Wednesday 24 August 2011

KAMU PERLU MERUBAH DUNIA INI.. WALAUPUN KAMU KESEORANGAN


Masyarakat muslim cukup unik binaan strukturnya. Islam mendidik individu-individunya agar setiap orang daripada mereka menjadi satu unit yang lengkap lagi melengkapi. Dia seumpama batu-bata yang teguh, disusun bersama batu bata yang lain dalam binaan yang besar. Proses ini bermula sejak pembentukan masyarakat Islam pertama di bawah petunjuk Nabawi. Antara seruan pertama Islam ialah sabda Rasul s.a.w (yang bermaksud):
“Allah memberi hidayah melalui kamu seorang lelaki lebih baik bagi kamu daripada unta Humr an-Ni’am (jenis unta yang paling tinggi nilainya)” (Muttafaq ‘alaih)
Semenjak saat itu, setiap individu daripada generasi awal Islam memikul fikrah Islamiah dan aqidah yang murni dalam pemikiran mereka, begitu juga keimanan yang mendalam dan mantap di dalam jiwa-jiwa mereka. Sehingga ianya terserlah dalam kata-kata, tingkah laku dan gerak diam mereka. Setiap individu di kalangan mereka seolah-olah membentuk sebuah umat. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w terhadap peribadi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah:
“Dia diutuskan sebagai sebuah umat”

