arak dengan dua pelepah tamar sebanyak empat puluh kali dan begitu juga dilakukan oleh Abu Bakar, tetapi pada masa Saidina Umar, beliau berbincang dengan sahabat-sahabat dan berkata seorang sahabat, Abdul Rahman seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebatan (Muslim, Sahih : hlm. 214) dan Umar menurutnya.


Hukuman Hudud Jenayah Mencuri.

Firman Allah ;

وَٱلسَّارِقُ وَٱلسَّارِقَةُ فَٱقۡطَعُوٓاْ أَيۡدِيَهُمَا جَزَآءَۢ بِمَا كَسَبَا نَكَٰلٗا مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٣٨ 


Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Quran, al-Maidah : 38)


Hukuman hudud bagi kesalahan mencuri ialah potong tangan dengan cara yang tertentu yang akan dibincangkan.


Hukuman Perusuh dan Pengacau Keamanan (hirabah).

Firman Allah  :

إِنَّمَا جَزَٰٓؤُاْ ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوٓاْ أَوۡ يُصَلَّبُوٓاْ أَوۡ تُقَطَّعَ أَيۡدِيهِمۡ وَأَرۡجُلُهُم مِّنۡ خِلَٰفٍ أَوۡ يُنفَوۡاْ مِنَ ٱلۡأَرۡضِۚ ذَٰلِكَ لَهُمۡ خِزۡيٞ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَهُمۡ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ ٣٣ 

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang negeri. Yang demikian itu sebagai satu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka akan beroleh seksaan yang besar. (al-Quran, al-Maidah : 33)


Pengharaman Murtad.

Firman Allah yang bermaksud :

إِذۡ قَالَتِ ٱمۡرَأَتُ عِمۡرَٰنَ رَبِّ إِنِّي نَذَرۡتُ لَكَ مَا فِي بَطۡنِي مُحَرَّرٗا فَتَقَبَّلۡ مِنِّيٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٣٥ 

Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk di antara orang-orang yang rugi. (al-Quran, al-Imran : 35)


وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧ 


Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. (al-Quran, al-Baqarah : 217)



Hukuman Murtad ialah bunuh, Hadis Nabi yang mafhumnya ;

Tidak halal darah seorang Muslim yang telah bersaksi bahawa tiada Tuhan Yang diSembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan mengakui Aku (Muhammad) sebagai Rasulullah, melainkan terhadap salah satu dari tiga (orang) iaitu penzina yang telah berkahwin (muhsan), membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya (murtad). (Muslim, Sahih : hlm. 164)


Jenayah Baghy, pengharamannya dan hukumannya.

Firman Allah:

وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٩ 


Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Quran, al-Hujurat : 9)


Inilah sumber perundangan yang utama (dari al-Quran dan al-Sunnah) mengenai jenayah. Syariat menentukan secara tepat mengenai seksaan atau hukuman bagi tiap-tiap jenayah Hudud. Tidak ada hak mana-mana pihak persendirian seperti Qadi atau mangsa atau pihak awam seperti kerajaan atau lain-lain, boleh meminda hukumannya.

Jika hudud dilaksanakan, adakah lagi zina berlaku leluasa? Miinum arak jadi biasa saja. Kejadian pecah rumah, rompakan masih berlaku setiap hari? Fikir-fikir dan renungkanlah!


Dari blog Ibnu Hasyim dgn. penambahan.

No comments:

Post a Comment