Thursday 12 July 2012

AL-MUZANI

Nama dan Tarikh Lahir
Nama lengkap al-Muzani ialah Isma‘il bin Yahya bin Isma‘il bin ‘Amru bin Ishak, Abu Ibrahim al-Muzani. Dalam arena ilmu fiqh beliau lebih sering disebut al-Muzani. Sebutan al-Muzani diberikan kerana beliau dikaitkan dengan Muziah binti Kalb; ibu kepada ‘Utsman dan Awus yang kedua-duanya anak ‘Amru bin Ad dari suku Mudhar. Beliau dilahirkan pada tahun 175H. Mengikut riwayat Abu al-Fawaris as-Sindi beliau dan ar-Rubai‘ adalah sesusuan.

Akhlak dan Ibadah
Al-Muzani dikenali sebagai seorang yang warak, zuhud, menjauhi keduniaan dan seorang yang mustajab doanya. Beliau juga seorang yang suka turut memandikan jenazah semata-mata mengharap redha Allah dan salah satu usahanya melembutkan hati. Beliau berkata: “Aku melakukannya untuk melembutkan hatiku.”

Dalam soal ibadat khasnya sembahyang fardhu secara berjemaah adalah menjadi amalan rutinnya. Ini sudah setentunya sebagai tradisi para ulama salihin yang merasa sangat rugi jika melakukan sembahyang fardhu tanpa berjemaah. Dari itu jika tidak sempat melakukan mana-mana sembahyang fardhu secara berjemaah, beliau akan mengulang sembahyangnya semula sebanyak dua puluh lima kali.
‘Amru bin ‘Utsman al-Makki berkata: “Aku telah menemui ramai ahli ibadat, tetapi belum pernah menemui orang yang lebih kuat dan lama beribadat, serta sangat menghormati ilmu dan ahlinya melainkan al-Muzani. Beliau termasuk orang yang warak, tidak mementingkan diri, dan pada masa yang sama beliau termasuk orang yang suka menolong orang ramai.” Beliau berkata: “Aku dibentuk daripada akhlak asy-Syafi‘e.” 

Guru dan Murid-Murid
Guru beliau ialah Imam asy-Syafi‘e, Nu‘aim bin Hammad dan lain-lain. Manakala murid-muridnya pula ialah Ibnu Khuzaimah, ath-Thahawi, Zakariya as-Saji, Ibnu al-Jawsha, Ibnu Hatim dan lain-lain daripada kalangan ulama-ulama Khurasan, Iraq, dan Syam. 

Penolong Mazhab Yang Pintar
Selain panggilan popular al-Muzani, beliau diberi gelar Nashir al-Mazhab (Penolong Mazhab) dan Badr al-Mazhab (Bulan Purnama Mazhab). Mazhab yang dimaksudkan di sini ialah mazhab Syafi‘e.
Gelaran beliau itu berdasarkan pengakuan Imam asy-Syafi‘e yang berkata: “Al-Muzani adalah penolong mazhabku.”
Beliau salah seorang murid Imam asy-Syafi‘e yang disebut sebagai gunung ilmu, banyak menulis, menyebarkan ilmu di bumi Mesir dan tidak pergi ke mana-mana tempat lain sehinggalah meninggal. Ini juga telah disebut Imam asy-Syafi‘e dengan katanya: “Adapun engkau wahai Muzani akan tetap tinggal di Mesir ini.”
Beliau pintar dan bijak berdialog dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas. Hal ini pernah disebut Imam asy-Syafi‘e: “Jika syaitan menentang al-Muzani, syaitan dapat dikalahkannya.”
Salah satu bukti beliau sebagai penolong mazhab Syafi‘e dan pakar dalam berdialog ialah dalam perkara nabiz iaitu air perahan (rendaman) kurma atau anggur dan yang seumpamanya. Perahan ini ada yang memabukkan dan ada yang tidak. Jika memabukkan dinamakan arak.
Disebutkan bahawa ketika Bakkar bin Qutaybah datang ke Mesir beliau sempat bertemu dengan al-Muzani. Dalam pertemuan itu salah seorang murid Bakkar bin Qutaybah bertanya “Telah wârid dalam beberapa hadis yang mengharamkan dan juga menghalalkan nabiz. Oleh sebab itu mengapa mazhab kamu mendahulukan yang mengharamkan berbanding yang menghalalkannya?” Al-Muzani memberi jawapan dengan jitu: “Tidak ada sesiapapun yang mengharamkan nabiz pada zaman Jahiliah, kemudian menghalalkannya untuk kita. Setelah itu terjadi kesepakatan tentang halalnya, tetapi kemudian diharamkan. Inilah yang disokong oleh hadis-hadis.” Setelah mendengar jawapan ini Bakkar menyetujuinya.

Warisan Ilmu
Sesuai dengan gelaran Penolong Mazhab Syafi‘e, al-Muzani mewariskan banyak kitab mazhab ini. Antara lain al-Jami’ al-Kabir, al-Jami’ ash-Shaghir, al-Mukhtashar, al-Mantsur, al-Masa’il al-Mu‘tabarah, at-Targhib fi al-‘Ilm, Kitab al-Watsa’iq, Kitab al-‘Aqarib, dan Kitab Nihayah al-Ihktishar.

Kitab Al-Mukhtasar
Khusus mengenai kitab al-Mukhtasar, beliau bercerita dapat menyelesaikannya dalam tempoh dua puluh tahun. Setiap kali hendak menyusunnya beliau berpuasa terlebih dahulu tiga hari dan sembahyang sunat beberapa rakaat. Kandungan kitab ini adalah ringkasan pendapat-pendapat Imam asy-Syafi‘e. Al-Muzani berkata: “Ini adalah ringkasan yang aku ringkaskan daripada ilmu asy-Syafi‘e dan sebahagian pengertian pendapat-pendapatnya.”
Ulama mazhab yang datang kemudian yang membuat kajian mengenainya mengakui kata-kata al-Muzani ini. Misalnya Imam as-Sayyid ‘Alawi bin as-Saqqaf Rahimahullah dalam kitabnya Sab‘ah Kutub Mufidah menerangkan bahawa kitab Mukhtasar al-Muzani adalah salah satu kumpulan pendapat dan perkataan Imam Syafi‘e dalam bidang fiqh yang dihimpun oleh Imam al-Muzani.
Pada dasarnya daripada kitab al-Mukhtasar inilah muncul kitab-kitab besar mazhab Syafi‘e yang dikarang ulama-ulama besar mazhab yang datang kemudian.
Kitab ini diringkaskan oleh Imam al-Haramain dalam kitab yang diberi nama an-Nihayah. An-Nihayah diringkaskan al-Ghazali yang diberi nama kitab al-Basit. Kemudian al-Ghazali meringkaskan al-Basit pula dalam kitab yang diberi nama al-Wasit. Al-Wasit diringkaskan al-Ghazali pula dalam kitab yang diberi nama al-Wajiz.
Al-Wajiz disyarahkan oleh ar-Rafi‘e dalam kitab yang dikenali Syarh al-Wajiz. Syarh al-Wajiz diringkaskan dan diulas oleh Imam an-Nawawi dalam kitab yang diberi nama Rawdhah ath-Thalibin.
Rawdhah ath-Thalibin diberi hasyiah oleh al-Azra‘i dalam kitab yang dikenali at-Tawassut bain ar-Rawdhah wa asy-Syarh. Ia juga diberi hawasyi oleh Imam as-Isnawi, al-Azra‘i, Ibn ‘Imad dan al-Bulqini. Hawasyi ini dikumpulkan dalam kitab yang dinamakan Khadim ar-Rawdhah.
Kemudian Rawdhah ath-Thalibin diringkaskan oleh asy-Syarf al-Maqarri dalam kitab yang diberi nama ar-Rawdh. Kitab ar-Rawdh disyarahkan oleh Syaikh al-Islam Zakariya al-Anshari. Syarh ar-Rawdh ini diringkaskan pula oleh Ahmad bin ‘Umar al-Mazjad az-Zabidi dalam kitab yang dinamakan al-‘Ibab.
Kitab al-‘Ibab disyarahkan oleh as-Sayyid ‘Alawi bin as-Saqqaf, pengarang kitab Sab‘ah Kutub Mufidah sehingga bab al-Wakalah. Kitab al-‘Ibab ini diringkaskan oleh pengarang al-Hawi as-Saghir. Kemudian al-‘Ibab dinazamkan oleh pengarang al-Bahjah. Kitab ini juga diringkaskan oleh asy-Syarf al-Maqirri pengarang ar-Rawdh dalam kitab yang dinamakan al-Irsyad.

Tarikh Wafat

Al-Muzani wafat pada bulan Ramadhan tahun 264H. Mengikut cerita penduduk yang turut ke tempat perkuburan, mereka melihat seekor burung menjatuhkan dirinya ke kuburan al-Muzani, lalu menggosok-gosok bulunya ke tanah perkuburan. Ar-Rubai‘ yang turut menyaksikan berkata: “Biarkan, jangan kamu halau kerana kita belum pernah melihat kejadian seperti ini sejak Zu An-Nun al-Misri meninggal dunia.”
Radhiallahu ‘anh.
(Rujukan: Asy-Syirazi, Tabaqat al-Fuqaha’, Abi ‘Ashim Muhammad bin Ahmad al-‘Abbadi, Kitab Tabaqat al-Fuqaha’ asy-Syafi‘eyyah, Taj ad-Din as-Subuki, Tabaqat asy-Syafi‘eyyah al-Kubra, dan as-Sayyid ‘Alawi bin as-Saqqaf, Majmu‘ah Sab‘ah Kutub Mufidah)

-

No comments:

Post a Comment