Thursday 21 June 2012

Kekuatan Ukhwah elak perbalahan sesama sendiri

Oleh : Rosliza Mustaffa

Islam adalah agama yang diturunkah oleh Allah SWT bersumberkan dari Al-Quran dan Sunah Rasul, yang berupa perintah, larangan dan petunjuk untuk kebaikan umat manusia dan seluruh makhluk di bumi dan di langit. Islam merupakan satu agama yang sangat indah dan sempurna. Tiada agama lain yang mampu menandingi agama Islam.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” ( Surah al-Ma’idah , ayat 3 ).

Berdasarkan huraian ayat di atas, menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang sangat mulia dan hanya agama Islam sahaja yang diredhai  oleh Allah SWT. Di samping itu Allah SWT telah memberikan hambaNya nikmat yang pelbagai dan memberi peluang kepada kita untuk menggunakan nikmat itu dengan sebaik mungkin.

Di dalam Islam asas persaudaraan amat dititik beratkan. Ini kerana Islam mengajar kita nilai dan ruh persaudaraan yang sangat murni. Sebagai contohnya, apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam mendidik kaum Ansor dan Muhajirin supaya ikatan persaudaraan sesama mereka sentiasa kekal.

Islam melihat persaudaraan sebagai salah satu nikmat kurniaan Ilahi kepada manusia yang benar-benar beriman denganNya, malah ia juga satu nikmat yang paling berharga yang tidak ada tolak bandingannya dengan sesuatu di dunia ini. Firman Allah SWT: ‘’ Dan Dialah  ( Allah ) yang mempersatukan hati orang-orang yang beriman walupun kamu membelanjakan semua ( kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka ( akan ) tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia maha kuasa lagi maha bijaksana.’’ ( Surah al-Anfaal ayat 63 ).

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT amat mengambil berat tentang persaudaraan hamba-hambanNya. Oleh itu, kita sebagai hambaNya yang masih diberi kesempatan untuk menikmati nikmat yang diberikan olehNya seharusnya mengambil kesempatan yang ada dengan mempereratkan lagi hubungan sesama insan dan menghindari daripada melakukan huru hara yang mana boleh membawa kepada perbalahan sesama sendiri.

Jadi untuk menggelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku, kita seharusnya lebih berwaspada dan perlu memikirkan jalan penyelesaian yang sesuai dan terbaik untuk memastikan negara kita sentiasa dalam keadaan aman dan terhindar daripada pergaduhan sesama insan.

Sekiranya terdapat apa-apa yang memerlukan persetujuan dua pihak kita seharusnya duduk berbincang dengan sebaik mungkin dan cuba menyelesaikan perkara tersebut dengan cara yang baik dan bukannya dengan cara perbalahan. Perbincangan yang baik mungkin akan dapat menghasilkan keputusan yang terbaik dan sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri.

Ini kerana dalam Islam persaudaraan juga merupakan sendi yang menjadi akar dalam pembinaan masyarakat dan teras dalam menyokong keharmonian hidup anggota masyarakatnya.  Persaudaraan yang diikat perlulah berdasarkan tautan akidah dan inilah persaudaraan yang sebenar dalam Islam.

Firman Allah SWW dalam surah al-Hujurat , ayat 10 yang bermaksud:’’ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara’’. Daripada huraian ayat tersebut membuktikan bahawa kita semua adalah bersaudara dan persaudaraan sesama kita seharusnya sentiasa wujud dalam diri kita, tidak kira di mana kita berada.

Dan seharusnya kita kena ingat, bahawa kita tidak akan rugi jika kita terus memelihara ikatan persaudaraan sesama kita. Selain itu kita tidak perlu menggadai harga sebuah persaudaraan disebabkan perkara-perkara kecil. Dan jangan disebabkan berlainan pendapat dan ideologi kita sanggup  membiarkan nilai persaudaraan menjadi rendah dan dipandang serong oleh orang lain. Oleh itu marilah kita bersama- sama membina persaudaraan kita sesama agama dan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan yang telah sedia ada. Kita juga seharusnya bersama-sama dalam mempertahankan persaudaraan antara kita agar kita termasuk di dalam satu golongan yang diberi perlindungan oleh Allah SWT di akhirat kelak di mana tiada perlindungan lain melainkan perlindungan- Nya.

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama  UniversitI Sains Islam Malaysia (USIM)

1 comment: