Friday 5 August 2011

ULAMA DAN KEMERDEKAAN

Oleh : Mohd. Fadli Ghani
KEJATUHAN Melaka pada 1511 sering dikaitkan dengan bermulanya penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu walaupun hakikatnya, Tanah Melayu pernah dijajah oleh Empayar Chola pada 1025 - 1044 diikuti oleh penjajahan Siam Sukhotai ke atas Langkasuka dan Tambralinga pada 1292 yang membawa kepada kejatuhan seluruh Tanah Melayu termasuk Temasek (Singapura) kepada Siam Ayuthia menjelang 1360. Bagaimanapun kemunculan Melaka pada 1400 telah memerdekakan kesemua negeri Melayu sehinggalah Melaka kemudiannya dijajah Portugis pada tahun 1511.
Kejatuhan Melaka telah memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan. Soalnya, siapakah yang mempelopori perjuangan tersebut? Kenapa peranan mereka tidak ditonjolkan, melainkan usaha-usaha UMNO yang bermula pada tahun 1951. Walhal ketika UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, mereka tidak berani pun untuk menyerukan kemerdekaan, selain daripada slogan 'Hidup Melayu' sahaja.
Kini, selepas 50 tahun merdeka, tiba-tiba UMNO yang digambarkan sebagai pejuang dan 'hero' kemerdekaan ini.

PERANAN ULAMA
SEBENARNYA, ulama-lah yang paling banyak memainkan peranan mempertahankan kemerdekaan Tanah Melayu sejak 1511, di samping pahlawan bangsa yang lain. Sewaktu tercetusnya perang Melaka - Portugis pada 24 Julai 1511, ulama telah memainkan peranan besar dalam membangkitkan semangat jihad kepada tentera Islam untuk mempertahankan kemerdekaan tanahair.
'Silatus - salatin'  telah merakamkan peranan Maulana Yusof, seorang ulama yang menjadi penasihat Sultan Mahmud di Melaka. Beliau yang bertugas mengajar ilmu-ilmu agama kepada para pembesar istana.
Ketika perang meletus, Sultan Ahmad Syah telah memerintahkan supaya dua buah kitab perang dan jihad dibacakan kepada tentera Melaka. Kitab tersebut ialah Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah yang mengisahkan perjuangan jihad pahlawan Islam.
Sultan Ahmad Syah dipercayai daripada hasil nasihat ulama telah mengarahkan Hikayat Amir Hamzah yang mengandungi kisah jihad Amir Hamzah dan anaknya, Rastam mengalahkan Feringgi (Portugis) di kota Khurasan adalah dengan harapan supaya tentera Melaka tidak gentar menghadapi tentera Portugis.
Sultan mengharapkan supaya 'kita memperoleh faedah daripadanya'. Hasilnya, tentera Melaka telah berjaya mengalahkan Portugis pada 25 Julai 1511, sebelum tewas dalam serangan kedua Portugis pada 10 Ogos 1511.
Selepas kejatuhan Melaka, Sultan Mahmud dan Laksamana Hang Nadim yang membina negeri Johor telah melancarkan enam serangan ke atas Portugis di Melaka antara 1512 - 1524.
Di samping serangan Sultan Mahmud itu, seorang ulama dari Jawa, Adipati Yunus yang menjadi Sultan Demak telah membentuk gabungan tentera Islam yang dinamakan Gabungan Armada Islam Demak - Banten - Cirebon pada tahun 1512. Pada tahun 1513, Adipati Yunus dengan kerjasama Sunan Gunung Jati (Syariff Hidayatullah), salah seorang Wali Songo (Sembilan) telah mengisytiharkan jihad ke atas Portugis di Melaka. Adipati Yunus telah menghantar satu pasukan armada laut ke Melaka pada 1513 untuk menghalau Portugis dari sana, tetapi gagal.

LAKSAMANA HANG TUAH DAN KERAJAAN OTHMANIAH
AKIBAT daripada kegagalan Demak dan pengisytiharan Raja Portugis, Emmanuel I bahawa penjajahan Goa di India dan Melaka adalah untuk menyebarkan agama Kristian dan merampas kekayaan di Timur, telah menarik perhatian Kerajaan Othmaniah di Istanbul.
Sultan Salim I telah mengumumkan bahawa Istanbul akan menghantar armada tentera lautnya ke Melaka untuk membebaskan Melaka daripada penjajahan kafir. Pengumuman ini adalah lanjutan kepada bantuan meriam dan bedil yang disalurkan Istanbul ke Melaka melalui Laksamana Hang Tuah pada 1482 dalam persiapan Melaka menghadapi ancaman musuh, termasuk Portugis.
Pada tahun 1521, Adipati Yunus telah mengetuai sendiri satu armada dengan 375 buah kapal perang dari Demak ke Melaka. Dalam kunjungan ini, Adipati Yunus telah berjaya mengepung Portugis sehingga musuh itu terpaksa mengadakan catuan makanan.
Walau bagaimanapun, Adipati Yunus dan dua orang puteranya syahid setelah Portugis mendapatkan bantuan dari Goa, India. Fatahillah kemudiannya mengambil-alih tugas panglima perang. Hasil daripada perang jihad inilah Adipati Yunus telah dikenali dengan nama Pangeran Sabrang Lor, iaitu putera yang menyeberang Laut Jawa ke Melaka.
Selepas syahidnya beliau di Melaka, Acheh yang mula terkenal sebagai pusat keilmuan Islam telah melancarkan dua serangan terhadap Portugis pada tahun 1537 dan 1547. Johor pula dengan bantuan Japara dan Perak pula telah berjaya merampas Melaka selama tiga bulan pada tahun 1551.
Sebagaimana Acheh yang bertindak atas pengaruh ulama, Japara juga bertindak atas sokongan dan pengaruh ulama Jawa seperti Kiyai Gede Pemanahan yang amat berpengaruh.
Pada tahun 1522, Sultan Alauddin Riayat Syah al-Kahar Acheh di bawah pengaruh ulama tasawuf seperti Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Othmaniah di Istanbul. Syeikh Nuruddin Ashi, seorang ulama Acheh turut mempengaruhi dasar-dasar Sultan Alauddin dalam cubaan menghalau Portugis di Melaka.
Hasil daripada hubungan dengan Istanbul itu, pada 1525, Sultan Sulaiman al-Qanuni telah menghantar bala tentera Istanbul yang diketuai oleh Kurtoglu Hizir Reis yang siap dengan kelengkapan perang pergi ke Acheh.
Pada masa yang sama, Syarif Mekah yang bernaung di bawah Othmaniah telah menghantar Syeikh Abdullah Kan'an diikuti oleh kehadiran Syeikh Abdul Khair dan Syeikh Muhammad Yamani dari Mekah pada tahun 1582 untuk merangsang jihad Acheh ke atas Portugis. Dalam perang Acheh - Melaka pada tahun 1568 dan 1579, Acheh telah berjaya menguasai Selat Melaka selama 60 tahun.
Di samping serangan yang berterusan Acheh terhadap Melaka, Johor juga turut menyerang Melaka, walaupun pada ketika itu berlaku perang tiga segi, Melaka - Acheh - Johor. Johor juga pernah bekerjasama dengan Belanda pada 1606 untuk mengalahkan Portugis.

