Thursday 2 February 2012

Transformasi pendidikan perlu dipimpin ilmuwan

Oleh Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin
 
Saya menyambut baik keprihatinan YAB Perdana Menteri dalam memberi perhatian utama dalam memastikan pendidikan dinikmati oleh semua rakyat. Hanya pendidikan sahaja yang mampu merubah negara Malaysia. Selain itu, rombakan sistem pendidikan pada masa hadapan perlu diwarnai dengan semangat mendidik rakyat menjadi manusia, bukan menjadi hamba kepada kertas peperiksaan dan kecemerlangan palsu.

Namun, usaha kerajaan akan menjadi separuh masak sekiranya ilmuwan yang menjadi pemimpin institusi pendidikan tidak diambil kira dalam proses transformasi. Mereka bukan sahaja perlu menjadi pengikut atau pelaksana kepada pelan, malah mereka sepatutnya menjadi pencetus idea dan pengarah kepada pelan tersebut.
Guru-guru di sekolah dan pensyarah-pensyarah di IPT yang telah berkecimpung dalam bidang ini sekian lama pastilah mempunyai pengalaman dan pendapat yang boleh membetulkan halatuju sistem pendidikan negara. Kerajaan perlu berhenti melihat mereka sebagai kakitangan awam tetapi menghargai mereka seperti lilin penyuluh di dalam kegelapan. Mereka mampu menjadi pemain dan pemimpin sesebuah transformasi sekiranya orang yang betul dilantik.

Kepemimpinan ahli politik dalam memudahkan transformasi pendidikan adalah dihargai tetapi malangnya ahli politik sering bergelut dalam pentas untuk merebut kuasa dan akhirnya menyebabkan ideanya dilupakan sekiranya orang lain yang mengambil alih. Pelan transformasi yang mantap adalah yang mampu dilaksanakan secara jangka panjang dan boleh diambil alih oleh generasi seterusnya. Ini sekaligus mampu melahirkan generasi pendidik yang terlatih dan mempunyai wawasan yang jelas.

Perlu diingatkan bahawa mendidik masyarakat perlukan jangka masa yang panjang dan perlukan kesabaran. Kriteria ini juga tidak ada dalam diri ahli politik kerana majoriti daripada mereka hanya berfikir bagaimana untuk mengekalkan kuasa 5 tahun akan datang.

~Penulis ialah Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

1 comment:

  1. sgt setuju dgn anda, perlunya kementerian di tadbir urus oleh yg pakar dlm bidang pendidikan dan bukan sekadar bidang terjun. perlu wujud penglibatan teknokrat pendidikan negara.

    zaman Tan Sri Musa dan Dr mahadzhir mengepalai kementerian pendidikan perlu di kembalikan...

    pelik2

    ReplyDelete