Khalid al-Walid di medan perang mewakili sebuah umat. Beliau bertanggungjawab melemah dan menumbangkan Rom di tanah Arab.  ‘Abdul Rahman bin Auf di dalam bidang ekonomi mewakili sebuah umat. Dialah yang berperanan memecahkan monopoli Yahudi di Madinah yang sekian lama sebelumnya menguasai kegiatan ekonomi Madinah.
‘Umar al-Khattab dalam soal keadilan mewakili sebuah umat. Lorong-lorong Madinah dijelajahinya untuk menangani permasalahan rakyat. Gabenor dan penguasa dihimpun setiap tahun untuk dikaji siasat. Perhimpunan haji saban tahun dijadikan tele-aduan umat.
Mus’ab bin ‘Umair pula dalam usaha da’wah mewakili sebuah umat. Tiada satu rumah di Madinah melainkan dimasuki sinar da’wah Islamiah dan petunjuk al-Quran.Mu’az bin Jabal dalam soal halal haram mewakili sebuah umat. Zaid bin Thabit dalam soal hukum hakam pusaka mewakili sebuah umat. Banyak dan banyak lagi contoh individu di kalangan mereka yang sedemikian.
Benarlah kata-kata Abu Bakar as-Siddiq yang menyifatkan:
"La Yuhzamu Jayshun Fihi Al-Qa’Qa Ibn Amr - Sawtu Al-Qa’Qa Fil Ma’arakati Ya’dulu Alfa Rajulan"
“Takkan terkalahkan tentera didalamnya ada al-Qa’qa ibn Amr, Suara Qa’qa’ di medan perang menyamai seribu pahlawan”. Bukankah beliau mampu menyusun kembali tentera muslimin yang kucar kacir, menaikkan semangat juang mereka, mengacau bilaukan musuh, mencari titik kelemahan mereka dan lain-lain lagi.
Sewaktu pembukaan Mesir oleh tentera Islam di bawah Amr al-’As, Umar al-Khattab telah mengirim 4 ribu tentera sebagai tambahan. Pasukan tambahan tentera ini disertai oleh Zubair al-’Awwam, Miqdad bin Amr, Ubadah bin Shamit dan Muslimah bin Mukhlid, yang dikatakan setiap orang bernilai lebih dari seribu orang. Syaidina Umar memberi amanat kepada Amr bin al-’As, "Kamu harus tahu bahawa kamu mempunyai 12 ribu tentera, dan 12 ribu tentera tidak akan dikalahkan disebabkan bilangan mereka". Dan berlakulah pembukaan Mesir yang agung di dalam sejarah Islam.
Setiap seorang daripada mereka hanyalah seorang individu, tetapi dengan tekad kemahuan serta amal kerja, dia seolah-olah sebuah umat, mengubah wajah sejarah dengan usahanya itu. Sebagaimana yang dikatakan:
“Amal praktik seorang lelaki di kalangan seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki”.
Mereka berusaha seolah-olah tiada sesiapa di sekelilingnya yang turut bekerja bersamanya.Seolah-olah dia ingin memulakan binaan Islam dengan tangannya dan menyempurnakannya dengan tulang empat keratnya. Kesungguhan inilah yang didapati oleh ‘Umar al-Khattab di kalangan tenteranya. Beliau berkata:
“Sungguh mengkagumkan aku, panglima perang yang jika kamu melihatnya, kamu menyangkanya seorang tentera bawahan yang patuh. Mengkagumkan aku juga, tentera bawahan yang jika kamu menyaksikannya, kamu menyangkanya seorang panglima berkaliber”.
Lantaran ini, mereka telah merubah sejarah dunia, memimpin dan membinanya dengan baik. Tiada seorang pun di kalangan mereka yang memperkecilkan dirinya atau apa yang dilakukannya. Mereka amat memahami sabda Rasulullah s.a.w:
“Sampaikan daripada aku walaupun sepotong ayat”  [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]
Amal kerja dan sumbangan mereka tidak terhenti di satu tahap, bahkan ke penghujung nafas yang terakhir. Lihatlah Abu Ayyub al-Ansori yang mati syahid di pinggir pagar kota Konstantinople dalam usianya 80 tahun. Pada saat kematiannya, dia tidak menghentikan sumbangannya kepada Islam, bahkan menyampaikan kepada muslimin sebuah hadis yang pernah didengarnya daripada Nabi s.a.w:
“Sekiranya Kiamat berlaku sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu anak pokok, maka tanamkanlah ia”  [Diriwayatkan oleh Ahmad]
Nilai dan sikap ini satu fenomena biasa di dalam masyarakat muslim pada sepanjang zaman. Setiap individunya menjadi batu-bata kepada binaan Islam yang agung. Mereka saling memperkukuhkan yang lain dalam segenap bidang dan lapangan. Hasil usaha mereka yang gigih, sesiapa yang melihat binaan Islam akan berkata: Alangkah indahnya! Alangkah hebatnya Islam!Dengan penuh tawadhu’ dan ikhlas, mereka tidak rela diri mereka hidup dengan kehidupan haiwan yang didambakan oleh mereka yang kufur kepada Allah.
"Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal saleh ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. dan Jahannam adalah tempat tinggal mereka. "  [Muhammad: 12]
Mereka tidak akan duduk berpeluk tubuh melihat sekeliling tanpa melakukan sesuatu. Akan tetapi mereka mengangkat slogan Nabi s.a.w:
“Orang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan yang saling kuat menguat satu sama lain”   [Muttafaq ‘alaih]
Lantaran itu kita dapat lihat Ibnu al-Haitham, Ibnu al-Nafis dan Ibnu Rusyd saling lengkap melengkapikepakaran mereka. Setiap seorang daripada mereka saling menguatkan yang lain untuk meninggikan binaan Islam.Akan tetapi pada zaman yang semakin kabur ghayah, bercampur aduknya visi hidup serta bersimpang siurnya misi masyarakat, pada saat yang sama binaan Islam semakin goyah dan rapuh, siapakah yang ingin mewakili umat mengembalikan binaannya yang agung?
Siapakah yang akan mewakili umat mengembalikan manusia kepada Tuhannya, memerdekakan mereka daripada belenggu syahwat, hawa dan material?
Siapakah yang akan mewakili umat menyelamatkan mereka daripada kejahilan?
Siapakah yang akan mewakili umat mempamer keindahan kesyumulan Islam dan membongkar wajah hodoh sekular?
Siapakah yang akan mewakili umat mengembali martabat syari’at serta menumbang kezaliman hukum manusia?
Siapakah yang akan mewakili umat menyekat ancaman serangan Zionis dan Salibi Antarabangsa?
Siapakah yang akan mewakili umat memecah monopoli Yahudi dan US, menyediakan barangan alternative kepada barangan mereka?
Siapa? Siapa? Siapa?




Pastikan kita!!!

9 comments:

  1. MasyaALLAH, blog tuan penuh dengan sumber2 dan ilmu ilmiah. Lain dari yang lain dan sangat berguna.
    Tahniah tuan atas kehadiran blog tuan ini.

    ReplyDelete
  2. insyaallah.... islam pasti bangkit semula.... :D

    ReplyDelete
  3. hebatlah tokoh2 Islam tu semua.. Insyaallah, Zwan akan berusaha untuk jadi macam depa walaupun tak sehebat depa.. ;)


    MySuaraBlog: Larangan Untuk Pengantin Perempuan

    ReplyDelete
  4. Merindukan Khalifah........
    kembalikan kejayaan seperti zaman khalifah dahulu

    ReplyDelete
  5. Insya Allah, sekadar termampu...

    ReplyDelete
  6. as salam terima kaseh ya sahabat kerana folo..nanti singgah la lagi

    ReplyDelete
  7. Agama adalah penentram hati jika hati anda belum tentram mungkin anda harus lebih dekat dengan Allah SWT..

    ReplyDelete
  8. Artikel yang bermanfaat dan penuh inspirasi.
    Semoga kejayaan Islam akan semakin cemerlang di kemudian hari aamiin

    ReplyDelete