KERAJAAN ISLAM CHAMPA
SEWAKTU Johor sedang menyerang Melaka pada tahun 1594, Kerajaan Islam Champa (Kemboja) telah menghantar satu pasukan tentera ke Johor dengan tujuan untuk menghalau Portugis. Orang Islam Champa yang mempunyai hubungan dengan Melaka sejak 1471 di bawah pimpinan seorang ulama, Po' Rome yang pernah mendalami ilmu agama di Kelantan beberapa tahun sebelum menjadi Sultan Champa. Serangan Johor dengan bantuan Champa di samping serangan Acheh pada 1615 dan 1616 telah berjaya melemahkan Portugis di Melaka.
Sewaktu Acheh dipimpin oleh Sultan Iskandar Muda (1606 - 1636), usaha menghalau Portugis tetap diteruskan dengan bantuan Istanbul. Pada tahun 1628, Sultan Iskandar Muda dengan pengaruh Syeikh Nuruddin ar-Raniri telah menyerang Melaka dan menguasai Melaka selama lapan bulan. Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1636, Acheh tidak lagi menyerang Melaka, sehinggalah Melaka jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641.

RUMUSAN
DALAM menjejaki usaha mempertahan dan menebus kemerdekaan negara ekoran kejatuhan Melaka pada tahun 1511, dua aspek yang cukup penting dan menarik untuk diperhatikan ialah peranan ulama dan semangat 'Paks Islamika' dalam perjuangan kemerdekaan.
Malangnya, isu ini hampir tidak dibangkitkan langsung oleh para sarjana sehingga ulama dan semangat kesatuan akidah tidak dilihat sebagai berperanan dalam perjuangan kemerdekaan negara. Sedangkan sewaktu para pembesar melakukan pemberontakan untuk memperoleh semula kuasa politik dan ekonomi, para ulama terus gigih membangkitkan semangat jihad ke atas penjajah.
Peranan tokoh-tokoh ulama seperti Maulana Yusof di Melaka, Adipati Yunus, Sunan Gunung Jati dan Kiyai Gede Pemanahan di Jawa; Syeikh Nuruddin Ashi, Syeikh Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani dan Syeikh Nuruddin ar-Raniri di Acheh; serta Po' Rome di Champa telah menjadi bukti kukuh bagaimana para ulama telah memainkan peranan dalam mempelopori jihad dan perjuangan menentang penjajah semenjak awal kejatuhan Melaka lagi. Ini tidak termasuk ulama-ulama yang tidak disebutkan namanya, tetapi turut berjuang sehingga ada yang syahid dalam perjuangan itu.
Satu lagi elemen penting ialah semangat kesatuan akidah dalam mempertahankan kemerdekaan bumi Islam. Melaka yang diakui sebagai pusat pengembangan Islam di Nusantara cuba dikembalikan kedudukannya dengan penglibatan kuasa-kuasa Islam, bukan sahaja dari rantau Nusantara, tetapi menjangkau hingga ke Istanbul di Turki.
Apa yang dapat diperhatikan ialah bahawa ulama-ulama Melayu sejak bermulanya penjajahan Barat bukan hanya sekadar menjadi ahli sufi, ahli ilmu atau pengarang kitab, tetapi mereka turut sedia berjihad 'fi sabilillah' bagi mempertahankan bumi Islam. Ia bukan sekadar melibatkan para ulama dari seluruh alam Islam, tetapi sekelian Raja dan Sultan juga turut beriringan tangan dengan sekelian para ulama.

Capaian :
razzi-media.blogspot.com

5 comments:

  1. nice entry..gud info.. =))

    ReplyDelete
  2. anak2 muda elok baca ni..
    takut jadi buta sejarah pulak nanti...

    tu hang tuah ke m.nasir tu??
    heheheh

    ReplyDelete
  3. terbitan yang bagus :) , banyak lagi kisah kesultanan yang menjaga wilayah muslim satu dan yang lainnya , alangkah kuatnya kita pada zaman kesultanan yang bersatu menjaga tanah muslim dari penjajah kafir pada jaman tu ....terutama wilayah selat malaka yang merupakan jalur penting perdagangan dan lalulintas antar negara :)
    nice dan terimakasih ..

    ReplyDelete
  4. dan mungkin silibus sejarah di sekolah perlu didedahkan bahawa penjajahan portugis bukan kerana perdagangan tetapi kerana missionary movements yg dibawa oleh para muibaligh kristian..

    ReplyDelete