Mazhab adalah berasal daripada bahasa
arab, yang bermaksud kecenderungan dalam sesuatu perkara. Soalan
sebegini sudah acap kali orang bertanya.
Bila
baca soalan sebegini dan sebelum ini ada juga yang bertanya soalan
yang seumpama dengan ini lantas apa yang terlintas di benak saya,
adakah kita lebih hebat daripada Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Maliki
dan Imam Hanbali sehingga sudah tidak mahu berpegang kepada mazhab?
Kepentingan
bermazhab adalah bagi membolehkan kita mengamalkan agama dengan faham
yang sebenarnya. Sebabnya, kita tidak mampu dan kebanyakan kita tidak
layak kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berijtihad. Para
ulama yang muktabar telah memudahkan kita memahami Islam dengan lebih
mudah.
Contohnya
hadis berkaitan wuduk dalam sahih al-Bukhari dalam kitab bersuci,
wuduk, di bawah tajuk ini adalah 75 bab dan 105 hadis, di dalam kitab al-Ghusl (mandi) terdapat 29 bab dan 44 hadis.
Kadang-kadang
dalam satu bab ada ada dua tiga mungkin lebih lagi. Mungkin juga di
antara hadis-hadis itu pada zahirnya macam bertentangan tetapi
hakikatnya tidak. Semua ini orang awam boleh faham ke untuk
menghasilkan hukum?
Tidak semudah yang disangka. Memang Islam itu mudah, tapi tidaklah sampai dimudah-mudahkan Islam itu.
Pandangan
peribadi saya adalah lebih baik orang awam di negara ini berpegang
kepada satu mazhab, iaitu mazhab Syafie, yang menjadi pegangan majoriti
penduduk dunia.
Saya
juga mengagumi dan menghormati mazhab-mazhab yang lain. Tetapi negara
ini kita sudah serasi dan menjadi pegangan untuk kian lama.
Silibus
fiqh di sekolah dan universiti juga bermazhab Syafie. Oleh sebab itu,
saya berani mengatakan mazhab Syafie telah menjadi mazhab rasmi
masyarakat yang beragama Islam di negara ini.
Keadaan
umat Islam semakin bercelaru dengan berbagai aliran dan pemikiran
selepas kewafatan Rasululah SAW. Terutama pada zaman Saidina Ali yang
muncul berbagai-bagai fahaman seperti aliran Khawarij, Mu'tazilah dan
Syiah dan macam-macam ajaran yang membingungkan hala tuju manusia.
Oleh
kerana terdapat berbagai aliran ini, tepatlah al-hadis Nabi yang
diriwayatkan oleh Al-Imam al-Thabarani: "Bahawa pada akhir zaman, umat
ku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang dapat
memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka
sahabatnya pun bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya
Rasulullah? Jawab baginda Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)".
ASWJ adalah mereka yang mengikut sunnah Rasululah dan juga sunnah sahabat-sahabat Baginda serta sunnah umat zaman Tabiin
(Zaman 300 tahun selepas Rasulullah). Keempat-empat Imam ASWJ iaitu
Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Al-Shafiei dan Imam Hambali tersebut
hidup pada zaman tabiin yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW.
Mendalami ilmu
Imam
Hanafi lahir pada 80 hijrah dan Imam Malik lahir pada tahun 93 hijrah
dalam kurun yang pertama lagi. Imam Al-Syafie lahir pada pada 150
hijrah dan Imam Hambali lahir pada 164 hijrah.
Semua
mereka terkenal dengan sifat-sifat terpuji dan terkenal dengan
ketokohan mereka dalam bidang ilmu. Seawal usia mereka telah menghafal
al-Quran, selesai menghafal al-Quran mereka akan mendalami ilmu hadis
serta ilmu tafsir, disusuli dengan ilmu fiqh dan tauhid.
Mereka sanggup berehlah
ribuan batu untuk mendapatkan ilmu, sanggup mengharung perit maung
dalam mencari ilmu. Sepanjang riwayat hidup mereka kita akan dengar
yang baik-baik, yang indahnya mereka adalah ulama yang jujur dalam
menegakkan kebenaran demi Allah SWT dan Rasul-Nya.
Perjuangan
mereka jujur ijtihad mereka juga semata-mata mencari keredaan Allah
SWT. Keempat-empat Imam tersebut juga boleh mengistinbatkan hukum
selain dari al-Quran dan al-hadis. Selain itu, keempat-empat mereka
juga mempunyai kitab rujukan pada anak murid dan umum.
Seperti Imam Hanafi yang mempunyai kitab al-hadis yang bernama Al Wasit, Imam Malik dalam kitab Al-Muwattha, Imam Al-Shafie dalam kitab Al-Uum dan Al-Imam Hambali (Ahmad bin Hambal).
(Mazhab
bagi keluarga Ibn Tamiyah di mana bapanya adalah ulama bermazhab
Hambali) dalam kitab al-Hadis yang terkenal yang bernama Al-Musnad yang merangkumi 35,000 hadis di dalamnya.
Keempat-empat
Imam tersebut apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan
hukum, mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Kalau
ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu daripada empat mazhab
tersebut, ertinya mereka juga telah mengikut al-Quran dan al-hadis.
Cuma sebagai orang awam yang tidak tahu ayat al-Quran dan al-hadis mana yang diterima pakai. Kerana itu digelar muqalidin atau pengikut.
Memang
sudah menjadi sunnatullah sejak Nabi Adam sehingga pada akhir zaman,
orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim.
Walaupun sebenarnya ramai yang ingin menjadi alim.
Begitu
juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang berilmu tetapi yang
jahil amat ramai. Dalam pada itu patutkah diminta pendapat orang awam
mengkaji dan menggali sendiri al-Quran dan hadis?
Tidak
munasabah meminta mereka berijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis.
Oleh yang demikian berpegang kepada satu mazhab yang muktabar seperti
mazhab Syafie adalah lebih baik dan lebih selamat.
Ini kerana kita akan seragam dalam penghayatan dan pengamalan serta mengelakkan pertelingkahan antara satu sama lain.
- Utusan
No comments:
Post a Comment